Monday, March 7, 2011

SYIRIK MODEN

Golongan musyrik sembah jin, berhala selain Allah
T

 AFSIR surah al-An’am ayat 100: Firman Allah yang bermaksud:
“Dan mereka (manusia) menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah yang menciptakan jin-jin itu.”

Ibnu Kasir menyebut didalam kitab tafsirnya bahawa ayat ini merujuk kepada golongan musyrikin di mana mereka menyembah sesuatu yang lain bersama dengan menyembah Allah SWT, mereka menyekutukan sesuatu dalam pengabdian atau perhambaan atau kepatuhan kepada Allah SWT.

Bahawa sebenarnya mereka menyembah jin sekali gus menjadikannya sebagai sekutu Allah dalam ibadah.

Bagaimanakah boleh berlaku mereka menyembah jin sedangkan mereka zahirnya dilihat menyembah berhala? Sebagai jawapannya, mereka tidak akan menyembah berhala melainkan setelah mengikut perintah jin untuk berbuat demikian sebagaimana disebut dalam firman Allah yang bermaksud:
“Apa yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak lain hanya berhala-hala (dengan mahkluk yang lemah) dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka.

“Yang telah dilaknat oleh Allah dan yang telah mengatakan demi sesungguhnya Aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambamu, bahagian yang tertentu untuk dijadikan pengikutKu (syaitan).

“Dan demi sesungguhnya Aku (syaitan) akan menyesatkan mereka dari kebenaran dan demi sesungguhnya Aku (syaitan) akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya Aku (syaitan) akan menyuruh mereka untuk mencacatkan binatang-binatang ternakan, lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan Aku (syaitan) akan menyeruh mereka mengubah ciptaan Allah.”

“Dan ingatlah sesiapa yang mengambil syaitan untuk dijadikan pemimpin yang ditaati selain dari Allah maka sesungguhnya rugilah mereka (manusia) dengan kerugian yang terang dan nyata.”


“Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (manusia) dengan janji-janji indah serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain melainkan tipu daya semata-mata. (Surah an-Nisa’: 117 -120)

Sebagaimana Allah berfirman dalam ayat lain:
“Apakah kamu mengambil syaitan dan zuriat keturunannya untuk dijadikan sahabat karib bagi menjadikan ikutan selain dari Ku. (Surah al-Kahfi: 50)

Berkata nabi Ibrahim A.S kepada bapanya, sebagaimana disebut oleh Allah didalam firmannya yang bermaksud:
“Wahai ayahku! Janganlah ayah menyembah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah perderhaka kepada Allah yang melimpah ruah rahmatnya” (Surah Maryam: 44)

Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Bukankah Aku (Allah) telah memerintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan terhadap kamu adalah musuh yang nyata! Dan Aku perintahkan hendaklah kamu menyembahKu (Allah) dan inilah jalan yang lurus (Surah Yasin: 60-61)

Dan berkatalah malaikat pada hari kiamat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Maha suci engkau (Allah) dari adanya sebarang sekutu denganMu! Engkaulah yang kami hubungi sebagai pemimpin dan pelindung kami bukan mereka (syaitan).

“Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai sembahan mereka akan kami, bahkan mereka adalah menyembah jin dan syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada jin dan syaitan itu sebagai musuh Tuhan yang dipuja dan dipatuhi. (Surah Saba’: 41)

Oleh yang demikian Allah SWT menyatakan dalam firmannya bahawa mereka telah menjadikan jin sebagai musuh bagi Allah, padahal Allah jua lah yang mencipta jin-jin tersebut.

Ertinya, Allah mencipta jin-jin tersebut tidak ada musuh bagi Allah dalam penciptaan dan kekuasaan terhadap makhluknya buat selama-lamanya. Kenapa mereka menyembah jin-jin itu? Ini kerana mereka telah disesatkan oleh jin-jin dan syaitan. Mereka menerima angan-angan kosong tentang kebaikan sembahan mereka.

Begitu juga dengan masalah yang berlaku pada hari ini, orang yang mengaku beriman dan Islam telah mencipta undang-undang atau hukum-hukum yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.

Satu ketika, mereka menyembah Allah dalam sembahyang dan satu ketika lain mereka syirik dengan Allah dalam mencipta hukum yang tidak diizinkan oleh Allah untuk diciptakan.

Ini adalah bentuk SYIRIK MODEN yang dilakukan bukan sahaja manusia yang nyata (terang-terang) kafir tetapi ia berlaku dikalangan orang yang mengaku dirinya Islam, yang mengerjakan ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji dan yang telah mengucap 2 kalimah syahadah.

Kepada mereka yang berkenaan terutama pemimpin-pemimpin kerajaan dan para pemerintah (sebagai contoh kerajaan Mesir), kembalilah kepada peringatan ayat ini yang telah menjelaskan sifat-sifat syirik di dalam ketaatan dan perhambaan diri kepada Allah.

Tidak ada gunanya kita mengikut syaitan apabila akhir kesudahannya kita semua dalam urusan hidup didunia ini hanyalah kehancuran dan kesesatan yang nyata.

Di akhirat kelak, kita akan dihumbankan (dimasukkan) didalam neraka kerana perbuatan terkutuk dan besar dosanya ini.

Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan iaitu Islamlah kita di dalam semua urusan kehidupan dan pemerintahan, nescaya kita akan selamat di dunia dan di akhirat.

1 comment:

Anonymous said...

salam..kini pas menyandarkan hudud kepada makhluk (DAP@PKR)..ini juga syirik..pas dan umno adakah terdapat bezanya?2 2 perlu tobat..

fb