Thursday, July 15, 2010

Promosi Kerajaan 5-DALAM-1


Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai). Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini. 

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram. Perdana Menteri ketika mengumumkan kenaikan memberikan alasan.

Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi (alasan) yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

Persoalannya, walaupun dikatakan kenaikan ini adalah demi mengelakkan pengaliran subsidi kepada  sasaran yang salah, tetapi akhirnya beban akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.

Kerajaan perlu menjelaskan secara tepat bagaimana penjimatan dari subsidi ini akan dibelanjakan untuk faedah golongan berpendapatan rendah. Masih kita ingat ketika kenaikan harga petrol dan diesel secara besar-besaran beberapa tahun dahulu, dijanjikan wang penjimatan akan digunakan untuk memajukan perngangkutan awam tapi janji tinggal janji. 

Kini dijanjikan pula penjimatan subsidi akan diagihkan kepada bidang pelajaran dan kesihatan. Umum sedia maklum kos pendidikan di Malaysia dan belanja untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan adalah  di antara dilema bagi rakyat berpendapatan rendah.

Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula(tiada kepastian). Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.
 
Kalau benar bagai dikata, jelas rakyat bawahan telah terpaksa memikul beban ekoran ketidak mampuan pihak keselamatan menguatkuasakan undang-undang dan menjaga kedaulatan sempadan negara. Apa jaminan selepas kenaikan ini penyeludupan tidak akan berlaku lagi? Kalau penyeludupan masih berlaku, apakah harga akan dinaikkan lagi?

Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.
 
Benarkah harga bahan bakar di Malaysia terlalu murah sehingga dibazirkan sewenangnya oleh rakyat? Selalu kita dengar kempen jimatkan elektrik dan air tapi tidak pernah kita dengar ada kempen jimatkan penggunaan petrol dan gas.

Petrol dan diesel yang diisi ke dalam kenderaan adalah berdasarkan keperluan dan perjalanan juga berdasarkan keperluan. Amat jarang dan hampir tidak pernah terdengar rakyat yang secara suka-suka membazirkan petrol dan gas.

Hujah yang mendakwa gejala berat badan berlebihan dan diabetes mempunyai kaitan dengan harga gula perlu diperkemaskan dengan kajian saintifik dan disokong dengan fakta ilmiah. Saya berpendapat fakta ini terlalu umum dan sangat lemah untuk dipertahankan.

Sumber : S.A.T.F

No comments: