Monday, October 31, 2011

Akta AUKU 1971 Tidak Sah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan dalam aktiviti politik sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Wra Low Hop Bing memutuskan seksyen tersebut dalam AUKU itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat penuntut jurusan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghadapi tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor pada 24 April tahun lepas.

Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza dalam saman pemula mendakwa mereka menerima notis dari UKM untuk menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar Sesksyen 15(5)(a) Akta AUKU.

Bagaimanapun, mereka didapati tidak bersalah oleh lembaga itu. Kesemua mereka itu telah menamatkan pengajian masing-masing bulan lepas.

Hakim Low menentang dengan menyatakan larangan itu perlu bagi mengelak ideologi politik meresap di kalangan penuntut yang mudah terdedah, tertakluk kepada tekanan rakan sebaya dan mudah terpengaruh, yang akan menjejaskan peranan utama universiti dalam menyediakan pendidikan.

Hakim Hishamuddin dalam penghakiman 21 muka surat berkata Seksyen 15(5)(a) adalah tidak rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran kritis dan asli penuntut di mana objektif institusi pengajian tinggi berusaha untuk mencapainya.

Katanya universiti seharusnya menjadi tapak semaian ahli reformis dan pemikir dan bukan institusi untuk melahirkan penuntut ibarat robot.

Jelas sekali, katanya, peruntukan itu bukan sahaja tidak produktif malah menindas.

Selain itu, katanya, kebebasan bersuara merupakan salah satu hak asasi utama yang dinikmati oleh seseorang individu dan hak itu turut diktiraf dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.

Hishamuddin berkata ianya adalah asas kepada pewujudan demokrasi dan menghormati nilai diri seseorang dan kebebasan bersuara diberi status terunggul dalam perlembagaan kebanyakan negara.

Katanya beliau tidak dapat memahami cara mana seseorang penuntut yang menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik boleh memudaratkan atau membawa kesan buruk kepada ketenteraman awam atau prinisp moral.

Hishamuddin berkata kebanyakan penuntut universiti sudah mencapai usia matang di mana mereka boleh menjalin perjanjian, saman dan disaman, boleh berkahwin dan memikul tanggungjawab ibu bapa, mengundi sekira mencapai usia 21 tahun.

"Namun secara ironi, mereka dimaklumkan secara sah mereka tidak boleh berkata apa-apa yang boleh dianggap sebagai sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik,"

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 September tahun lepas yang membatalkan saman pemula penuntut berkenaan terhadap kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM dengan mencabar tindakan universiti berkenaan mengambil tindakan disiplin.

Hakim Linton dalam penghakiman 15 muka surat berpendapat seksyen itu telah melanggar Artikel 10(1)9a) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasanbersuara dan ekspresi.

"Sebuah enakmen perundangan yang melarang penyertaan dalam PRK adalah aspek penting demokrasi dan tidak dalam sebarang standard dikatakan sebagai munasabah,"

Dalam penghakiman menentang, Hakim Low berkata larangan itu adalah bagi melindungi kepentingan penuntut dan institusi berkenaan sebagai perkara menyentuh dasar dan oleh itu ianya adalah munasabah.

Katanya bukan untuk mahkamah menyatakan undang-undang itu keras dan tidak adil kerana mahkamah hanya diamanahkan dengan tanggungjawab mentafsir undang-undang.

Sebaliknya, Low berkata ia merupakan persoalan dasar yang perlu dihujah dandiputuskan oleh Parlimen.

"Secara tegas antara lain, Parlimen mungkin mahu mempertimbangkan khususnya pindaan Seksyen 15(5) dan Akta itu pada amnya supaya memansuhkan atau menyemak semula,"

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili UKM, memberitahu panel itu bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Di luar mahkamah, Muhammad Hilman menyifatkan keputusan itu sebagai 'kejutan dan bersejarah'. - BERNAMA

No comments:

fb