Sunday, October 9, 2011

BN adalah Barang Naik, PR adalah Price Reduced


Lajnah Pengguna PAS Negeri Johor hari ini telah melancarkan Kelab Protes BN = Barang Naik Peringkat Negeri Johor. Pelancaran kelab ini disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, YB Dato' Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Muar, Parit Pechah, Muar.


Turut hadir dalam majlis ini adalah YB Dr. Mohamad Taslim, ADUN Maharani, Ybhg. Ustaz Abu Bakar Lajat, YDP PAS Kawasan Muar, YBhg. Tuan Haji Malik Mohd Diah, timbalan YDP PAS Kawasan Muar, wakil dari Lajnah Pengguna PAS Johor dan wakil pimpinan PAS Johor, YBhg. En. Yatin Sarpan, Ketua PKR Cabang Muar, pimpinan Pakatan Rakyat Muar, Pemimpin Masyarakat dan NGO.


Muar merupakan destinasi pertama kempen Kelab Protes BN di negeri Johor. Selepas ini, jelajah Kelab ini akan bergerak ke seluruh Negeri Johor bermula esok.


Kenaikan tarif utiliti bebankan kita & JCorp.


ADUN Maharani, YB Dr. Mohamad Taslim memulakan ucapan beliau dengan ungkapan "BN adalah Barang Naik, PR adalah Price Reduced."


Krisis kenaikan harga yang melanda negara ketika ini sangat membebankan rakyat Marhaen. Di Johor, rakyat dibebankan dengan kenaikan tariff air yang tertinggi di Malaysia sedangkan Kerajaan PR Selangor mampu menyediakan kemudahan bekalan air percuma untuk rakyatnya.


YB Dr. Mohamad turut mendedahkan sekali lagi mengenai JCorp yang sehingga kini menanggung hutang sebanyak RM 6.4 billion. Sedangkan dalam masa yang sama, JCorp adalah merupakan antara syarikat yang hebat, menerima banyak anugerah.


YB Dato' Mahfuz diteruramah oleh Sinar Harian


Tahun depan JCorp perlu melunaskan bond terbitannya yang akan matang bernilai RM 3.6 billion. Mentri Besar Johor telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa JCorp tidak akan menjual aset-aset besar miliknya. 


Dari maklumat yang diterima oleh YB Dr. Mohamad, JCorp akan menerbitkan bond baru bernilai RM 2.5 billion bagi melunaskan bond bernilai RM 3.6 billion itu yang akan matang tahun depan. Adakah ini cara pengurusan yang bertanggungjawab? Menggunakan kaedah "gali lubang,tutup lubang".


YB Dato Mahfuz pula memulakan ceramahnya dengan menjelaskan mengenai sebab PAS menubuhkan kelab ini.


"Krisis Kenaikan Harga Barang adalah merupakan persoalan kelaparan dan makanan yang menjadi keperluan kita.Kos sara hidup telah meningkat dengan mendadak ketika ini. Peningkatan perbelanjaan juga boleh menyebabkan krisis keluarga, kerana ia berpotensi untuk menimbulkan kecurigaan suami terhadap isteri," ujarnya.


Tambah beliau lagi, "Kaum isteri sekarang ini berhadapan dengan kesukarannya untuk berbelanja barang keperluan dapur dengan wang saku pemberian suami. Namun begitu, adalah bukan satu rahsia lagi bahawa kaum wanita sememangnya bijaksana dalam berbelanja dan berjimat-cermat.


Isu peningkatan kos sara hidup ini lebih besar. Bukan hanya sekadar harga barang naik namun ia turut melibatkan perbelanjaan pendidikan anak-anak yang meningkat, harga tarif utiliti yang semakin mahal dan lain-lain.


Walhal pendapatan rakyat kekal ditakuk yang sama dan kecil namun perbelanjaan keluarga semakin meningkat. Ini menyebabkan berlakunya defisit terhadap poket rakyat.


Peratus Kenaikan Harga Barang dari 2008-2011. Gula Pasir mengalami kenaikan sebanyak 66% dalam tempoh ini. Ayam 1 kg bersih naik sehingga 37%. Susu bayi 1.8 kg mengalami peningkatan sehingga 28%. Teh tarik dan Roti Putih pula 25% dan 20% masing-masing. Hal ini berlaku, Kerajaan Pemerintah telah mengurangkan subsidi atas barang -barang keperluan tersebut.




Apabila berlaku defisit dalam Belanjawan, Kerajaan Pemerintah telah berbelanja hampir RM 100 juta sebagai yuran Konsultan Luar Negara untuk menubuhkan Makmal Rasionalisasi Subsidi. Tugas konsultan ini amat mudah sekali apabila memberikan cadangan untuk pengurangan subsidi sedikit demi sedikit kerana ketika ini subsidi yang ditanggung Kerajaan Pemerintah adalah tinggi. Adakah masuk akal cadangan sebegini dibayar dengan harga RM 100 juta.


Subsidi pertama yang ditarik adalah subsidi petroleum. Ini adalah punca utama sebabkan kenaikan harga barang. Ini dipanggil kenaikan berangkai. "Mana ada barang yang boleh dihantar guna tikar terbang P. Ramlee. Zam Zam Ala Kazam, barang pun sampai ke kedai, tak perlu guna lori," seloroh YB Dato' Mahfuz.


Punca sebenar defisit belanjawan adalah kerana negara tiada kemampuan untuk membayar hutang. Bukan kerana subsidi. Kalau kita menguruskan ekonomi dengan baik dan telus, kita akan mampu menjelaskan hutang mengikut jadual dan memberikan subsidi dalam masa yang sama. 


Contohnya Kedah. Walaupun tidak mempunyai hasil yang banyak tapi Kerajaan PR Kedah tidak membuat pinjaman baru dengan Kerajaan Persekutuan dan masih mampu membayar hutang yang dibuat Kerajaan BN dahulu mengikut jadual. Hal ini adalah kerana ketelusan dan kecekapan urus tadbir Kerajaan PR Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Ustaz Azizan Razak.


Ketirisan dan kebocoran yang berlaku ini telah menyebabkan masalah defisit ini semakin buruk. Malaysia mempunyai hasil yang banyak. Sumber carigali minyak, percukaian dan lain-lain. Apabila Pemimpin Negara tidak amanah adalah punca kemelut ini. Sekiranya Pemimpin Negara ini amanah, sudah pasti Allah akan mengurniakan barakah.


Malahan, apabila kita berinfaq, Allah akan memberikan rezeki berlipat kali ganda. Itulah barakah Allah. Kerana itu, Islam menyatakan "tangan yang memberi adalah lebih baik dari yang menerima."


Pemerintah hari ini langsung tidak memikirkan bagaimana untuk menampung perbelanjaan agar tidak berlebihan. Pemerintah yang ada hari ini mengamalkan Politik Tidak Amanah . Pakatan Rakyat akan menukarkan politik Pemerintah hari ini kepada Politik Amanah


Defisit Belanjawan Negara boleh dikurangkan tanpa mengambil daripada rakyat. Ini barulah dinamakan kebertanggungjawaban. Memang benar dalam Islam membenarkan perkara ini berlaku namun selepas Pemimpin berkorban dahulu. Ini pemimpin kaya raya sebaliknya rakyat dihimpit semahu mungkin.






YB Dato' Mahfuz turut mendedahkan persoalan mengenai kerja-kerja penambahbaikan bangunan Parlimen yang sedang dilaksanakan sekarang ini. Projek ini adalah menggunakan sistem runding terus. Sekiranya kalau tidak mahu melaksana open tender sekalipun, gunalah selective tender setidak-tidaknya.


Projek Bangunan Sementara Parlimen ini telah diserahkan kepada syarikat bernama TRC iaitu sebuah syarikat yang membina rumah untuk mantan PM, Tun Abdullah Badawi yang bernilai RM 11 juta. Kerajaan melalui JKR telah menetapkan harga siling iaitu RM 24 juta namun tiada syarat-syarat agar kos ini tidak meningkat naik. Akhirnya, apabila bangunan sementara ini siap, kosnya telah meningkat kepada RM 31 juta sedangkan perabut-perabut dan peralatan di dalamnya adalah merupakan barang-barang sedia ada sebelum ini.


YB Dato' Mahfuz turut menyentuh mengenai jumlah bayaran bil Elektrik bagi Kediaman Rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bernilai RM 160 ribu sebulan, dan bil air bagi kedua-dua kediaman rasmi ini bernilai RM 32 ribu sebulan. Ini menunjukkan betapa pembaziran yang banyak berlaku, sedangkan dalam masa yang sama, Pemerintah menyuruh rakyat untuk menjimatkan penggunaan elektrik dan air.


Belanjawan Pakatan Rakyat 2012


YB Dato' Mahfuz juga telah mendedahkan kandungan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 seperti yang diumumkan oleh Ketua Pembangkang di Parlimen siang tadi. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Belanjawan PR ini adalah melibatkan penjimatan RM 14 billion dari kadar yang dibelanjakan oleh BN, namun, melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat
Untuk kandungan penuh Belanjawan Pakatan Rakyat 2012, sila klik [SINI]


Goods and Service Tax (GST)


YB Dato' Mahfuz turut menjelaskan bahawa Perdana Menteri telah menyebut bahawa GST memang tidak dapat dielakkan perlaksanaannya selepas Pilihanraya Umum nanti. Ketika ini, tidak semua rakyat dikenakan cukai. Hampir 70% dari jumlah rakyat Malaysia adalah tidak layak dikenakan cukai, namun apabila GST dilaksanakan, 85% daripada rakyat akan terheret untuk membayar cukai. Majoriti barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai menjadikan peningkatan kos sara hidup yang ketara. 


Beliau turut berseloroh, GST adalah Gasak Sampai Terlentang. Apabila mereka mula gasak, kita, rakyat biasa inilah yang akan terlentang sambil disambut gelak tawa hadirin yang hadir. Penyelesaiannya adalah rakyat harus buat perubahan. UMNO umpama cicak yang tersepit di celah pintu. Khurafat Politik Masyarakat Melayu sedang terhakis dengan dahsyat ketika ini ekoran asakan dari PAS selama 60 tahun ini. Pakatan Rakyat juga dengan memanfaatkan penggunaan teknologi ICT telah berjaya mendidik rakyat untuk memahami pelbagai isu yang melingkari dan cuba dimainkan oleh UMNO/BN. UMNO/BN cuba untuk melagakan hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, namun rakyat sekarang semakin bijak untuk menilai.


Hudud, Melayu dan UMNO


Rakyat mendapatkan buku album Kenangan 9 Julai


Beliau mengakhiri ucapannya dengan berbicara mengenai persoalan Hudud dan juga Melayu. Beliau memperjelaskan bahawa Karpal Singh dan DAP berbeda pendapat dengan PAS berhubung isu Hudud ini kerana DAP merasakan bahawa Hudud tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi Perdana Menteri menolak Hudud atas alasan Hudud tidak sesuai dengan masyarakat majmuk manakala Timbalan Perdana Menteri pula menyatakan suasana negara belum cukup kondusif untuk melaksanakan hukum hudud. Persoalan yang dibangkitkan adalah, adakah PM dan TPM sebagai orang Islam ingin mengatakan bahawa Hukum Allah ini tidak sempurna? Inilah salah satu contoh kemunafikan politik UMNO.


UMNO telah membuktikan bahawa mereka tidak pernah ikhlas memperjuangkan Islam dan juga dalam masa yang sama UMNO turut menggadaikan kepentingan Melayu. Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan untuk menghapuskan kuota Melayu/Bumiputera, namun menariknya kata-katanya semula dan menuduh wartawan memanipulasi kata-katanya. Memang hak Melayu/Bumiputera telah lama pupus semenjak zaman Tun Mahathir lagi. Kuota Pendidikan digantikan dengan sistem meritokrasi, MRSM dibuka 10% kepada bukan Bumiputera dan Matrikulasi juga turut dibuka kepada bukan Bumiputera. 


Antara contoh-contoh yang diberikan ini, adakah orang Melayu hari ini masih perlu bergantung harap kepada UMNO? Hak Melayu/Bumiputera tidak diperjuangkan lagi, Islam pun tidak diperjuangkan, jadi apakah relevannya UMNO kepada orang Melayui sekarang ini? soal beliau menutup ucapannya malam tadi.


Dalam majlis ini juga, Lajnah Penerangan PAS Pusat telah mengedarkan buku album Kenangan 9 Julai sebagai memperingati perhimpunan Bersih 2.0.

No comments:

fb