GOMBAK, 4 Jun — Nasharudin Mat Isa yang gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak 2005 berkata, beliau menerima kekalahan dan menghormati keputusan para perwakilan yang memberi mandat kepada suara vokal Mohamad Sabu kali ini.
“Kekalahan bukan benda baru ini dalam pertandingan. Kita terima dengan hati terbuka. Pertandingan tiga penjuru ini bagi saya bukan benda baru, sudah lama berlaku, dulu dan sebagainya,” kata beliau sambil mengaku kemungkinan wujud pecah undi kali ini.
Selain Nasharudin (gambar) dan Mohamad, jawatan timbalan presiden turut ditandingi oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mohamad memperoleh 420 undi, Nasharudin mendapat 224 undi dan Tuan Ibrahim pula 399 undi.
“Saya menghormati apa yang dipilih oleh perwakilan dan merasakan pemilihan itu adalah yang terbaik,” katanya lagi.
Nasharudin juga berkata, beliau sudah tiga penggal menjadi timbalan presiden dan tiada masalah dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Laporan-laporan media tahun lalu menyebut wujud pergeseran antara Hadi dan Nasharudin.
“Selama tiga penggal saya sudah lakukan kerja sebaik mungkin. Kepimpinan terbaru ini, dilihat sebagai satu perkara terbaik,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok.
Ditanya mengapa beliau kalah, Nasharudin menjawab: “Perwakilan tidak mengundi saya.”
Mengenai kekurangan yang membawa kepada kekalahannya, Nashrudin memberitahu, “saya tidak pasti, mungkin mereka mahukan seseorang yang lebih vokal.”
Pun begitu Nasharudin menolak isu kerajaan perpaduan Umno-PAS yang diperkatakan sejak 2008-2009 sebagai punca kekalahan beliau.
“Isu itu isu basi,” ujar beliau.
Mengenai tindakan susulannya, Nasharudin berkata, buat masa ini beliau tidak memikirkan apa-apa dan menyerahkan perkembangan selepas muktamar yang akan berakhir esok.
“Tunggulah hingga selepas muktamar,” kata beliau lagi.
Sehubungan itu, Nasharudin juga berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan yang telah membuat keputusan.
“Mereka telah membuat keputusan dan anda kena menghormati pilihan, tiada isu salahkan sesiapa, demokratik proses yang diperuntukkan oleh perlembagaan, hormati hak perwakilan,” katanya lagi.
Mengenai kekalahan wakil ulama dalam pemilihan kali ini, Nasharudin berkata, barisan semasa masih memperlihatkan campuran ulama dan profesional dan ada beberapa nama ulama dalam senarai terbaru.
“Jika mereka menolak ulama, (sudah pasti) tiada nama (ulama) diwakili (dalam barisan ini), anda masih ada beberapa nama,” katanya lagi.
Berhubung soalan tentang momentum berubah daripada puak ulama kepada kumpulan profesional, Nasharudin berkata, “nampaknya dari segi pilihan mungkin tidak macam dulu, tetapi ulama masih diwakili (dalam barisan baru), jadi ia bukan isu besar.”
Menjawab soalan adakah pengaruh ulama terhakis, Nasharudin berkata, menjadi hak perwakilan untuk membuat keputusan tetapi “Majlis Syura masih kuat pengaruh dalam parti.”
“Orang tidak banyak diwakili, tetapi semangat ulama masih jauh,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment