Friday, August 12, 2011

Dorang yang pakai serban dan tudung labuh ni jahil!

Selepas peristiwa bersih 2.0 , saya turun kembali ke Kuala Lumpur untuk melihat sisa-sisa kerosakan yang berlaku dan membuat sedikit pemerhatian kepada peniaga-peniaga di sekitar KL ..hasilnya tiada sisa cermin pecah..kesan terbakar bom api..dan tiada bangunan yang rosak...malah peniaga-peniaga berkata hasil jualan mereka terpaksa ditambah stok seminggu sebelum bersih...dan ketika bersih mereka diarahkan menutup kedai oleh pihak berkuasa..namun bagi peniaga barangan runcit .ada juga yang terus berniaga...lupakan seketika ...kita rujuk kepada laporan bursa saham yang menyatakan urusniaga dan nilai saham melonjak pada 9 julai ..seperti laporan the econimist yang di sunting penerbitannya di Malaysia oleh KDN akibat laporan itu...

Saya sudah berjalan pulang..menaiki tren KTM dari Bank Negara menuju ke Petaling Jaya.. KTM agak lambat sedikit..saya duduk di balik tiang berhadapan tangga masuk


Kelihatan Sepasang suami isteri membawa anak kecil mereka dan duduk betul2 dihadapan saya...saya amat dekat dengan mereka dan mereka banyak mengkritik bersih2.0 dengan hujah yang banyak menyimpang dan tersasar..banyak hujah emosi seperti yang ada dalam media kerajaan berkenaan bersih...saya diamkan diri sahaja...


Kebetulan sekumpulan anak muda berjubah , beserban , bertudung labuh melintas di hadapan kami..saya melihat si lelaki yang rancak berbual dengan isterinya mencebik muka dan memandang dengan pandangan yang benci..


Tengok...budak2 ni pakai serban dan tudung labuh ni ..mereka sebenarnya jahil!


Saya tersentak sedikit dengan kenyataan itu..namun saya masih menunggu ayat seterusnya...


"Saya tanya awak...dengar ceramah dari orang perempuan haram tak?"


Isterinya hanya mengangguk dan mendiamkan diri..


"Haram kan???.. itulah pakai serban tudung labuh tapi x reti agama!"


Kata sang suami dengan penuh bangga!


Saya terasa ingin berhujah dengan beliau...namun saya batalkan niat tersebut apabila tren sudah menghampiri platform..dalam hati kecik saya berkata..."Aduh...dia yang jahil...tapi dia tak tahu dia jahil..ni jahil murakkab namanya...Ini namanya jahil murakkab diri awak sendiri tak tahu apa yg dia tak tahu. Tapi menyamar macam orang alim. Kalau dah tak tahu lebih baik diam!"


Walaubagaimanapun..saya sempat menulis nota peringatan..agar mendakatkan jawapan yang dihujahkan oleh lelaki tadi untuk kefahaman yang lebih jelas..jika ada yang bertanya..



Soalan dibawah telah dijawab oleh Seorang Ustaz yang sedia menjawab dengan hujah dan Nas.





SOALAN:
Saya dan kawan-kawan sering mengikuti ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah-penceramah wanita. Pada akhir sesi, penceramah berkenaan biasanya berdoa dan kami turut mengaminkan doa yang dibacanya. Persoalan yang berbangkit ialah:

1. Bolehkah lelaki mengaminkan doa yang dibaca wanita, sedangkan wanita tidak dibenarkan memimpin lelaki dan suaranya adalah aurat?

2. Bolehkah lelaki melihat muka penceramah wanita sedangkan penceramah itu mempunyai rupa paras yang cantik dan mudah menawan hati?
Harap saya mendapat penjelasan ustaz yang dihormati. Terima kasih. - KHALID, Keramat, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Pada dasarnya antara lelaki dan perempuan ada batas-batas tertentu. Al-Quran dan hadis telah menggariskan batas-batas itu dengan jelas, masing-masing tidak dibenar melewatinya. Antara yang digariskan ialah wanita tidak dibenarkan menjadi imam solat kepada lelaki. Wanita juga tidak harus menjadi pemimpin tertinggi, saf wanita dikehendaki berada di belakang saf lelaki dan kanak-kanak.

Pensyaratan lelaki pada imam yang memimpin solat jemaah dinyatakan dalam sabdanya yang bermaksud: Jangan sekali-kali wanita mengimami lelaki. Wanita tidak dibenar menjadi imam kepada lelaki kerana dibimbangi berlakunya fitnah, kecuali jika jemaah itu terdiri daripada hanya wanita, mereka boleh menjadi imam sesama mereka, kerana fitnah tidak dibimbangi lagi.


Berhubung saf solat wanita, hadis menyatakan lagi: Tempatkan jemaah wanita dalam saf di bahagian belakang. Hadis ini secara tidak langsung melarang wanita menjadi imam kepada lelaki kerana imam pasti tempatnya di bahagian hadapan. Kedudukan saf wanita yang jauh daripada imam dan saf lelaki, kerana dipisah oleh saf kanak-kanak membantu kepada kesejahteraan solat dan jauh daripada fitnah dan kacau-bilau, terutama semasa solat jemaah berjalan.


Kembali kepada persoalan-persoalan bolehkah lelaki mengaminkan doa yang dibaca wanita, mendengar suara dan melihat wajah penceramah wanita yang dianggap rupawan itu. Saya berpendapat ada beberapa aspek yang perlu diteliti dan sekali gus menentukan hukumnya. Antara aspek yang dimaksudkan ialah:

Pertama: Bolehkah wanita keluar rumah dan bebas melakukan kerja-kerja di luar rumah? Jika ceramah itu sendiri haram, maka penyertaan dalam majlis itu juga merupakan suatu kesalahan. Sebahagian ulama berpendapat wanita tidak harus keluar rumah, mereka hendaklah tinggal menetap di rumah dan tidak harus keluar kecuali kerana darurat.

Ada orang mengatakan dua waktu sahaja wanita boleh keluar, iaitu untuk dibawa ke rumah suami dan ke kubur. Hujah mereka ialah ayat 33 surah al-Ahzab yang membawa maksud: Dan hendaklah kamu (wanita) tetap diam di rumah kamu. Ayat ini difahami oleh golongan ini bahawa wanita hendaklah menetap di rumah dan tidak harus keluar termasuk untuk berceramah agama.


Sebahagian yang lain pula berpendapat, wanita tidak wajib berkurung di rumah.
Mereka bebas keluar menjalankan tugas termasuk berceramah dan menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Ayat 33 surah al-Ahzab itu hanya dituju kepada isteri-isteri Nabi sahaja tidak termasuk wanita awam. Saya lebih cenderung kepada pendapat ini kerana sebab-sebab berikut:

Pertama, ayat-ayat sebelum ayat 33 al-Ahzab itu membicarakan hal-hal yang berkaitan isteri-isteri Nabi. Mereka dikehendaki menetap di rumah dan tidak dibenar keluar. Hukum ini adalah satu kewajipan khusus ke atas mereka sebagai isteri Nabi. Wanita-wanita bukan isteri Nabi dengan sendirinya terkecuali.

Kedua, Umm al-Mu'minin Aisyah r.a. berasa bersalah apabila beliau keluar dalam pertempuran al-Jamal kerana menuntut bela atas pembunuhan Uthman yang dianggapnya sebagai satu kewajipan agama ke atasnya. Tetapi kemudiannya beliau sedar dan menyesali atas keterlanjurannya kerana dia keluar dari rumah. Sepatutnya sebagai isteri Nabi dia tetap sahaja di rumah.

Ketiga, wanita hari ini ramai keluar dari rumah sama ada ke sekolah, ke pejabat dan lain-lain. Kita tidak mendengar sebarang bantahan daripada ulama yang menyatakan sikap wanita hari ini bertentangan dengan sunah dan hukum Islam. Bahkan rata-rata ulama berpendapat wanita yang keluar dari rumah dengan urusan-urusan tersebut harus dan tidak menyalahi hukum Islam, tetapi tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Keempat, wanita hari ini dianggap sebagai separuh warganegara. Mereka berhak menentukan corak politik negara. Mereka diberi kebebasan menjadi calon bertanding dalam pilihan raya, bergerak aktif dalam persatuan dan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan. Jika wanita dibenarkan terlibat dalam kegiatan politik, maka keluar dari rumah kerana mengajar lebih patut dibenarkan.

Kelima, penahanan wanita dalam rumah hanya diketahui pada permulaan Islam ketika hukum-hukum Islam belum mantap, iaitu dalam kes wanita melakukan zina. Mereka hendaklah dikurung hingga mati. Hukuman ini tidak boleh dijadikan umum meliputi semua wanita.


Atas alasan-alasan yang disebutkan di atas, saya berpendapat tiada sebab mengapa wanita tidak harus diberi kelonggaran untuk keluar rumah bagi melaksanakan tugas-tugas mengajar, membeli-belah, menghantar anak ke sekolah, menyampaikan ceramah agama dan sebagainya.


Tentang suara wanita, sebilangan ulama berpendapat suara wanita adalah aurat. Lelaki ajnabi dilarang mendengarnya kecuali kerana darurat. Mereka dapatkan hukum itu menerusi firman Allah yang bermaksud: Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja semasa bercakap dengan lelaki asing, kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (al-Ahzab: 32). Larangan berkata-kata menunjukkan suara mereka adalah aurat dan haram didengar.


Sebahagian ulama fiqh berpendapat, suara wanita tidak termasuk aurat kerana Nabi pernah mendengar suara wanita. Sahabat-sahabat baginda juga pernah bercakap dengan mereka secara berhadapan. Banyak hadis yang boleh dirujuk dan menyentuh secara langsung perkara ini. Ulama hadis juga ramai yang menerima hadis daripada guru-guru wanita, sanad-sanadnya masih terpelihara hingga kini.


Ulama juga memutuskan, jika suara wanita itu mendatangkan fitnah, misalnya kerana suaranya merdu dan pertuturannya manja, maka haram didengar. Mungkin ayat 32 surah al-Ahzab yang disebutkan di atas berkaitan dengan wanita yang suaranya manja dan pertuturannya manis. Penceramah-penceramah wanita yang termasuk dalam kumpulan ini tidak salah jika lelaki mengambil keputusan untuk tidak menghadiri ceramahnya.

Sehubungan ini Dr. Nasr Farid Wasil, Mufti Mesir, berpendapat dan mengeluarkan fatwanya tentang hukum wanita membaca al-Quran di hadapan lelaki. Katanya:

``Islam tidak melarang wanita melakukan seberapa banyak amal kebajikan, bahkan merangsang supaya mengambil segala peluang yang ada, dengan syarat hendaklah menghormati batas-batas agama dan akhlak. Mereka dibenarkan membaca al-Quran di hadapan kaum lelaki dan memperdengarkan bacaannya kepada mereka, dengan syarat hendaklah mematuhi batas-batas agama dan dijamin tidak mendatangkan fitnah dan rasa ghairah lelaki kepadanya.''


Sehubungan itu, Allah melarang wanita secara umum dan isteri-isteri Nabi secara khusus, supaya tidak memanjakan suara kepada lelaki, nanti orang yang berhati busuk akan mencari jalan untuk melakukan sesuatu yang tidak bermoral. Saya lebih cenderung kepada fatwa ini kerana rasanya tidak adil jika wanita dibenarkan tanpa syarat menyertai majlis-majlis bukan agama, tetapi dilarang menyertai majlis-majlis agama dengan berbagai-bagai alasan.


Tentang hak kepimpinan lelaki dan haq al-qiwamah (kuasa menerajui wanita) bukan sesuatu yang mutlak, malah hak ini berkisar sekitar kegiatan yang mendatangkan kebajikan kepada wanita. Lelaki adalah ketua dan pemimpinnya seperti dalam urusan penentuan maskahwin, nafkah, pergaulan yang baik, menyuruh isteri melakukan amalan yang disuruh Allah dan menjauhi larangannya serta melakukan amal dengan sopan dan tertib. Imam al-Qurtubi mentafsirkan hak al-qiwamah (menerajui wanita) dengan maksud bertanggungjawab memberi nafkah dan mempertahankan wanita.


Menurut Dr. Muhammad Baltaji Hasan, Dekan Fakulti Darul Ulum, Kaherah, al-qiwamah yang dimaksudkan ialah kasih sayang, hubungan baik dan mencintai isteri. Ia tidak membawa makna berkuasa, bersikap kuku besi, diktator dan sebagainya.


Tentang maksud al-imamah pula, Dr. Baltaji berpendapat, wanita tidak harus memegang jawatan tertinggi kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak berbahagia kaum yang dipimpin wanita.

Wanita hanya harus memegang jawatan-jawatan umum dengan beberapa syarat dan peraturan yang tertentu, antaranya ialah wanita tidak harus bersembunyi dengan lelaki ajnabi, tidak harus musafir tanpa ditemani suami atau mahram, kerja-kerjanya sesuai dengan tabiat semula jadinya sebagai wanita. Mereka tidak wajar ditugaskan dengan kerja-kerja berat, seperti kerja-kerja lombong, buruh dan sebagainya, bahkan yang paling penting lagi ialah mendapat keizinan suami, kecuali jika ada syarat yang disepakati dalam akad sejak awal-awal lagi.

Sebagai kesimpulan, lelaki harus mengaminkan doa yang dibaca wanita kerana mereka tidak dilarang berceramah dan berdoa dari segi hukum, tetapi mereka tidak harus memimpin solat jemaah kepada lelaki. Mereka juga tidak harus menjadi pemimpin tertinggi negara. Membaca doa dalam majlis-majlis kenduri, membaca tahlil dan memimpin majlis Yasin, membaca al-Quran tanpa memainkan suara dan lagu adalah harus dan tiada sebarang sekatan terhadap kebebasannya.


Kenyataan hari ini menunjukkan wanita telah mencapai tahap yang lebih maju. Kalangan mereka ada yang berjaya mengatasi pencapaian kaum lelaki. Kita percaya dalam bidang agama juga mereka boleh berjaya, tetapi hendaklah dengan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Islam. 


Sumber : http://u-jam.blogspot.com/2011/07/dorang-yang-pakai-serban-dan-tudung.html