Thursday, March 3, 2011

Cabaran musuh terhadap Islam

Cabaran musuh terhadap Islam

ISLAM adalah din yang benar atau hak yang menjanjikan keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Orang yang beriman dan mengambilnya sebagai din sentiasa berhadapan dengan cubaan musuh-musuh Islam untuk menyekat dan memperdaya bagi melemahkan pegangan mereka terhadap Islam serta keyakinan terhadap janji-janji Allah di akhirat kelak.

Usaha memadamkan cahaya Allah telah berlaku di sepanjang sejarah hidup manusia di atas muka bumi sejak nabi dan rasul dahulu kala lagi hingga zaman baginda Rasulullah s.a.w. dan zaman Khulafa ar-Rasyidin. Percubaan itu berterusan hingga sekarang dan din Allah akan terus ditentang hinggalah datang hari kiamat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sebahagian besar ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) sungguh ingin seandainya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekufuran setelah kamu beriman kerana timbul rasa hasad dengki dari dalam hati mereka setelah jelas kebenaran kepada mereka.”

Ini adalah penjelasan Allah tentang sikap permusuhan orang kafir terhadap orang Islam, tidak kira apa juga kedudukan mereka sama ada Yahudi, Nasrani dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Kekufuran itu adalah satu millah (agama).”

Seorang bekas Perdana Menteri Britain pernah membuat kenyataan dengan katanya, “Barat sekali-kali tidak akan dapat menguasai Timur dan Barat sendiri tidak akan aman selagi al-Quran berada di tangan orang-orang Islam.”

Kenyataan yang sama pernah dibuat oleh Pesuruhjaya Perancis di Algeria ketika negara itu di bawah jajahan mereka. Katanya, “Kita tidak akan menang di dalam peperangan menentang orang-orang Algeria selagi mereka membaca al-Quran al-Karim dan bercakap menggunakan bahasa Arab. Oleh itu kita perlu hapuskan al-Quran daripada kehidupan mereka dan bahasa Arab daripada menjadi bahasa mereka.”

Dalam satu persidangan di Baitulmaqdis suatu ketika dahulu, seorang ketua gerakan Kristian berpesan kepada pendakwah-pendakwah Kristian dengan katanya, “Peranan kamu bukanlah mengkristiankan orang-orang Islam tetapi mengeluarkan mereka daripada Islam  supaya menjadi makhluk yang tidak ada hubungan dengan Allah dan tidak berakhlak.”

Kenyataan yang serupa pernah dibuat oleh seorang pemimpin Kristian di Timur yang kemudian diterbitkan oleh sebuah akhbar komunis di Rusia. Katanya, “Mustahil komunis boleh berkuasa sebelum Islam dapat diganyang habis-habisan.” Sebagai buktinya lihatlah apa yang telah dilakukan oleh komunis ke atas negara Balkan sekarang ini.

Pertelagahan antara hak dan batil sudah menjadi sunnah kehidupan manusia di alam duniawi ini. Kebatilan dan kekufuran tidak senang dengan kebenaran yang dibawa oleh Islam (din Allah) melalui Rasul-rasul Allah dan berakhir dengan baginda Rasullullah s.a.w.

Firman Allah dalam Surah al-Hijr ayat 39 dan 40 yang bermaksud:
“Iblis berkata: “Ya Rabbi, kerana Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menggoda mereka di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.”

Inilah pengakuan Iblis di hadapan Allah SWT. Ia tetap akan menggoda dan menyesatkan manusia di muka bumi ini. Allah SWT memperingatkan kita supaya berjaga-jaga jangan sampai terpengaruh dan cuba mengikut cara hidup orang-orang kafir kerana kelak kita ditimpa kerugian yang besar. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 149 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir mereka akan mengembalikan kamu kepada kekufuran dan kamu akan kembali rugi.”

No comments:

fb