Thursday, July 31, 2014

Bagaimana McDonald's Malaysia Memperbodohkan Rakyat Malaysia



Masuk 3 Syawal, tiba-tiba McDonald's Malaysia bersuara melalui Berita Harian. Ahli Lembaga Pengarah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Wan Mohd Zam Wan Embong tampil memberikan kenyataan. Mungkin mereka sudah 'panas punggung' atas boikot yang berlarutan.


Membaca sepintas lalu artikel tersebut, beliau dilihat cuba menggambarkan McDonald's Malaysia sebagai syarikat tempatan, mempunyai banyak kepentingan Melayu dan orang Islam yang hanya membayar 5 peratus royalti kepada McDonald's Corporation.


Tapi adakah benar gambaran yang dibawa oleh beliau? Mari kita semak fakta melalui dokumen maklumat syarikat Golden Arches Restaurant Sdn Bhd yang dibeli dari SSM. Kita juga lihat maklumat dari laman web rasmi mereka di www.mcdonalds.com.my terutamanya notis dihalaman ini.

Banyak restoran McDonald’s milik penuh rakyat Malaysia

Kita tidak perlu pergi jauh pun - ada baiknya kita semak kebenaran fakta dalam headline atau tajuk artikel ini. Mengikut laman web rasmi mereka terdapat 242 outlet McDonald's Malaysia. Berapa banyak yang dikatakan banyak? 30 peratus? 40 peratus? Sekiranya 30 peratus harus ada 72 outlet, sekiranya 40 peratus harus ada 96 outlet.

Petikan dari notis di laman web mereka

Sebanyak 67 restoran kami dimiliki dan diusahakan oleh 27 francaisi tempatan, yang 40 peratus sehingga 50 peratus daripada mereka adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam.

Jumlah outlet berdasarkan maklumat di laman web rasmi mereka: 242


Hanya 67 outlet, jadi bila dikira peratusan outlet francais yang dimiliki rakyat Malaysia: 67 / 242 x 100% = 27.68%

Adakah 27.68% outlet dikira banyak? Apa yang pasti bukan majoriti. McDonald's Malaysia memiliki bakinya dan memiliki majoriti outlet.

Berapa banyak pula kepentingan Melayu?

Peratusan outlet francais yang dimiliki Melayu: (50% x 67) / 242 x 100% = 13.84%


Dengan hanya 13.84% outlet dimiliki oleh orang Melayu memang jauh panggang dari api hendak mengatakan McDonalds Malaysia adalah syarikat Melayu. Bukannya 50% outlet dimiliki orang Melayu!

Ahli lembaga pengarah yang seramai 10 orang pula hanya ada 2 orang pengarah Melayu!


Wan Mohd Zam berkata, hubungan antara McDonald’s Malaysia dan McDonald’s Corporation adalah atas dasar hubungan komersial yang mana pihaknya membayar royalti sebanyak lima peratus di atas hasil jualan.

Adakah hubungan McDonald's Malaysia dan McDonald's Corporation setakat membayar royalti sahaja?


Semakan di SSM menunjukkan Golden Arches Restaturant Sdn. Bhd. mempunyai 20 juta saham biasa. Siapa pula pemiliknya?



McDonald's Corporation bukan setakat menerima royalti malah mempunyai saham majoriti dalam Golden Arches Restaurant's Sdn Bhd (McDonald's Malaysia).


Tiada entiti Malaysia yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald's Malaysia.


Tiada entiti Melayu yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald's Malaysia.


Melayu sekadar majoriti pekerja dan minoriti pemilik outlet McDonald's Malaysia.


Tajuk artikel pun sudah memberi gambaran salah. Sejauh mana lagi McDonald's Malaysia mahu memperbodohkan rakyat Malaysia?

Sumber : http://www.firdausariff.com/2014/07/mcdonaldsbodohkanmalaysia.html?spref=fb&m=1

Saturday, July 26, 2014

Obama dipelawa bermalam di hospital

Saturday, July 19, 2014

10 syarat yang ditetapkan Hamas untuk Gencatan Senjata


10 syarat yang ditetapkan Hamas untuk Gencatan Senjata

🚜1.Memberhentikan serta-merta peperangan antara kedua-dua belah pihak dan pengunduran kereta-kereta kebal Israel ke pangkalannya serta mengembalikan kawasan-kawasan perbatasan kuning yang digariskan sebelum ini serta tanah pertanian juga membenarkan para petani Palestin untuk bekerja di tanah-tanah pertanian mereka.

👬2.Membebaskan semua rakyat-rakyat Palestin yang ditangkap sejak 23 Jun 2014 juga jaminan kebajikan mereka khususnya tahanan dari Jerusalem, Gaza dan rakyat Palestin dalam(rakyat palestin yang tinggal dalam Israel).

3.Membuka kepungan ke atas Gaza secara total serta laluan-laluan sempadan untuk laluan barangan-barangan serta individu dan laluan untuk kemasukan semua bahan-bahan mentah seperti makanan dan bahan-bahan binaan serta membina stesen jana elektrik yang cukup untuk semua keperluan Semenanjung Gaza.

4.Pembangunan semula pelabuhan laut antarabangsa dan lapangan terbang antarabangsa yang diselia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara berkecuali.

5.Perluasan kawasan penangkapan ikan bagi nelayan sehingga 10km dari persisir pantai Gaza serta menyediakan para nelayan dengan kapal-kapal nelayan dan muatan/kargo besar.

6.Menjadikan laluan Rafah sebagai laluan antarabangsa yang diselia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara-negara Arab dan negara atas kerjasama.

7.Penandatanganan untuk gencatan senjata bagi tempoh 10 tahun serta menempatkan pengawal-pengawal antarabangsa di setiap sempadan.

8.Jaminan dari pihak Israel untuk tidak menceroboh ruang udara Palestin serta memudahkan mereka yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

9.Israel tidak dibenarkan masuk campur dalam urusan kerajaan Palestin mahupun dalam pembentukan kerajaan perpaduan Palestin.

10.Pembinaan semula kawasan-kawasan perindustrian di sempadan serta jaminan keselamatannya dan kemajuannya.

#PrayForGaza
Sumber: Jabatan Media Hamas

Malaysia patut henti hubungan dagang dengan Israel

Malaysia patut henti hubungan dagang dengan Israel

Sumber : Harakahdaily

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF | 15 Julai 2014.

1. Hari ini telah masuk hari ke-8 serangan bersepadu darat, laut dan udara Israel ke atas Gaza. Serangan udara dan tembakan meriam ke atas orang awam Gaza diteruskan sehingga mengakibatkan angka kematian meningkat secara mendadak mencecah 160 orang di samping lebih 1000 pula mengalami kecederaan sehingga semalam. Semalam juga Israel mengumumkan akan memperhebatkan serangan darat dengan “gempuran paling kuat” pada bila-bila masa sahaja.

2. Umat Islam di serata dunia telah menunjukkan solidariti tidak berbelah bahagi kepada penduduk Palestin khususnya di Gaza. Ribuan berhimpun di United Kingdom, Yaman dan juga di Israel sendiri. Dijangka menjelang hujung minggu ini lebih banyak negara akan mengadakan himpunan dan demonstrasi besar-besaran. Turki pula, melalui Perdana Menterinya, Erdogan telah mengumumkan bantuan segera kemanusian akan dihantar ke Semenanjung Gaza. Menariknya, misi bantuan kemanusian itu juga akan diiringi oleh beberapa buah kapal perang. Ini merupakan signal jelas kepada Israel bahawa Turki bersungguh besar terhadap isu yang melanda umat Islam Palestin.

3. Malangnya, pemimpin dan negara umat Islam sekitar yang lain masih membisu dalam isu ini dan jika ada pun hanya mengeluarkan kenyataan bantahan dan kecaman yang bersifat umum untuk publisiti media tanpa ada dilakukan suatu tindakan affirmatif untuk sekurang-kurangnya memberi tekanan kepada Israel. Malah ada antara negara Islam yang mengecam dan mengkritik tindakan Hamas mempertahankan diri dari serangan Israel dan melabel tindakan itu sebagai bersifat keganasan terhadap Israel. Mesir juga menghalang bantuan perubatan dari Eropah yang cuba memasuki Palestin bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.

4. Sikap tidak bersungguh kebanyakan negara dan pemimpin Islam ini juga turut diikuti oleh Malaysia. Malaysia sehingga setakat ini hanya baru mengeluarkan kenyataan bantahan mengecam serangan Israel ke atas Gaza, mendesak OIC serta PBB untuk segera menghulurkan bantuan kemanusiaan dan melancarkan tabung kemanusian untuk Gaza di peringkat nasional. Namun sehingga ke hari ini belum ada tindakan agresif dari Malaysia untuk mendesak dunia menyekat kekuatan ekonomi Israel yang sudah tentu akan melumpuhkan operasi ketenteraan Israel. Malah Malaysia sendiri mempunyai hubungan dagang dengan Israel secara langsung.

5. Data yang dikeluarkan oleh Israel’s Central Bureau of Statistics menunjukkan bahawa pada tahun 2008, eksport Israel ke Malaysia mencecah $30.2 juta manakala barang import Israel bernilai $100.6 juta. Pada tahun 2009, Israel mengeksport $116.8 juta nilai barangan ke Malaysia dan mengimport barangan bernilai $68.5 juta. Pada 2010, nilai eksport Israel ke Malaysia meningkat kepada $798 juta dan import pula meningkat ke $85 juta. 2011 menyaksikan barangan eksport Israel ke Malaysia bernilai $716.4 juta dan barangan import bernilai $93.6 juta.

6. Satu laporan yang disusun oleh European Comission menunjukkan bahawa pada tahun 2010 Malaysia menduduki tempat ke-15 sebagai rakan dangan utama Israel dengan menyumbang kepada 0.8 peratus daripada perdagangan Israel pada tahun tersebut.

7. Oleh hal yang demikian saya mendesak Perdana Menteri Malaysia agar dengan segera mendesak agar Israel hentikan sebarang bentuk operasi ketenteraan atau hadapi potensi boikot besar-besaran dari Malaysia. Saya juga mendesak agar Malaysia sebagai anggota OIC mengajak seluruh Negara Islam yang menganggotai OIC agar melaksanakan sekatan ekonomi yang sama.

8. Saya juga ingin mempersoalkan sikap pilih kasih PBB atas sikap memilih konflik untuk bertindak. Sehingga ke hari ini apabila ia melibatkan kepentingan umat Islam, maka PBB akan membisu dan membutakan mata. Malaysia juga sebagai anggota PBB sepatutnya menyelar sikap pilih kasih ini dan mendesak agar tindakan segera oleh PBB. -HARAKAHDAILY 15/7/2014

Nurul Islam Mohamed Yusoff ialah Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Wednesday, July 16, 2014

Surat Terbuka Kepada Yang Berjihad - Presiden PAS


Surat terbuka kepada yang berjihad

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 14 Julai 2014.

PERKATAAN jihad, menjadi sebutan di kalangan umum umat Islam sejak zaman berzaman, walau pun ramai yang  tidak memahaminya secara hukum feqah. Kini menjadi lumrah disebarkan oleh media dan menjadi sebutan juga di kalangan bukan Islam, lebih menjadi sasaran media apabila ada kalangan yang mengisytiharkan jihad berperang menentang kerajaan yang ditolak dan mengajak seluruh dunia menyertainya.

Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diimani dan dihayati oleh penganut Islam dan sepatutnya difahami dengan betul oleh semua pihak mengikut tasawwurnya, supaya tidak mencalarkan ajaran Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Perlu diketahui bahawa setiap ajaran Islam itu ada feqahnya, bukan hanya perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat. Maka jihad pun ada hukum feqahnya yang tersendiri.

Feqah bererti kefahaman yang betul, bermaksud diketahui secara ilmu yang sahih dan dilaksanakan dengan istiqamah dan faham terhadap setiap ajaran itu secara menyeluruh dan mendalam. Ianya meliputi cara amalan, syarat, rukun, adab, masa  dan matlamatnya yang dinyatakan oleh sumber utama ajaran islam, iaitu al-Quran, serta dihuraikan pelaksanaannya yang betul oleh Rasulullah S.A.W. dan para ulama yang mendalaminya  di sepanjang zaman dengan cara ilmu yang betul melalui bahasa al-Quran, di mana ada perkataannya yang tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain dengan satu perkataan sahaja.


Seperti juga urusan ajaran Islam yang lain, hukum jihad itu ada di dalamnya perkara-perkara dasar yang tetap dan teguh, ada pula yang berkait dengan perkembangan kehidupan masyarakat yang berbeza dan berubah yang  semuanya berada dalam ilmu Allah dan kebijaksanaanya yang penuh rahmat dan adil.

Perkataan Jihad daripada  bahasa Arab, perkataan asalnya,  “al-Juhdu” dan “al-Jahdu”, masdar atau nama terbitan daripada perkataan “Jahada”. Al-Jahdu berarti masyaqqah, yakni kesukaran atau payah. Al-Juhdu pula bererti “Thoqah”, yakni tenaga dan kemampuan kekuatan roh dan jasad, harta dan lain-lain daripada segala nikmat yang ada pada diri. Maka ditambah pula dengan makna yang lebih kuat, dipanjangkan huruf jim, menjadi “jaahada” dan melahirkan nama terbitan “jihad” atau “mujahadah”, bermaksud menggemblengkan segala kemampuan daripada nikmat tenaga, diri dan harta dan lain-lain, serta menghadapi segala cabaran, kesulitan, kepayahan dan segala penderitaan dengan sepenuh kesungguhan.

Adapun Jihad mengikut istilah syarak (ajaran Islam) ialah melakukan amalan tersebut di atas bagi menegakkan ajaran Islam yang membawa rahmat dan adil terhadap semua, kerana Allah dengan iman dan ikhlas, sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jihad ini dilaksanakan sehingga membuktikan Islam sebenarnya adalah al-Din yang terbaik daripada segala ajaran yang lain, sama ada agama atau segala ideologi, teori dan sebagainya. Temanya ialah firman Allah:

“Dialah (Allah) Tuhan yang telah mengutuskan Rasulnya (Muhammad S.A.W), dengan petunjuk dan Din (agama dan cara hidup) yang sebenarnya , supaya menzahirkannya (dengan kemenangan) mengatasi segala ajaran yang lain walau pun dibenci oleh orang-orang musyrikin)”  (Surah Al Sof: 9-10)

Seterusnya dihuraikan oleh ayat-ayat al-Quran dalam surah yang banyak, melalui hukum syariat dan kisah para rasul dan umat terdahulu, serta pelaksanaan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendapat bimbingan wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah, untuk menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari kiamat.

Al-Quran dan hadis menghuraikan segala pendekatan amalan jihad, merangkumi damai dan berperang. Maka jihad itu tidak hanya berperang semata-mata, seperti mana tafsiran para orientalis musuh Islam dan mereka yang diheret oleh tafsiran yang salah ini, sehingga menjadikan perkataan jihad tidak lengkap kalau diterjemahkan dengan peperangan apatah lagi tersasar jauh kalau diterjemahkan dengan perkataan “Holy War”. Peperangan hanya salah satu daripada lapangan jihad dan perdamaian pula menjadi lapangannya yang lebih luas.

Allah menyebut kisah semua para Rasul a.s. yang memulakan pendekatan jihad secara aman dan damai terlebih dahulu, menyampaikan mesej dengan hujah yang sepatutnya diterima oleh akal yang baik, walaupun memakan masa yang panjang, untuk memberi hujah dan tempoh yang seluas-luasnya supaya menusia menerima Islam.

Para rasul dan pengikutnya yang beriman diperintah bersabar yang menjadi rukun jihad. Hukuman secara keras, sama ada peperangan atau bencana secara langsung daripada Allah, dilakukan setelah batas kesabaran sampai kemuncaknya dan dirasakan segala kezaliman dan penipuan ajaran yang sesat oleh akal yang sempurna terus berlaku. Semua kisah tersebut bukan sekadar cerita, bahkan wajib menjadi petunjuk kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sehingga hari kiamat.

Rasulullah S.A.W. menunjukkan pendekatan secara amali (praktikal). Baginda berusaha supaya manusia menerima Islam seramai mungkin tanpa paksaan, kerana paksaan itu tidak membawa Islam yang sebenarnya beriman, budiman dan beramal soleh. Atau memberi peluang bebas beragama dan boleh ditunjukkan apa dia Islam tanpa gangguan. Maka tentangan secara jihad juga dilakukan terhadap gangguan berdakwah mengikut kadarnya, walau pun berperang, tetapi wajib dengan syarat dan adab mengikut batas hukum Islam bagi mencegah kezaliman.

Al-Quran dan hadis juga menunjukkan betapa bersabar dengan teguran berani dan membina, menghadapi kerajaan yang zalim ketika berada dalam satu masyarakat bersama, adalah jihad akbar dengan hadis yang sahih. Menunjukkan bahawa pendekatan jihad menghadapi kemungkaran dalaman masyarakat berbeza dengan menghadapi penceroboh yang menyerang.

Kita wajib mengambil iktibar secara perbandingan, mengapa pendekatan Rasulullah S.A.W. dan generasi awal umat Islam yang berdakwah berjaya  menarik sehingga satu bangsa dan kaum semuanya menganut Islam dalam masa yang cepat. Mengapa kita di zaman kini sangat payah untuk menarik seorang sahaja supaya masuk Islam. Mereka yang masuk Islam di masa damai di zaman awal pula lebih besar jumlahnya.

Perbandingan juga perlu difahami, mengapa berperang jihad Rasulullah S.A.W. dan generasi awal berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom, walau pun bala tentera Islam terlalu kecil jumlahnya dan musuh pula berlipat ganda jumlahnya dengan senjata yang berlipat ganda kecanggihannya. Tentera Islam disambut oleh penduduk menjadi penyelamat daripada kezaliman, bukannya sebagai penjajah. Selepasnya rakyat menerima agama Islam tanpa paksaan, sehingga masih ada penganut bukan Islam, gereja, biara dan kuil lama sehingga zaman kini di tengah masyarakat Islam.

Di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, apabila Maharaja Parsi (Kisra Yazdajur) yang berundur di perbatasan timur Parsi menulis surat kepada Maharaja China meminta bantuan bagi menyelamatkan takhtanya dan memberi amaran bahawa China juga berdepan dengan bahaya Islam. Maharaja China yang terlebih dahulu bertanyakan utusan Parsi: “Sifat dan cara orang Islam setelah menawan Parsi”. Apabila disebut segala-galanya, Maharaja China membalas bahawa kemaraan Islam dan penganutnya yang  begitu sifatnya tidak boleh dihalang kerana rakyat menerimanya, lalu China mengadakan hubungan damai dengan semua kerajaan Islam dalam sejarahnya.

Bandingkan mengapa amalan jihad secara damai dan perang di zaman awal menjadikan Islam digeruni kerana rahmat dan adilnya, bahkan kedatangan bala tentera bersenjata disambut rakyat menjadi penyelamat bukannya penjajah. Adapun jihad terkini yang diisytiharkan oleh kalangan yang betapa tinggi semangat jihadnya digambarkan dengan wajah yang buruk terhadap Islam oleh kawan dan lebih lagi lawan. Adakah kerana semangat tanpa feqah yang boleh ditembusi oleh bisikan syaitan yang merosakkan amal dan orang yang beramal. Kalau syaitan boleh masuk ke dalam hati dan saf mereka yang sedang solat berjamaah, maka syaitan lebih mudah masuk ke dalam saf mareka yang berjihad tanpa feqahnya.

Contoh yang nyata kepada wajah umat Islam terkini ialah apabila mereka melontar jumrah di musim haji. Umat Islam dahulu melontar mengikut sunnah dengan feqah hajinya, menggunakan batu sebesar hujung jari dengan semangat  melontar syaitan. Kini ada jamaah haji yang melontar kawan sendiri dengan batu besar dan kasut kerana hajinya tidak ada feqah. Maka kalau berjihad tanpa mendalami feqahnya menerima padah amaran Rasulullah S.A.W. yang membunuh dan dibunuh kedua-duanya masuk neraka, bukannya mati syahid.

Percayalah bahawa jihad tetap wajib sehingga hari kiamat, berilmu adalah wajib disertakan dengan feqahnya  bagi mensahihkan amal yang wajib. Benarlah bahawa syaitan lebih mudah menggoda seratus orang lebai yang jahil daripada seorang yang berilmu. Paling bodoh ialah orang merasakan dirinya sudah cukup berilmu segala-galanya.

PRESIDEN PAS
14 Julai 2014

Friday, July 4, 2014

Murtad : Jangan Kelirukan Rakyat

KUALA LUMPUR: Media melaporkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada mesyuarat khas kali pertama 9 Mac lalu sebulat suara memutuskan bahawa kenyataan Kassim pada satu seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad.
Ia perlu diperincikan dan diselaraskan di semua negeri.


Ini menjadi persoalan kepada agama Islam itu sendiri adakah terdapat perbezaan dan kenapa fatwa perlu dikeluarkan secara berbeza terutama soal murtad.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata walaupun terdapat peruntukan yang diberi kuasa kepada sesebuah negeri dalam melaksanakan keputusan, namun fatwa murtad merupakan satu perkara yang berat dan perlu pertimbangan semua pihak.

"Jamil Khir sepatutnya mengulas untuk merujuk perkara itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu, fatwa Terengganu bahawa kenyataan sebagai pemikiran yang kufur dan murtad tetapi negeri lain tidak," jelasnya kepada Harakahdaily.

Jamil Khir sebelum itu berkata, fatwa tersebut merupakan pandangan negeri berkenaan dan tidak berkuat kuasa di negeri lain.

Sumber : http://goo.gl/gFJ9H5

Wednesday, July 2, 2014

Amaran PAS pada MCA: Jangan bermain api


     

KUALA LUMPUR:PAS mengecam keras kenyataan Pengerusi Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen yang meminta pihak polis agar membuat pemeriksaan ke atas semua ahli PAS berikutan terdapat bekas pemimpinnya menyertai pergerakan jihad di Syria.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad (gambar) memandang berat kenyataan Kim Seng itu kerana ia secara jelas berniat menakut-nakutkan rakyat terutamanya dari kalangan masyarakat Cina terhadap PAS.

"Saya bagi pihak Presiden PAS dan para pemimpin parti memberi amaran keras kepada MCA agar jangan sekali-kali bermain dengan api agama bagi menakutkan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina terhadap perjuangan PAS.

"PAS adalah sebuah parti politik yang sah dan telah terlibat secara aman di dalam proses demokrasi dan pilihan raya di negara ini sejak tahun 1955," tegas beliau.

Kim Sen membuat gesaan itu ketika mengulas laporan media mengenai seorang bekas pemimpin Dewan Ulama PAS, Ustaz Lotfi Ariffin yang menyertai aktiviti jihad di Syria.

Pemimpin MCA itu juga turut menggesa pihak polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar memeriksa setiap ahli PAS untuk melihat sama ada pengaruh Ustaz Lotfi telah menyerap ke dalam parti dan perkembangan di Syria dan Iraq mempunyai kesan ke atas PAS.

Menurut Dr. Syed Azman, tindakan MCA menggesa anggota PAS disiasat adalah berniat jahat dan tidak bertanggungjawab serta boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

"Apakah niat sebenar MCA? Nak takut-takut masyarakat Cina terhadap PAS? Ini politik bermotif jahat bagi memburuk-burukkan PAS," tegas beliau lagi.

Dr Syed Azman turut "memulangkan paku buah keras" dengan menyoal sama ada semua anggota MCA perlu disiasat apabila ada di kalangan pemimpin mereka yang jelas terbukit terlibat dalam kongsi gelap dan judi haram.

"Ada pemimpin MCA yang terlibat dalam rasuah dan penipuan. Malah ada pemimpin MCA yag terlibat dalam skandal seks. Apakah perlu semua ahli MCA disiasat?" jelas beliau lagi.

Dr Syed Azman menambah, PAS sejak dari awal penubuhannya telah mengambil pendekatan politik secara aman di negara ini dan telah banyak membantu negara bagi menjamin keamanan dan keselamatan.

Malahan tambah beliau, tidak ada rekod yang membuktikan PAS terlibat dalam mana-mana kegiatan yang bertentangan dengan perlembagaan dan keselamatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan serta memecat mana-mana ahlinya yang terlibat di dalam apa jua bentuk aktiviti yang bertentangan dengan prinsip perjuangan yang didokongi PAS selama ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkali-kali menegaskan bahawa pendekatan politik yang diambil PAS di negara ini adalah secara aman dengan terus terlibat dalam proses pilihan raya dan demokrasi walaupun ianya tempang dan tidak adil.

Dr. Syed Azman menggesa pemimpin MCA itu segera menarik balik kenyataan yang berniat jahat tersebut bagi memastikan keharmonian agama dan kaum di negara ini terus terjamin.

"PAS akan kekal berjuang secara aman di negara ini dan akan terus menyumbang secara positif bagi menjamin keamanan dan keharmonian kaum dapat terus dikekalkan," ujarnya. - HARAKAHDAILY, 30/6/2014