Thursday, April 26, 2012

Johor Bangkrap?


KENYATAAN MEDIA
Khamis 26hb April 2012


KPRJ  RUGI  HAMPIR 50 JUTA


Gabungan Tanah Rakyat (TANAH)  sangat kesal dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan(Government Link Company) di Negeri Johor iaitu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang kerugian hampir RM50 juta kerana menjual 2 lot tanah dengan harga dibawah pasaran. Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 mukasurat 160 dan 161 telah dinyatakan dengan jelas kelemahan KPRJ ini.


Laporan audit menyatakan :

“ Mengikut amalan terbaik, penilaian perlu dibuat terhadap setiap tanah yang dijual bagi mempastikan pulangan hasil yang terbaik. Semak Audit terhadap Master Agreement  bertarikh 30 Mei 2007 antara KPRJ dengan Credence Resources Sdn Bhd(CRSB), Danga Bay Holding Sdn Bhd(DHB) dan Danga Bay Sdn Bhd (DBSB) mendapati KPRJ telah menjual sembilan bidang tanah seluas 229.9 hektar pada harga RM 160.09 juta. Semakan audit mendapati dua daripada sembilan bidang tanah tersebut telah dijual pada harga RM22.38 juta berbanding penilaian Jabatan Perkhidmatan Dan Penilaian Harta (JPPH) yangbernilai RM72.17 juta iaitu perbezaan sejumlah RM49.79 juta atau 222.5%. Harga jualan juga lebih rendah berbanding penilaian firma juruukur sebanyak RM73.81 juta atau 329.8%. “


KPRJ telah menjual dua lot tanah dengan pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Kelemahan ini telah menyebabkan KPRJ kerugian RM49.79 juta. Pengerusi KPRJ yang juga Menteri Besar Johor Dato Abdul Ghani Othman hendaklah menjelaskan kepada rakyat kenapa beliau membenarkan penjualan tanah yang merugikan rakyat khususnya rakyat Negeri Johor.

KPRJ telah memberi alasan bahawa pihaknya menggunakan penilaian yang telah dibuat oleh JPPH pada tahun 1999 bagi tanah yang terletak bersebelahan. Harga pada tahun 1999 bagi tanah bersebelahan ini telah menjadi asas kepada KPRJ untuk menjual 2 lot tanah tersebut. Persoalannya kenapa KPRJ tidak mendapatkan penilaian semasa daripada JPPH sebelum jualan dibuat dan hanya mengambil jalan mudah menggunakan penilaian tanah 8 tahun yang lalu?


Penjualan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran yang menyebabkan kerugian KPRJ hampir RM50 juta merupakan suatu penjualan luar biasa, tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh rakyat negeri Johor. Pengerusi KPRJ yang juga Menteri Besar Johor wajib bertanggungjawab terhadap kelemahan ini.

Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) telah meletakkan salah satu tuntutan dalam Himpunan Tanah Rakyat yang akan diadakan pada 5hb Mei 2012 jam 2 petang di Plaza Angsana, Johor Bahru adalah menuntut dihentikan pengurniaan tanah kepada KPRJ kerana telah terbukti KPRJ tidak telus dalam menguruskan tanah di Negeri Johor.



Yang Benar,


SUHAIZAN BIN KAIAT
SETIAUSAHA
GABUNGAN TANAH RAKYAT (TANAH)
019-7285174

No comments:

fb