Thursday, March 3, 2011

Gelombang perubahan di IPTA, Taib Mahmud dan fatwa Qaradhawi

Gelombang perubahan di IPTA, Taib Mahmud dan fatwa Qaradhawi

D
ALAM suasana pilihan raya kampus yang agak berkecamuk, apabila dicemari beberapa insiden yang menggambarkan ia tidak dijalankan secara adil dan bebas, mahasiswa sudah pun membuat keputusan tersendiri.

Tahniah buat yang menang dan juga yang kalah. Kesediaan anda, tidak kira daripada kumpulan man, untuk menawar diri sebagai pemimpin di kampus sudah cukup membanggakan. Saya lebih terkesan dengan proses pendemokrasian di universiti, kecacatan dan kelemahannya, juga keupayaan gerakan mahasiswa mengangkat martabat warga kampus, terutama dalam memenuhi tanggungjawab dalam pelbagai dimensi kepimpinan.

Kumpulan Pro-Mahasiswa, yang dilihat lebih independen, dan berani bersikap kritis, berjaya merebut kembali penguasaannya di beberapa universiti “ternama”. Manakala saingannya, Pro-Aspirasi, kumpulan yang mendominasi kampus sejak beberapa lama – dengan bantuan pentadbiran universiti, Kementerian Pengajian Tinggi dan BN – menerima tamparan hebat, walaupun baru saja mengadakan perhimpunan besar, yang turut melibatkan bekas pimpinannya, bersama bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Kejayaan Pro-M menawan kampus utama di Lembah Klang, seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, selain mengekalkan penguasaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dikaitkan sebagai perkembangan positif buat Pakatan Rakyat, sekali gus babak hitam buat BN. Tanpa mengetepikan sentimen di dalam kampus mungkin boleh mempengaruhi realiti politik di luar, saya melihat perkaitan itu tidak semestinya selari.

Misalnya, semasa PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum 1986, sehingga calonnya di Parlimen berbaki seorang sahaja, namun hampir semua kampus dibolot calon-calon yang mempuyai kecenderungan politik yang rapat dengan Parti Islam itu. Begitu juga ketika Pakatan Rakyat mencatatkan kejutan dan tsunami politik pada 2008, kumpulan Pro-Aspirasi menang selesa di kebanyakan universiti. Bagi saya, dan sejarah membuktikan, pendirian politik mahasiswa boleh dan mudah berubah apabila bergelar siswazah.

Justeru, harus diperingatkan pihak universiti, KPT dan kerajaan agar tidak turut risau dengan trend berorganisasi pelajar-pelajar kita. Usah terlalu mengaitkannya dengan pergolakan politik di luar kampus. Tugas universiti hanya menyediakan platform dan kemudahan sama rata buat semua calon atau kumpulan (saya rasa elok mahasiswa dibenarkan kembali bertanding atas tiket kumpulan) yang bertanding.

Malah, sepatutnya, mahasiswa sendiri mampu mengendalikan pilihan raya kampus dengan penyeliaan minimum universiti, dan juga mengelolakan aktiviti semua persatuan pelajar. Kebanyakan fungsi Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang dibentuk pada 1975 (dan sering menimbulkan masalah kepada aktivisme mahasiswa) juga boleh dijalankan oleh mahasiswa.

Sedih mendengar aduan Pro-M yang mendakwa kempen mereka disekat terutama di kolej-kolej kediaman, amalan double standard dalam menguatkuasakan peraturan tertentu, hatta sabotaj pihak fakulti ketika mendapatkan tandatangan dekan misalnya, selain mensyaratkan kehadiran bengkel calon yang sebenarnya memperlekeh potensi kepimpinan mahasiswa. Soal Pro-Aspirasi atau Penggerak Mahasiswa mendapat bantuan, khususnya kewangan, daripada parti-parti politik tidaklah membimbangkan saya asalkan perjalanan pilihan raya kampus tidak diganggu kelompok berkepentingan di luar.

Kata kuncinya, pihak universiti terutama HEP terus memperbodoh serta meremehkan potensi mahasiswa, dan menganggap mereka tidak lebih daripada budak sekolah yang boleh diperkotak-katikkan. Gumpalan mesej yang cuba disampaikan mahasiswa melalui perarakan, demonstrasi, mengusung “keranda”, membaringkan “mayat”, juga peti undi, seperti tidak difahami birokrat universiti.

Gerakan pelajar merupakan sebahagian penting masyarakat sivil yang perlu dihormati. Mereka bukannya “pemimpin masa depan” (yang perlu menunggu giliran untuk berbakti) tetapi adalah “pemimpin hari ini” (yang seharusnya segera terjun ke kancah), terutama buat rakan sebaya dan golongan belia, selain berupaya menjadi gandingan yang boleh menyumbang dengan berkesan kepada kepemimpinan kerajaan, dan berperanan sebagai agen “semak dan imbang”.

Dinamisme gerakan mahasiswa memang terpendam sekian lama. Elit penguasa melakukan pelbagai konspirasi untuk melumpuhkan fungsi “advokasi”, dengan membataskan kegiatan palajar dalam skop yang cukup sempit. Saya kira, dari sudut ini, Pro-M harus membuktikan mereka memang menpunyai idealisme luhur dan tekad-azam politik yang cukup kuat bagi menampilkan kelainan berbanding Pro-Aspirasi.

Kumpulan Pro-M atau mereka yang sealiran denganya bukan tidak pernah menguasai majlis perwakilan pelajar. Banyak juga kelemahan dan kedaifan yang dipamerkan, dan ini tidak seharusnya diulangi.

II. Bukti penyelewengan Taib Mahmud

Ada pihak cuba mengaitkan Taib Mahmud di Sarawak dengan Hosni Mubarak yang tersungkur oleh Revolusi Rakyat Dataran Tahrir, sekurang-kurangnya dari segi usia pemerintahan mereka. Taib sudah berkuasa sejak 30 tahun lalu dan masih mahu bertanding dalam pilihan raya umum negeri, yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Alasannya, seperti juga dalih lazim sang diktator di Timur Tengah, iaitu belum ada pengganti yang sesuai.

Selain lama berkuasa, Taib juga didakwa mengumpulkan kekayaan luar biasa melalui rasuah dan salahguna kuasa. Tuduhan beliau merampas hak dan harta rakyat (terutama membabitkan tanah adat dan monopoli permit balak) kian lantang disuarakan. Ramai juga melabelkan kehidupan Taib seolah-olah seorang raja berkuasa mutlak.

Di atas kertas BN Sarawak, yang sering dianggap simpanan tetap BN Pusat bagi mengekalkan kemenangan mudah di Parlimen, seperti tidak menghadapi masalah besar dalam pilihan raya nanti. Berbekalkan 63 kerusi daripada 71 kerusi Dun (enam DAP, masing-masing satu KeADILan dan Parti Cinta Malaysia), Taib dijangka mampu terus berkuasa. Sepanjang kerjaya politiknya, saingan dalam pilihan raya negeri 1987 – melalui peristiwa Ming Court dan terbentuknya Kumpulan Maju yang dihubungkan dengan bekas Ketua Menteri Abu Rahman Yaakub, serta kebangkitan politik Dayak dan PBDS – memang cukup sengit.

Zaman sukar Taib seolah-olah sudah berlalu apabila menang 28 daripada 48 kerusi Dun pada 1987 dan seterusnya berjaya “membeli” sebahagian besar Adun pembangkang waktu itu. Namun real politik hari ini tidak boleh diduga. Perasaan tidak puas hati rakyat Sarawak terhadap pemerintahan Taib dan tingkah-laku saudara-maranya yang dilihat suka mempamerkan kemewahan, semakin menjalar.

Beberapa laman khas diwujudkan bagi mendedahkan “penyelewengan” Taib, siap dengan bukti-bukti yang dikira dapat meyakinkan pengunjung. Antara laman yang paling popular adalah sarawakreport.org. Tidak rugi jika anda mengunjunginya.

III. “Jangan teragak-agak bunuh Ghaddafi”

Pembunuhan beramai-ramai di Libya cukup menggerunkan. Rejim Muammar Ghaddafi yang menuggu masa untuk tumbang bertindak zalim di luar batas kemanusiaan, dibantu tentera upahan asing. Libya lebih tertutup berbanding rejim lain di Timur Tengah dan ini menyukarkan kebocoran berita kepada dunia luar. Ghaddafi mungkin lupa, rakyatnya yang dilatih dengan semangat anti-imperialisme (bentuk baru), apatah lagi mengambil roh perjuangan Umar Mukhtar, bakal memahat “paku terakhir buat kerandanya”.

Suka saya merakamkan fatwa ulama tersohor Dr Yusof al-Qaradhawi: “Aku mengeluarkan fatwa sekarang supaya Ghaddafi dibunuh! Barangsiapa sama ada pegawai tentera, atau tentera biasa atau mana-mana individu yang mempunyai peluang untuk membunuhnya, maka janganlah teragak-agak untuk membunuhnya! Ia semata-mata untuk menyelamatkan rakyat Libya daripada kejahatan dan kezaliman lelaki gila ini! Haram kepada pegawai dan askar biasa untuk mentaati lelaki ini dalam perkara yang maksiat, kezaliman dan kerakusan terhadap rakyatnya sendiri!”

No comments:

fb