Friday, July 16, 2010

HOT: Ejin jet F5 jenis J85-21


Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan N Tharmendran yang menerima pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM Januri lalu hari ini tampil mendedahkan penderaan yang dilakukan terhadapnya sepanjang berada dalam tahanan.
Tharmendran, 42, yang hadir bersama peguamnya, N Surendran di Parlimen hari ini mendakwa dia telah mengalami penderaan fizikal yang teruk dan dipaksa untuk mengaku bersalah dalam kes kecurian enjin tersebut.
Tharmendran memberitahu, seorang ketua pegawai penyiasat berpangkat mejar telah diarahkan untuk menyelesaikan kes itu dan dibenarkan menggunakan apa cara sekalipun bagi memaksa dia mengaku bersalah.
"Sepanjang tempoh tahanan saya bermula 2 Julai 2009, selama 60 hari saya ditahan, mereka tidak memberitahu keluarga di mana saya ditahan. Saya dipaksa mengaku bahawa saya bersalah mencuri enjin tersebut.
"Sepanjang tempoh siasatan, ketua pegawai penyiasat dipanggil penglima tentera udara untuk menyelesaikan kes ini dengan secepat mungkin dan boleh menggunakan apa cara sahaja asalkan dapat selesaikan kes ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau didera oleh pegawai berkenaan dan tidak tidur selama tiga minggu di dalam bilik yang kecil dan secara berterusan dipaksa mengaku bersalah. Dia dipakaikan topi keledar dan kepalanya dipukul menggunakan kayu kriket dan kayu golf sehingga topi keledar yang dipakai mengalami keretakan.
Sepanjang dalam tahanan itu juga, beliau turut mendengar tahanan lain didera dengan teruk sehingga tangisan dan jeritan mereka dapat didengarinya.
"Semasa saya disoal siasat, terdapat tiga hingga empat orang yang disoal siasat. Mereka turut didera dan saya dapat mendengar tangisan mereka merayu agar tidak dipukul. Namun saya tidak pasti sama ada mereka mahu tampil membuat pendedahan seperti yang saya lakukan ini," katanya.
Tharmendran turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap TUDM yang langsung tidak mengambil tahu mengenai apa yang berlaku terhadapnya sepanjang tempoh tahanan namun selepas dia dibebaskan, dia dipanggil untuk bertugas kembali.
Tempoh perkhidmatan Tharmendran sepatutnya berakhir pada 28 Mei tahun ini.
"Selama enam bulan saya ditahan di penjara Sungai Buloh, mereka tidak pernah tanya apa berlaku pada saya.
“Tapi bila saya keluar dengan peguam saya, baru mereka datang suruh saya bertugas. Saya rasa ini sangat tidak adil," katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam menghantar usul penderaan dalam tahanan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat namun ianya ditolak speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan ianya dalam siasatan polis dan tidak perlu disegerakan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam sidang media yang sama mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes kecurian enjin jet yang menjejaskan imej pertahanan negara.
"Kita mahukan satu siasatan menyeluruh, jawatankuasa atau Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengkaji apa sebenar yang berlaku dalam kes kecurian ini. Rakyat nak tahu bagaimana enjin yang penting itu boleh hilang. Kita sedia maklum bahawa ada peraturan sebelum semua barang melibatkan ketenteraaan dikeluarkan. Inikan pula enjin jet.
"Kami ahli Parlimen mahu menunjukkan bahawa kehilangan dua enjin merupakan satu maruah yang besar yang menjadi satu bahan ketawa seluruh dunia hari ini. Kes ini berlaku pada 2007 dan mencerminkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kerana beliau adalah menteri pertahanan ketika itu. Kami mendapat berita bahawa bukan dua enjin ini sahaja yang lesap, banyak lagi alat-alat lain yang mahal harganya hilang dalam simpanan," katanya.
Tegasnya, Tharmendran telah dikambinghitamkan oleh pihak tertentu bagi menyelesaikan kes itu daripada terus didedahkan kepada umum.
"Kita lihat sarjan Tharmendran ini seolah-olah dijadikan kambing hitam untuk menyelesaikan perkara ini," tegasnya.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berkata, keselamatan Tharmendran masih belum terjamin kerana TUDM masih mendakwa dia sebagai kakitangan mereka.
"Kes ini sangat memalukan negara sebab kita usulkan perkara ini. Keselamatan sarjan Tharmendran belum terjamin kerana pihak tentera masih mendakwa bahawa dia seorang dalam perkhidmatan jadi bila-bila masa boleh gunakan paksaan untuk tangkap dia.
"Kes ini seolah-olah ada konspirasi untuk tidak mahu siasat dan dedahkan realiti sebenar sebab sudah menjadi tumpuan masyarakat," katanya.
Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.
Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Minggu lepas, Tharmendran dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.
Jaminan terhadap Tharmendran sebanyak RM50,000 bagi kesalahan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F-5E milik TUDM dijelaskan oleh bapanya, N. Nagarajan selaku penjamin.

No comments: