Saturday, March 5, 2011

Karya Islamik perlu realistik

Karya Islamik perlu realistik

I
NDUSTRI hiburan semakin rancak mewarnai dunia. Lambakan artis baru dan lama, juga program-program realiti yang bertujuan mencari artis baru telah muncul. Filem-filem dan drama-drama telah banyak diarah dan ditayang di panggung wayang mahupun televisyen.

Penghasilan filem atau drama genre Islamik juga tidak kurang hebatnya. Namun, ada beberapa perkara yang harus diambil kira oleh golongan seniman dalam menghasilkan karya sebegini. Dalam menghasilkan sesebuah cerita berkenaan Islam seharusnya (tidak boleh tidak) hendaklah  dirujuk kepada pakar (ahli agama) terlebih daluhu. Hal ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam menyampaikan dakwah melalui filem dan drama.

Kebanyakan cerita yang membicarakan hukum tidak menyatakan dengan tepat setiap huraian dan masalah yang dibicarakan. Amat membimbangkan jika kesilapan itu berlaku boleh mengakibatkan salah faham dalam akidah umat Islam. Tidak salah sekiranya penulis skrip merujuk kepada ahli agama bagi memastikan kesahihan setiap perkataan yang digunakan lebih-lebih lagi yang berkisar dengan hukum.

Sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh penggiat-penggiat seni (terutama pengarah, penerbit filem, penulis skrip) dalam menghasilkan filem dan drama Islamik ialah pemilihan pelakon.

Pemilihan pelakon yang tidak sesuai dengan watak dalam filem boleh menyebabkan maksud dan mesej dakwah dalam sesebuah cerita tidak sampai kepada penonton. Pelakon yang ‘tidak sesuai’ dengan watak juga boleh membunuh watak tersebut. Masyarakat (kebanyakannya) terlebih dahulu akan melihat kepada personality realiti artis yang melakonkan watak tersebut. Jika artis yang berlakon itu mempuyai ‘markah’ yang buruk dalam dunia seni, masyarakat secara tidak langsung akan terus memberi pandangan yang buruk terhadap cerita tersebut.

Sebagai contoh, pemilihan seorang artis wanita (yang telah dikenali umum dengan keseksiannya di majalah, akhbar, televisyen, dan sebagainya) memegang peranan sebagai seorang wanita solehah dalam sesebuah cerita akan ‘membunuh’ watak yang dibawa. Bayangkan sahajalah jikalau kita melihat seorang artis yang penuh dengan gosip dan cerita kurang enak dengan tiba-tiba muncul dalam sebuah drama dengan berperwatakan solehah.

Sukar untuk dijelaskan namun apa yang akan timbul dalam pemikiran kira (kebanyakannya) ialah pandangan yang akan merendahkan artis tersebut, bukannya melihat kepada watak dan mesej yang dibawa (saya tidak mengatakan bahawa tidak boleh sama sekali. Tetapi pemilihan itu perlulah sesuai bagi menyapai maksud terus ke hati penonton).

Sebagaimana yang kita maklum, filem adaptasi novel, “Ketika Cinta Bertasbih” dari negara seberang menjalankan sesi ujibakat untuk memilih pelakon yang benar-benar sesuai dengan watak utama. Mereka tidak mengambil pelakon sedia ada sebagai memegang watak perempuan solehah dan lelaki yang soleh namun, satu sesi ujibakat dijalankan bagi memastikan watak itu dapat menyampaikan mesej sebenar filem sebagaimana yang digambarkan dalam novelnya. Hakikatnya, kebanyakan orang telah terpikat dan ia telah member kesan kepada penonton kerana keberkesanan wataknya. Maka tidak salah rasanya jika kita mengambil konsep tersebut untuk diaplikasikan dalam penghasilan karya Islamik di negara kita.

Sesuatu yang menyedihkan juga apabila melihat artis-artis yang bertudung bertindak membuka tudung mereka dengan alas an memenuhi permintaan pengarah dalam lakonan mereka. Mereka seolah-olah telah mempersenda hukum agama yang wajib dipatuhi. Tidak kurang juga yang menghina orang yang memakai tudung dengan tuduhan bermacam-macam.

Penerbit filem tidak seharusnya memikirkan keuntungan dalam menghasilkan filem dan drama Islamik dengan mengambil pelakon sedia ada yang sudah dikenali. Apa yang menjadi keutamaan ialah mesej dalam sesuatu cerita itu dapat disampaikan dengan baik oleh pelakon. Janganlah kita menggadaikan hukum semata-mata kerana mahu mendapatkan keuntungan.

Dr Yusuf al-Qaradhawi juga pernah menyentuh tentang golongan seniman dalam kitabnya, Fiqh al-Awlawiyyat (Memahami Keutamaan). Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut:
“Dalam keadaan apa pun, bidang maklumat tidak boleh kita berikan kepada orang-orang yang tidak percaya kepada Islam, sebagai rujukan yang tertinggi dalam kehidupan kaum Muslimin dan jama’ah Muslimin, dalam bergaul, berfikir, dan berperilaku.

Terdapat dua titik tolak yang saling menyempurnakan dalam tindakan yang dapat kita lakukan.

Pertama, mempersiapkan ahli maklumat Muslim dalam semua bidang kehidupan, pada semua peringkatnya, yang mampu menampilkan bahawa Islam mempunyai pelbagai kemampuan yang besar untuk setiap zaman.

Termasuk dalam kumpulan ini ialah pada seniman daripada pelbagai bidang lagu, drama, dan lakonan. Atas dasar itu, kita memerlukan orang yang dapat menulis skrip filem, pengarah, artis, jurukamera, dan juga eksekutifnya. Perkara ini tidaklah mudah, kerana berkaitan dengan hukum-hukum agama dan bukan agama.

Kita harus membuat matlamat tertentu, prasarana yang jelas, pertahanan yang jelas, agar tidak mengalami kekurangan dan pembinaan manusia dapat dilakukan dengan sempurna.

Kedua, kita berusaha mempengaruhi para ahli maklumat dan seniman pada masa ini. Kerana sesungguhnya antara mereka ada orang-orang Islam yang solat dan mahu berpuasa, tetapi mereka – kerana latar belakang pendidikan dan budayanya – menyangka bahawa apa yang mereka lakukan tidak bertentangan dengan Islam, mendatangkan kemurkaan Allah Ta’ala.

Bahkan sebahagian daripada mereka ada yang telah mengetahuinya akan tetapi mereka terpengaruh dengan gaya hidup orang sekitarnya dan kebiasaan kehidupan sehari-hari.

Kita harus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meraih mereka, sehingga mereka memahami ajaran agama mereka dan bertaubat kepada Tuhan, dan akhirnya mereka bergabung dengan khalifah da’i Islam dan sifat-sifat utamanya.

Pada abad-abad akhir ini, saya telah menyaksikan beberapa orang seniman dan artis yang bertaubat, dan para bintang filem wanita. Akan tetapi kebanyakan mereka telah menjauhkan diri daripada seni dan para seniman untuk menyelamatkan diri mereka sendiri. Mereka lari membawa agamanya.

Sebetulnya, ada tindakan lebih baik yang dapat mereka lakukan. Ketika berada di tahap dalam bidang itu, mereka perlu menginsafi perkataan Saidina Umar Bin al-Khattab setelah beliau masuk Islam sebagai pedoman: “Demi Allah! Tidak ada suatu tempat yang dahulu saya pergunakan untuk menyebarkan kejahilan kecuali tempat itu harus saya pergunakan untuk menyebarkan Islam.” Tindakan seperti ini tidak dapat dilakukan kecuali dengan penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, dan menyingkirkan kerikil-kerikil tajam di jalanan.”

Justeru, penggiat seni seharusnya menjaga tatasusila dan batas hukum dalam menghasilkan sesuatu karya.

Setiap bicara hukum seharusnya dirujuk kepada pakar terlebih dahulu dan tidaklah dibuat atas dasar pengetahuan yang cetek dan tidak bersumber.

Para artis juga seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat kerana mereka biasanya sebagai ‘permula trend’ bagi kebanyakan masyarakat. Karya-karya (terutamanya filem dan drama) seharusnya realistik terutama dalam pemilihan pelakonnya supaya watak dalam cerita itu dapat dihidupkan dan memberi kesan (mesejnya) kepada penonton.

No comments:

fb