Tuesday, March 8, 2011

Kesan revolusi Mesir akan sampai ke Malaysia jua

A
KHBAR Suara Keadilan kata Malaysia akan menjadi Mesir dengan kebangkitan rakyat menurut perubahan. Adakah Malaysia akan mengikut jejak Mesir? Tentulah banyak orang kata tidak. Ini kerana Malaysia tidaklah seteruk Mesir dari segi demokrasi. Rakyat Malaysia yang mahukan perubahan tidak perlu berarak di jalan raya, tetapi cukup menggunakan peti undi.

Tetapi tidaklah Mesir juga mempuyai pilihan raya? Mengapa mereka pergi ke jalan raya juga? Masalahnya pilihan raya tidak cukup demokratik. Maka akhirnya mereka ke jalan raya untuk menuntut apa yang mereka tidak peroleh melalui pilihan raya. Perlu diingat bahawa kebangkitan baru ini walaupun dicetus dengan apa yang berlaku di Tunisia, tetapi ia berakar daripada suasana tidak puas hati kerana Hosni Mubarak masih tetap mahu terus bertanding jawatan presiden dengan sistem di mana penentang-penentangnya dihalang.

Andai kata pada tahun lalu, Mubarak sedar diri dan mengumumkan bahawa dia tidak akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan September tahun ini, mungkin kebangkitan yang berlaku sekarang tidak tercetus. Namun begitu, mengapakah rakyat Mesir umumnya tidak mahu Mubarak lagi. Adakah kerana beliau sudah lama memerintah? Atau kerana pemerintahan hampir 30 tahun tidak mendatangkan kemakmuran?

Jawapannya ialah kedua-duanya. Tetapi punca perkara ini boleh berlaku pada rakyat Mesir ialah ketiadaan demokrasi yang sewajarnya. Maka mereka bukan saja menuntut pengunduran Mubarak tetapi pertubuhan rejim, bagi diwujudkan Republik Mesir yang memberi ruang suara dan ruang hidup bagi setiap warganegaranya.


Kalau mengikut idealisme para penunjuk perasaan itu, Republik Arab Mesir wajar menjadi Republik Mesir saja. Semua warganegaranya adalah setaraf dan bukan saja yang berbangsa Arab, walaupun sebenarnya 100 peratus rakyar Mesir adalah berbangsa Arab.

Begitulah idealisme asal Republik Mesir yang mula-mula ditubuhkan ekoran Revolusi 1952 oleh Muhamad Naguib dan Gamal Nasser di mana Ikhwanul Muslimin memperjuangkan pemerintahan Islam, tetapi ia bukanlah bentuk Negara Islam dari segi konsep yang muncul semasa Revolusi Islam Iran 20 tahun kemudian.

Malah Ikhwanul Muslimin yang mungkin menubuhkan parti politik untuk beroperasi dalam sebuah negara demokratik bersedia menerima sistem yang mencerminkan kehendak rakyat. Ikhwanul Muslimin kekal sebagai jemaah gerakan Islam. Model itu adalah seperti yang dilakukan oleh Nahdhatul Ulama dan Muhammadiyah di Indonesia pada masa ini yang menampilkan masing-masing Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Amanat Nasional (PAN).

Maka kalau di peringkat jemaah, tentunya ia dianggotai oleh para aktivis, tetapi di peringkat parti politik, keanggotaan adalah datang daripada pelbagai agama dan fahaman tetapi berpegang pada program parti. Sebab itu selama ini pun Ikhwanul Muslimin meletakkan calon pilihan raya melalui parti lain khususnya Parti Buruh.

Maka kini Ikhwanul Muslimin bersama parti-parti pembangkang lain turut meletakkan tuntutan terhadap pewujudan sebuah republik demokratik Mesir, untuk semua rakyatnya. Ini kerana sejak tahun 1950-an, pihak nasionalis kiri Arab pimpinan Gamal Nasser mengkhianati Ikhwanul Muslimin dan semangat Revolusi 1952. Bukan saja nasionalis kiri Arab Mesir menangkap, mendera dan membunuh aktivis Ikhwan, tetapi mereka membawa Mesir ke jalan nasionalis yang merosakkan negara.

Mereka bercita-cita mewujudkan suatu negara Arab yang besar dengan nama Republik Arab Bersatu (UAR) berbentuk fahaman sosialisme yang menolak demokrasi. Cita-cita ini gagal dengan negara Mesir ditukar namanya kepada Republik Arab Mesir dan apabila Anwar Sadat menandatangani perjanjian dengan Israel, maka fahaman ini ternyata gagal dan pengunduran Mubarak merupakan petanda berakhir fahaman nasionalis kiri Arab di Mesir.

Satu persatu negara-negara Arab yang memegang fahaman ini juga mengakhiri cita-cita ini. Sudan, Yaman Selatan, Syria, Iraq dan Libya adalah antara negara yang memegang fahaman nasionalis kiri Arab ini. Selepas Mesir, Sudan meninggalkan fahaman ini. Dengan kejatuhan Kesatuan Soviet, Yaman Selatan juga meninggalkan fahaman ini dan menyatukan diri dengan Yaman Utara. Iraq tumbang apabila Amerika Syarikat menyerang dan menakluknya. Maka negara yang tinggal memegang fahaman ini ialah Syria dan Libya. Maka dalam kebangkitan baru-baru ini, rakyat Libya turut menuntut demokrasi.

Kesemua republik-republik nasionalis Arab itu berasaskan pada tentera, seperti juga di Indonesia. Di bawah Indonesia, tentera juga yang berkuasa, pada mulanya bersama nasionalis kiri pimpinan Sukarno dan kemudiannya ke kanan di bawah Suharto. Hinggalah berlaku gerakan Reformasi 1998 apabila rakyatnya bangkit dan membawa kepada penubuhan sistem demokrasi.

Di Malaysia, perbezaannya terletak pada hakikat bahawa tentera tidak berperanan besar, sementara nasionalis yang berkuasa adalah daripada haluan kanan. Nasionalis kiri telah ditekan dan dipinggirkan.

Sungguhpun begitu, demokrasi yang diamalkan di Malaysia juga amat terhad. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan menunjukkan betapa demokrasi di negara ini masih tidak mencerminkan kebebasan untuk rakyat. Tuntutan demokratik yang digerakkan baik oleh  Angkatan Perpaduan Ummah gagasan rakyat pada tahun 1990, dan Barisan Alternatif 1999 masih tidak mengubah negara ini menjadi lebih demokratik.

Bahkan kemenangan parti-parti yang kemudian bergabung dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2008 masih tidak mengubah corak negara ini kepada lebih demokratik. ISA, Akta Penerbitan dan Akta Kolej dan Universiti masih ada. Lebih besar lagi, semangat demokratik tidak ditunjukkan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional walaupun mengalami banyak kekalahan dalam pilihan raya itu.

Satu Malaysia dan slogan Rakyat Didahulukan, serta program Transformasi masih tertumpu pada soal ekonomi tetapi bukannya kepada perubahan struktur politik dan sosial dalam semangat demokrasi.

No comments:

fb