Sunday, November 24, 2019

DOKTOR bantah larangan minum arak secara terbuka hanya memalukan profesion




Oleh: Ahmad Fadhli Shaari

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysian Medical Association (MMA) dan Federation of Private Medical Practitioners’ Associations Malaysia (FPMPAM) yang menyelar kenyataan saya di Dewan Rakyat minggu lepas berhubung larangan meminum arak secara terbuka. Kenyataan kedua-dua persatuan ini boleh diakses di pautan: https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/11/20/doctors-groups-against-alcohol-ban/

Untuk rekod, semasa saya mengambil bahagian di dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan pada 12 November 2019, saya telah melontarkan cadangan kepada pihak kerajaan agar menggubal undang-undang bagi menghalang sebarang aktiviti meminum arak di khalayak ramai. Ia susulan kenyataan salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak berhak menggubal undang-undang larangan tersebut memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Saya menyatakan bahawa peminum arak sebenarnya bukan sahaja memudaratkan diri mereka bahkan berpotensi untuk memudaratkan orang lain. Tidak perlu untuk saya datangkan fakta secara terperinci betapa bahayanya minuman beralkohol ini kerana saya tahu semestinya seorang pengamal perubatan lebih arif tentang hal ini.

Tidaklah perlu dihuraikan lagi bagaimana minuman ini beralkohol mengandungi bahan Etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat seterusnya mendatangkan kesan fizikal dan mental peminumnya. Ia juga adalah dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari. Sebaik sahaja diminum, alkohol akan diserap ke dalam aliran darah melalui permukaan perut dan usus. Sebahagian kecil akan terus pergi ke otak dan paru-paru, dan dikumuhkan melalui pernafasan. Manakala sebahagian besar alkohol akan dimetabolisma oleh hati dan dikumuhkan oleh ginjal melalui air kencing. Kesan alkohol kepada peminumnya bergantung kepada jumlah alkohol yang berada dalam peredaran darah seseorang itu. Peminum yang mengambil minuman beralkohol dalam jumlah yang banyak akan mabuk.

Apabila mabuk, seseorang itu akan hilang koordinasi gerak tubuh dan juga gangguan kepada pertimbangan dan kewarasan fikiran. Mereka boleh terjatuh, mengalami kemalangan, bergaduh, tercedera dan memory blackout yang mana merupakan komplikasi atau kesan kemudaratan jangka pendek berkaitan pengambilan minuman beralkohol. Kesan lain akibat mabuk adalah apa yang dikenal sebagai hangover. Saya fikir fakta ini merupakan adalah fakta asas yang sudah tentu dihadam oleh seorang pengamal perubatan.

Perlukah untuk saya ingatkan kembali bagaimana Jun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk. Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat. Minggu lepas pula, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.

Alangkah memalukan profesion kedoktoran apabila pihak yang membantah cadangan ini ialah daripada pengamal perubatan sendiri. Saya jangkakan bantahan akan datang daripada Persatuan Penjual-penjual Arak misalnya, atau daripada pemegang-pemegang taruh di dalam perniagaan ini, namun sayangnya ia datang daripada seorang bergelar doktor! Alangkah kenyataan ini benar-benar memalukan ramai lagi doktor yang ikhlas membantu masyarakat.

Saya kira doktor seperti ini setaraf dengan pawang kampung yang melepaskan hantu peliharaannya untuk mengacau penduduk kampung dan seterusnya datang berubat dan dia berpeluang membuat untung.

*AHMAD FADHLI SHAARI ialah Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Tahukah anda? Tunku Azizah wanita pertama dimasyhur Canselor UIAM


KUALA LUMPUR, 25 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak dapat menahan sebak, tatkala dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kedua.

Perasaan itu terzahir ketika Tunku Azizah bertitah, selepas dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pemasyhuran Raja Permaisuri Agong sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM, hari ini.

Tunku Azizah menjelaskan diri baginda sangat dekat dengan UIAM, sejak Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, yang pertama memegang jawatan itu sejak penubuhan universiti itu pada 1983.

"Beta amat tersentuh dan bersyukur untuk meneruskan legasi Almarhum Paduka Ayahanda, yang sebagaimana anda semua tahu adalah Ketua Perlembagaan UIAM selama 35 tahun.

"UIAM amat dekat dengan hati beta, sejak Almarhum Paduka Ayahanda memegang jawatan itu, beta telah mengikuti dengan dekat perkembangan dan kemajuan universiti unik dan istimewa ini – Taman Ilmu dan Akhlak," titah baginda.

Tunku Azizah yang kelihatan terharu turut meminta hadirin membacakan Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Ahmad Shah, menjadikan Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM hening seketika.

Momen indah yang bersejarah itu turut disaksikan anakanda pasangan diraja iaitu Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Raja Puteri Iman Afzan and Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Pemashyuran bersejarah itu menjadikan Tunku Azizah sebagai wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam struktur organisasi pentadbiran UIAM.

Sebelum ini, jawatan tertinggi pernah dipegang wanita dalam pentadbiran UIAM adalah sebagai Rektor, yang disandang oleh Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin pada 2011.

Prof Zaleha, yang juga Rektor kelima, mengambil alih jawatan berkenaan menggantikan Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid yang tamat perkhidmatan pada tahun sama.

Pada istiadat pemasyhuran itu, Tunku Azizah menyarung jubah diperbuat dari kain tenun Pahang Diraja, yang direka khas dengan corak dilakar oleh baginda sendiri

Berwarna ungu, material tenunan jubah yang dihasilkan sendiri oleh penghuni Penjara Penor, Pahang itu turut mendapat sentuhan magis jahitan pereka fesyen kegemaran Tunku Azizah iaitu Datuk Rizalman Ibrahim.

Tunku Azizah, 59, berkenan menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan UIAM daripada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Istana Negara pada Jun lepas.

Tunku Azizah dilantik memegang jawatan itu tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April 2019. -Bernama




Thursday, November 21, 2019

Kerajaan Johor bersetuju menurunkan harga hartanah buat warga asing





Kerajaan negeri bersetuju menurunkan harga minimum perolehan hartanah buat warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 sebagai langkah efisien bagi mengurangkan lambakan hartanah di negeri ini.


Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, penurunan harga siling penjualan itu bagaimanapun akan dijalankan menerusi dua insentif bersifat kempen yang akan dilaksanakan bagi tempoh-tempoh tertentu.

"Insentif ini hanya ditawarkan kepada projek hartanah jenis bertingkat sahaja iaitu pangsapuri, kondominium, pangsapuri perkhidmatan dan Small Office Home Office (SOHO).


"Projek ini mestilah mematuhi prasyarat yang ditetapkan iaitu Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) sudah dikeluarkan melebihi tempoh sembilan bulan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata, permohonan bagi pembelian aset itu boleh dikemukakan bermula daripada 1 hingga 31 Januari 2020 dengan mengemukakan dokumen senarai semak yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor.

Beliau yang juga ADUN Bukit Kepong berkata, insentif kedua pula adalah pelepasan hartanah lot Bumiputera kepada pembangunan jenis kediaman berharga RM700,000 ke atas.

Katanya, kadar permohonan pelepasan kali pertama dinaikkan daripada 30 peratus kepada 60 peratus manakala kadar permohonan pelepasan kali kedua dinaikkan kepada 30 peratus kepada semua baki unit masih ada.

"Kerajaan negeri juga memanjangkan tempoh pembayaran caj gantian pelepasan lot bumiputera daripada 90 hari kepada 120 hari daripada tarikh surat pemberitahuan dikeluarkan," katanya.

Katanya, kedua-dua insentif berkenaan akan berlangsung dalam tempoh setahun bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2020.


Sumber:  https://www.sinarharian.com.my/article/58400/EDISI/Johor/Johor-turun-harga-hartanah-kepada-warga-asing?fbclid=IwAR1V6N_gJz_WfRz9rfvrgFSQQ2bjx7wnuzfIt-qXOQpJrgaeQcY6EA8xjTI

Tuesday, November 19, 2019

Warga Global bersolidariti buat jurugambar Palestin kehilangan mata ditembak Yahudi





Kempen atas talian menggunakan hastag ‘MuathEye’, ‘EyeofTruth’ dan ‘MuathAmarneh’ dilancarkan menjadi trend di media sosial disusuli dengan video serta gambar Amarneh dibawa ketika pendarahan di mata kirinya sejurus selepas ditembak.




Seorang wartawan jurugambar bebas Palestin yang ditembak di mata oleh tentera Israel ketika membuat liputan demonstrasi di Tebing Barat menarik perhatian antarabangsa apabila wartawan dari seluruh dunia menyatakan solidariti dengan memakai penutup mata atau menutup sebelah mata mereka.

Muath Amarneh, 35, sedang dirawat di Pusat Perubatan Hadassah di Baitulmuqaddis sejak ditembak di sebelah mata kiri menggunakan peluru hidup Jumaat lepas oleh tentera Israel yang cuba meleraikan penunjuk perasaan Palestin di Kampung Surif di Wilayah Selatan Tebing Barat.