Thursday, October 13, 2011

Memo kepada Polis Segamat




MEMORANDUM MENDESAK AGAR TINDAKAN TEGAS DIAMBIL DENGAN SEGERA TERHADAP KUMPULAN REMAJA/BELIA BERMOTOR

DARIPADA : Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Negeri Johor (DPPNJ)
________________________________________________________________
KEPADA : Ketua Polis Daerah Segamat
Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat,
Polis DiRaja Malaysia

TARIKH : 12 Oktober 2011
bersamaan 14 Zulka’edah 1432

LATAR BELAKANG ISU

Dalam beberapa siri ceramah dan program penerangan anjuran Parti Islam Semalaysia (PAS) Johor, wujud sekumpulan remaja/belia bermotor yang seringkali melakukan kekacauan dan provokasi sehingga berlaku insiden melibatkan kemalangan dan kecederaan.

Kejadian termasuklah semasa:

1. Fasa berkempen sewaktu Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N 05 Tenang;
2. Ceramah umum Timb. Presiden PAS, Tn. Hj. Mohamad Bin Sabu pada 7 Oktober 2011 yang lalu di daerah Labis, Segamat; dan
3. Ceramah umum Timb. Presiden PAS, Tn. Hj. Mohamad Bin Sabu pada 10 Oktober 2011 yang lalu di Segamat.

Walaupun kelakuan ala-ala ‘samseng jalanan’ ini sudah berlaku berulang-ulang kali, namun tiada sebarang siasatan dan tindakan yang serius dilihat telah dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menghentikan aktiviti tidak bermoral kumpulan ini.


Kesan daripada keadaan ini:

1. Program ceramah dan penerangan yang dianjurkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak dapat dijalankan dengan lancar akibat gangguan bunyi motorsikal kumpulan remaja/belia bermotor ini;

2. Para hadirin yang menyertai program ceramah dan penerangan berasa kurang senang, terancam dan tidak selesa;

3. Provokasi yang dilakukan oleh kumpulan remaja/belia bermotor ini membangkitkan emosi dan kemarahanpeserta program sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang tdak diingini seperti jerit-menjerit, laung-laungan caci-maki, tindakan seperti membaling batu dan objek-objek yang boleh mencederakan dan sebagainya; dan

4. Provokasi yang dilakukan juga mengundang pergaduhan sehingga melibatkan kecederaan. Seorang daripada anggota Jabatan Amal Pemuda PAS Johor bernama Sdr. Shahril Bin Sulaiman telah mengalami kecederaan semasa provokasi yang dilakukan oleh kumpulan remaja/belia bermotor ini pada siri ceramah umum Timb. Presiden PAS, Tn. Hj. Mohamad Bin Sabu, 7 Oktober 2011 yang lalu yang bertempat di Dataran Ciku Mala, Labis.



DESAKAN KAMI

Justeru, Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor dengan ini mendesak Ketua Polis Daerah Segamat, Johor agar:

1. Menjalankan operasi siasatan terperinci berkaitan aktiviti dan gerakan tidak bermoral kumpulan remaja/belia bermotor ini termasuklah individu yang terlibat, master mind dibelakang kumpulan ini dan pihak yang memberi jaminan keselamatan kepada mereka;

2. Mengambil tindakan yang tegas ke atas kumpulan remaja/belia bermotor ini bagi mencegah kejadian yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang; dan

3. Melaksanakan kedua-dua tindakan (siasatan dan tindakan tegas) tersebut dengan kadar yang segera.

No comments: