Masa lancar RM323, hari ini RM809, esok lusa USD3,000
KOTA
BHARU, 10 Ogos: Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan
Dirham sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan
yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai
RM323 hari ini meningkat RM809.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam kenaikan harga emas dunia.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi.
Menurutnya,
harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan
ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.
“Mana-mana
masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar
dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.
”Bagaimanapun
sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat
memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,”
ujarnya. Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari
perkara ini PMBK Sawit sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di
sebuah bank di negeri ini sebanyak RM1 juta.
Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.
Ketika
ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri
sebelum ini, beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.
”Mereka
mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang
manfaat sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang
didokongi PAS,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru
masyarakat seluruhnya supaya melabur serta meningkatkan pelaburan
masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih besar
khususnya penghujung tahun ini.
Menurutnya, kejatuhan dollar
Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan ekonominya disamping
jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan keuntungan
harga emas pada masa akan datang.