Thursday, March 10, 2011

Penyelewengan tak boleh ditutup dengan perkataan ‘keselamatan’

Penyelewengan tak boleh ditutup dengan perkataan ‘keselamatan’

K
ALAU ada yang menyebut soal pembekalan senjata, kapal, jet pejuang, tentunya ia dikaitkan dengan keselamatan negara, yang tidak boleh diperbahaskan.

Ia seperti difahami semua orang. Bila berkait dengan soal-soal keselamatan, memang tiada apa yang boleh dikompromi jauh sekali boleh dipertimbangkan secara terbuka, bila-bila masa sekali pun dan di mana-mana, termasuklah di Parlimen.

Itulah sebabnya, lebih mudah bercakap soal agama, kerana Islam sendiri mempunyai empat mazhab, bererti yang boleh berselisih pendapat selagi tidak terkeluar dari akidah berlandaskan syahadah.

Malangnya, di Malaysia, cerita keselamatan ini menjadi modal untuk kroni pemimpin tertentu mengaut keuntungan besar hanya kerana ia dikaitkan dengan soal-soal keselamatan.

Terbaru, penafian yang dibuat Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menolak dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mempersoalkan pembinaan enam Kapal Tempur Persisir (LCS) bernilai RM6 bilion.

Sebelum ini, kematian misteri Altantuya Shaariibuu juga dikaitkan dengan komisen pembelian kapal selam Scorpene, walaupun pelbagai penafian sudah dikeluarkan tetapi, apakah isu-isu pembelian alat-alat keselamatan ini masih mahu terus ‘diselamatkan’ dari pendedahan demi kepentingan kroni?

Memberi alasan keselamatan bertujuan menjaga keselamatan negara memang perlu. Tiada siapa merestui rahsia keselamatan negara didedahkan kepada pihak luar. Jadi, bila bercakap soal keselamatan, ia meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti dan individu
.

Tetapi, usahlah pihak Kementerian Pertahanan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang terlibat membeli kapal, senjata api, jet pejuang dan sebagainya menjadikan jawapan keselamatan untuk menyelamatkan kepentingan kroni mereka.

Ingat! Kementerian Pertahanan pernah terkait dengan cerita pembekalan mi segera yang boleh dibeli dengan harga tiga puluh sen sebungkus tetapi terpaksa dibayar kepada pembekal dengan harga RM4.50 sebungkus.

Ini cerita lama. Tetapi, bukanlah bermakna cerita lama itu tidak berlaku lagi sekarang, cuma jika dulu heboh cerita mi segera yang dibeli dengan harga yang mahal, kini timbul pula cerita pembinaan kapal tempur yang tidak masuk akal harganya.

Itu belum lagi dikorek cerita bagaimana Kementerian Pertahanan dibekalkan dengan alat-alat elektronik yang tidak boleh digunakan dan tersimpan dalam setor, tetapi terpaksa dibayar kepada pembekal.

Disebabkan pembekalan dikaitkan dengan manusia, maka faktor keselamatan usahlah disalahgunakan.

Begitu juga dengan pihak yang dilantik menjadi penyelenggara enjin jet, helikopter dan kapal terbang tentera, janganlah ia diberikan kebebasan meletakkan harga sesuka hati hanya kerana faktor ‘keselamatan’.

Padahal, cerita-cerita yang tersebar di luar, sudah tidak menjadikan negara ini selamat dari segi ancaman penyelewengan dan rasuah.

Apakah rakyat mahu dipaksa supaya mempercayai walau berapa sekalipun kos yang terpaksa dibayar hanya kerana ‘keselamatan’?

Tidak begitu sebenarnya. Ada perkara yang ‘keselamatan’nya perlu didedahkan walapupun dari segi kekuatan dan angka sebenarnya tidak boleh didedahkan. Ancaman rasuah dan penyelewengan sebenarnya lebih bahaya dari cerita keselamatan yang mahu dirahsiakan.

Sebenarnya antara LCS dan OPV (Kapal Pengawal Pantai) tidak menjadi isu, apabila ia dibangkitkan. Kerana keperluan negara mempunyai LCS dan OPV tidak ada sesiapa mahu mempertikaikannya.

Tetapi ketelusan dalam perbelanjaan yang menjadi isu. Di Malaysia, sama ada ia dibuat secara runding terus, atau tender terbuka dan tender terpilih, rasuah boleh berlaku pada bila-bila masa.

Usahlah menuduh kononnya bertujuan untuk mendedahkan aset pertahanan negara kepada pihak luar. Bukan itu isunya.

Sebenarnya apabila ada pihak menimbul isu ini, ia tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan kepada negara. Ia timbul kerana ada kesangsian.

Pihak kementerian boleh menjawab dan boleh memilih untuk tidak menjawab tetapi kemunasabahannya akan tetap menjadi tanda tanya, apakah memang begitu harganya sedang negara lain juga turut membeli kapal-kapal tersebut?

Yang menjadi sukar di sini,apabila tanggungjawab tentang keselamatan negara, seolah-olah terletak di tangan Umno sahaja. Itulah sebabnya, apabila berlaku pembelian dan kontrak, biasanya ia akan dibolot oleh mereka yang ada kaitan dengan Umno dan pemimpin Umno.
Sebenarnya, banyak cerita yang tidak aman muncul dari mereka yang pernah berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan. Ia termasuklah membekalkan makanan mentah, makanan bermasak, keperluan seragam dan kenderaan misalnya.

Itulah sebabnya, apabila Lapangan Terbang Sungai Besi mahu dibangunkan pun, ada pihak yang cuba menafikannya tetapi, semua orang sudah tahu siapakah yang dapat kawasan tersebut, padahal Lapangan Terbang Sungai Besi itu juga adalah isu keselamatan.

Ketika mereka membuat keputusan member dan menjual hal-hal keselamatan, tiada siapa yang bercakap ia penting untuk keselamatan tetapi apabila ada pentanyaan mengapa ianya mahal, sedangkan negara lain tidak membeli alat yang sama dengan harga yang begitu mahal, maka yang bertanya itu akan dituduh sebagai penderhaka.

Negara ini adalah milik bersama. Ketika negara kita buta IT, barangkali tiada rakyatnya yang mahu mempersoalkan kenapa membeli dan membina kapal dengan harga yang terlalu mahal.

Tetapi, ketika negara kita sudah berada di dalam langit terbuka, lebih banyak lagi pertanyaan-pertanyaan yang akan muncul, bukan setakat harga sebungkus mi segera tetapi harga pembinaan LCS dan pembelian OPV juga akan menjadi hangat.

Namun, satu perkara yang Umno kena ingat, bahawa negara ini tidak akan terjamin selamat jika isu keselamatan ini mahu dipolitikkan dan semua penyelewengan mahu ditutup dengan perkataan ‘keselamatan’.

Maka, keselamatan yang tidak akan menyelamatkan Umno itu akhirnya terbongkar dengan sendirinya apabila ada cerita kapal selam tidak boleh menyelam dan ada alat elektronik yang tidak boleh digunakan, bertimbun disimpan di dalam stor Kementerian Pertahanan.

No comments:

fb