Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Thursday, August 16, 2012

Kita dan Ramadhan


Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.

Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)

“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).

Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut: “…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.

Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)

“Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).

Hadis-hadis Nabi SAW pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:

“Kemudian di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.

Penghayatan

Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Firman Allah: (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).

Itulah tujuan penurunan al-Quran. Ia menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan). Allah menyebut dalam Surah al-Israa: (maksudnya)

“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (ayat 9-10)

Kita semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat.

Jangan juga kita lupa bahawa pada zaman ini akan ada yang menggunakan al-Quran untuk mendapatkan wang ataupun harta dunia dari manusia. Sabda Nabi

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, bertaraf hasan).

Jangan hairan jika kita bertemu dengan mereka yang meminta wang bacaan al-Quran kononnya sebagai bayaran pahala kepada si mati, ataupun membaca al-Quran dengan segala lenggangan lagunya hanya semata-mata untuk mendapatkan wang. Bukan itu tujuan al-Quran diturunkan!

http://drmaza.com/

Thursday, August 4, 2011

CERAMAH : Ihya' Ramadhan



Kuliah Ihya' Ramadhan & Solat Tarawih
bersama Ust. Razali Jamil al-Hafiz

Tempat : Dewan Bustanul Arifin
Pada : 5 Ogos 2011 
Jam : 8.30 malam

SEMUA DIJEMPUT HADIR
SAMADA PENGUNDI 
PAS/PAKATAN RAKYAT/UMNO/BN
ATAU YANG MASIH TIDAK MEMPUNYAI PARTI POLTIK

TERKINI : Ceramah Ihya' Ramadhan




Ceramah Ihya' Ramadhan
di Markaz PAS Parit Muhamad
pada 7 Ogos 2011 
bermula jam 9.30 malam 

yang akan disampaikan oleh 
Sdr. Suhaizan Kaiat 
[Ketua Pemuda PAS Johor]

Tn. Hj. Khairuddin Abdul Rahim
[YDP PAS Pt Sulong] 

SEMUA PENGUNDI PAS/PR/UMNO/BN
DAN YANG TIADA PARTI 
DIJEMPUT HADIR

TAZKIRAH : Hadis


Daripada Ali r.a telah bersabda Rasulullah SAW "apabila umatku telah membuat 15 perkara maka bala akan berlaku iaitu
1. apabila harta negara hanya beredar dikalangan orang2 tertentu
2. apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
3. zakat dijadikan hutang
4. suami memperturutkan kehendak akan isteri
5. anak derhaka terhadap ibunya
6 anak berbaik2 dgn kawannya
7. anak menjauhkan diri daripada ayahnya
8. suara telah ditinggikan didalam masjid
9. yang menjadi ketua diantara suatu kaum adalah yang terhina diantara mereka
10. orang jahat dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya
11. arak diminum diserata tempat
12. kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki
13. para penghibur (artis) disanjung tinggi
14. muzik dimainkan
15. generasi akhir umat ini menyalahkan generasi sebelumnya

ketika itu mereka hendaklah menanti angin merah/gempa bumi atau dirubah menjadi makhluk lain

hadith riwayat tarmizi
Dipetik dari Kuliah Ust. Azhar Idrus

Wednesday, August 3, 2011

ILMU : HADITH PALSU KELEBIHAN TARAWIH


HADITH PALSU KELEBIHAN TARAWIH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'Alaihi Wasallam serta para sahabatnya. 
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut.
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
  • Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

  • Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

  • Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

  • Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

  • Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

  • Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

  • Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya. 
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :
1.   Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2.   Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.
3.   Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.
4.   Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Credit to FaAz AwAnZ dan Ramadhan.com 

Monday, August 1, 2011

Madrasah Ramadhan Melahirkan Pejuang Yang Hebat




1. Ramadhan adalah sebuah Institusi Awam yang lengkap dengan program rabbani dan modul as samawi untuk mengkaderkan ummat manusia khasnya mereka yang mempersiapkan diri untuk menjadi pejuang agama Allah swt [ Ansoorullah ].

2. Program rabbani yang bersifat sanawi [ tahunan atau sekali setahun ] tersebut, berlangsung selama 30 hari sepanjang bulan Ramadhan. Ia menyediakan satu tentatif program yang menggabungkan 3 energy utama kelayakan pejuang yang hebat.

a ] keyakinan yang benar [ aqidah sohihah ]
b ] spiritual yang mantap [ ruhiyah qawiyah ]
c ] keperibadian yang hebat [ akhlak matiinah ]

3. Objektifnya ialah untuk melahirkan insan muslim mukmin yang muttaqin melalui perlaksanaan dan penghayatan modul yang telah ditetapkan iaitu berpuasa dengan penuh keimanan dan penghayatan. Firman Allah swt :

يا ايها الذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

maksudnya : Wahai orang - orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana ia pernah difardhukan ke atas orang - orang sebelum kamu, mudah - mudahan kamu bertaqwa kepada Allah swt.

Surah Al Baqarah : 183

4. Sebagai pejuang yang akan menggalas segala amanah dan tanggungjawab untuk mendaulatkan syariat Allah swt dan menyelamatkan manusia dari arus jahiliah moden yang merosak aqidah, meruntuh keperibadian dan memusnahkan tamadun mereka, pejuang tersebut memerlukan satu senjata yang luar biasa serta mampu menewaskan kebejadan jahiliah.

5. Senjata luar biasa yang dimaksudkan itu ialah At Taqwa. Taqwa inilah yang mesti dimiliki oleh para pejuang untuk melayakkan mereka muncul sebagai pejuang hebat justeru hanya pejuang yang hebat mampu memimpin ummah membina tamadun yang mendapat keampunan Allah swt dan membimbingnya ke jalan yang benar, pula menongkah segala cabaran dan meredah segala rintangan.

6. Justeru itu, pemuda mesti berusaha dengan segala keupayaan bagi memastikan Taqwa dapat dimiliki dengan menyertai Madrasah Ramadhan ini, serentak itu meletakkan pemuda layak sebagai pejuang yang hebat, selain pemuda turut dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan taktikal dalam mengurus sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam serta parti yang menyertai politik berpilihanraya.

7. Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.

( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )

[ Lihat hadis ini dalam Tafsir al-Qurthubi : ayat 102, surah Ali Imran dan kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.]

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang bernama Ubai bin Ka'ab r.a. mengenai maksud taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.
Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.

[ Rujuk Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah ]

Sementara menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.

[ Rujuk Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah). ]

Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.

[ Rujuk Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah). ]

Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.

[ Rujuk Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah ]

8. Mutaakhir ini, keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah telah sampai ke paras bahaya, memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh . Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim . Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak, moral dan aqidah.

9. Menyedari reality dunia dan ummah hari ini , marilah kita manafaatkan sepenuhnya modul Madrasah Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .

10. Kitalah pemuda yang selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi . Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah .

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

PERUTUSAN RAMADHAN 1432 H Dewan Pemuda PAS Johor


PERUTUSAN RAMADHAN 1432h

Assalamualaikum w.b.t.

1. Alhamdulillah, pertama dan selamanya ayuhlah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Robbul Jalil kerana dengan keizinannya maka dapatlah kita semua bertemu kembali Ramadhan Al-Mubarak buat yang kesekian kalinya.

2. Ramadhan merupakan bulan penuh barokah yang telah dikurniakan oleh Allah kepada umat Muhammad S.A.W dimana Al-Quran diturunkan didalamnya dan malam al-Qadar dihadiahkan bagi hamba-hambanya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mencari kebaikan padanya.

3. Ramadhan semestinya dilihat sebagai sebuah medan tarbiyah bagi melatih diri dan rohani agar diakhirnya nanti kita beroleh ijazah ketaqwaan sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi ;


“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan keatas kamu berpuasa sepertimana yang telah difardhukan keatas mereka (umat-umat) sebelum dari kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”

4. Bagi seluruh umat Islam, didoakan agar kita semua berjaya menjalani ibadah puasa pada kali ini dengan penuh keimanan serta kesempurnaan. Kesan mendirikan ibadah puasa dengan sempurna ini mampu menjadikan kita seorang muslim yang baik, penuh sifat kehambaan, saling menghormati, berakhlak mulia dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.

5. Jika ditelusuri sirah Muhammad S.A.W juga, bulan Ramadhan telah merakamkan peristiwa peperangan pertama dalam sejarah umat Islam yang menyaksikan kemenangan besar bagi tentera Muslimin menentang kekejaman tentera Musyrikin yang membawa bendera kezaliman, penindasan serta ketidak adilan. Itulah peperangan Badar al-Kubra.

6. Mengambil pengajaran dari peristiwa Badar al-Kubra ini, buat seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), samada anda pendokong atau penyokong, bekalkanlah diri dengan ruh perjuangan Badar al-Kubra ini. Apatah lagi dalam kita mendepani cabaran khususnya dalam persiapan menuju medan PRU ke-13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

7. Dengan usaha dan kerja kuat, kita berharap agar Allah memberikan kekuatan fizikal dan spiritual untuk kita menghadapi pihak yang menyalahgunakan kuasa  dan memanipulasi segala bentuk ruang demokrasi di negara Malaysia ini dalam rangka memastikan mereka terus dapat mengekalkan kuasa dan menghisap hasil kemewahan negara yang seharusnya diberikan kepada rakyat terbanyak.

8. Sekian, salam Ramadhan Al-Mubarak, salam beribadah dan salam perjuangan.

Wassalamualaikum w.b.t.

 SUHAIZAN KAIAT
(Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor)

Sunday, July 24, 2011

Pantun Ramdhan dari DPPPS



Sempena Bulan Ramadhan yang bakal tiba, pihak admin blog DPP Parit Sulong memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kekasaran atau tingkah laku yang tekurang adapnya. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita hayati pantun dibawah, semoga mendapat sedikit nasihat dan tauladan darinya. 

Buah tamar buah kurma,
Hidangan runtin ketika ramadhan,
Bulan puasa dah nak tiba,
Mari kita tingkatkan amalan.

Puasa itu satu perintah,
Oleh Allah yang maha perkasa,
Perintah itu jangan dibantah,
Wajibnya itu pada yang berkuasa.

Bunga mawar harum mewangi
Bunga seroja putih warnanya
Bulan ramadan jenuh dinanti
Bulan keberkatan tiada tandingannya

Jauh sekali balik ke kedah
Singgah sebentar menjamu selera
Bulan puasa bulan ibadah
Lipatkan usaha gandakan pahala

 Rukun islam rukun agama,
Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan,
Apa lagi alasan tak nak puasa,
Puasa itu satu kewajipan.

Sehari sudah lesu berpuasa,
Hidangan berbuka sudah tersedia,
Jangan kamu membazir masa,
Mulai beribadat semasa belia.
  

Belajar Quran dgn utz Ramadhan,
jangan malu untuk bertanya,
bulan ini bulan ramadahn,
bersamalah kita meimarahkannya. 

Wednesday, August 11, 2010

Selamat Berpuasa dari kami


{SILA KLIK GAMBAR UTK BESARKAN}

Selamat Berpuasa dari kami, ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Parit Sulong buat kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat. Semoga bulan ramadhan yang tiba ini, dapat kita tingkatkan keimanan, ketaqwaan serta memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah. Semoga amal yang kita lakukan ini akan diterima oleh-NYA.

Terima sebuah pantun dari kami;

"Air nyok air kelapa, 
jatuh tumpah kat wayar letrik,
Esok Ramadhan jangan la lupa, 
 Jangan plak buat-buat gastrik"

Wassalam..