1. Ramadhan adalah sebuah Institusi Awam yang lengkap dengan program rabbani dan modul as samawi untuk mengkaderkan ummat manusia khasnya mereka yang mempersiapkan diri untuk menjadi pejuang agama Allah swt [ Ansoorullah ].
2. Program rabbani yang bersifat sanawi [ tahunan atau sekali setahun ] tersebut, berlangsung selama 30 hari sepanjang bulan Ramadhan. Ia menyediakan satu tentatif program yang menggabungkan 3 energy utama kelayakan pejuang yang hebat.
a ] keyakinan yang benar [ aqidah sohihah ]
b ] spiritual yang mantap [ ruhiyah qawiyah ]
c ] keperibadian yang hebat [ akhlak matiinah ]
3. Objektifnya ialah untuk melahirkan insan muslim mukmin yang muttaqin melalui perlaksanaan dan penghayatan modul yang telah ditetapkan iaitu berpuasa dengan penuh keimanan dan penghayatan. Firman Allah swt :
يا ايها الذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
maksudnya : Wahai orang - orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana ia pernah difardhukan ke atas orang - orang sebelum kamu, mudah - mudahan kamu bertaqwa kepada Allah swt.
Surah Al Baqarah : 183
4. Sebagai pejuang yang akan menggalas segala amanah dan tanggungjawab untuk mendaulatkan syariat Allah swt dan menyelamatkan manusia dari arus jahiliah moden yang merosak aqidah, meruntuh keperibadian dan memusnahkan tamadun mereka, pejuang tersebut memerlukan satu senjata yang luar biasa serta mampu menewaskan kebejadan jahiliah.
5. Senjata luar biasa yang dimaksudkan itu ialah At Taqwa. Taqwa inilah yang mesti dimiliki oleh para pejuang untuk melayakkan mereka muncul sebagai pejuang hebat justeru hanya pejuang yang hebat mampu memimpin ummah membina tamadun yang mendapat keampunan Allah swt dan membimbingnya ke jalan yang benar, pula menongkah segala cabaran dan meredah segala rintangan.
6. Justeru itu, pemuda mesti berusaha dengan segala keupayaan bagi memastikan Taqwa dapat dimiliki dengan menyertai Madrasah Ramadhan ini, serentak itu meletakkan pemuda layak sebagai pejuang yang hebat, selain pemuda turut dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan taktikal dalam mengurus sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam serta parti yang menyertai politik berpilihanraya.
7. Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.
Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :
أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ
“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.
( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )
[ Lihat hadis ini dalam Tafsir al-Qurthubi : ayat 102, surah Ali Imran dan kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.]
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang bernama Ubai bin Ka'ab r.a. mengenai maksud taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.
Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.
[ Rujuk Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah ]
Sementara menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.
[ Rujuk Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah). ]
Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.
[ Rujuk Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah). ]
Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.
[ Rujuk Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah ]
8. Mutaakhir ini, keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah telah sampai ke paras bahaya, memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh . Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim . Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak, moral dan aqidah.
9. Menyedari reality dunia dan ummah hari ini , marilah kita manafaatkan sepenuhnya modul Madrasah Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .
10. Kitalah pemuda yang selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi . Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah .
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment