Thursday, June 2, 2011

UMNO cemburui Kelantan

Pada 16 Mei lalu berlaku empat peristiwa penting dalam konteks negara. Peristiwa itu ialah penyerahan nota cemburu projek Ladang Rakyat oleh Pemuda Umno Kelantan kepada Menteri Besar Kelantan, sambutan hari guru, penghakiman kes konspirasi menjatuhkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan diikuti dengan keperluan penambahbaikan khidmat Jabatan Imigresen Kota Bharu dalam melayani 200 pelanggan sehari kerana mengurus paspot.

Apa pun tulisan ini tidak akan mengulas mengenai hari guru, maruah Anwar Ibrahim dan hal Imigresen. Apa yang akan ditumpukan adalah isu penyerahan nota cemburu projek Ladang Rakyat oleh Pemuda Umno Kelantan kepada Menteri Besar Kelantan.

Pemuda bangang

Sesungguhnya kandungan nota cemburu yang ditulis sebagai ‘memorandum rakyat’ adalah sebenarnya suatu manifestasi pemuda Umno yang jelas ‘bangang’ dengan projek pembangunan anjuran Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar merangkap al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Meskipun sudah berlembar-lembar penjelasan dibuat oleh pimpinan Kerajaan Negeri, namun kandungan nota cemburu oleh ketua pemudanya, Anuar Safian (foto) membuktikan sifat bangang itu.

Nota cemburu itu mengandungi lima butiran, iaitu meminta butiran perjanjian syarikat yang menjalankan kerja-kerja perladangan, mahu tahu penglibatan Bumiputera Kelantan dengan syarikat yang menjalan usahasama dengan Syarikat Ladang Rakyat, minta disenaraikan syarat-syarat dan kelayakan peserta, mahukan perincian perolehan pendapatan atau laporan kewangan dan hasil tahunan diperolehi, dan inginkan penjelasan mengenai lokasi, keluasan dan status tanah yang dimajukan (kononnya dirampas dari rakyat).

Lima butiran itu, ternyata pengetahuan Pemuda Umno tidak bertambah-tambah meskipun pihak Ladang Rakyat dan Kerajaan Negeri sudah menjelaskan tanah pembangunan Ladang Rakyat adalah atas tanah kerajaan dan tidak pernah merampas tanah rakyat. Berlaku dakwaan rampasan tanah tidaklah tepat. Sebenarnya di situ ada segelintir rakyat yang melakukan teroka atas tanah kerajaan. Apa pun, bayaran pampasan dibuat oleh Ladang Rakyat kepada rakyat (peneroka) yang meneroka tanah kerajaan.

Demikian pula, syarikat yang diberi hak hanya pemaju bukannya pemilik yang diberikan tanah.. Tanah tetap dimiliki oleh Ladang Rakyat. Justeru Ladang Rakyat telah meraih untung bukannya rugi. Buktinya, 4,300 peserta diberikan dividen dan mana-mana rakyat yang tanahnya terlibat dengan pembangunan Ladang Rakyat tetap dibayar pampasan. Jika rugi pasti dividen dan pampasan tidak akan dibayar. 

Demikian pula, Pemuda Umno bangang dalam memahami tujuan projek pembangunan Ladang Rakyat yang semestinya untuk membantu rakyat, khususnya yang miskin. Justeru penerima dividen adalah individu yang berada dalam lingkungan miskin, tanpa pilih kasih dan tidak mengira fahaman politik. Ia tidak sama dengan kerajaan Umno yang tebal dengan amalan diskriminasi, pilih bulu dan terpilih kerana ia Umno.

Terbaru, Negeri Terengganu di bawah kerajaan Umno diberikan wang royalti minyak sedangkan Kelantan yang layak telah dinafikan. Belum lagi mengambil kira kegagalan menyiapkan projek atas semata-mata kontraktor adalah kroni. Lihat sahaja kemajuan pembinaan jambatan kedua ‘Jambatan Sultan Yahya Petra’ yang merentasi Sungai Kelantan. Ia adalah melibatkan kontraktor kroni yang cukup terkenal di Kelantan. Pemuda Umno Kelantan gagal nampak (jambatan tidak siap) kerana mereka bangang.

TV1 pembohong

Bangang pemuda Umno ditambah lagi dengan pelapor peristiwa menyerah nota cemburu itu telah dilapor secara ‘pembohongan‘ oleh TV1 melalui siaran berita jam 5.30 petang dan jam 8.00 malam pada hari sama.
Sekurang-kurang tiga pembohongan dibuat TV1. Pertama bantahan dikatakan kerana Kerajaan Kelantan merampas tanah rakyat, sedangkan tidak berlaku rampasan tanah.

Kedua nota itu dilapor sebagai diserahkan kepada Timbalan Speaker Kelantan, sedangkan penerima sebenar ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
Ketiga berlaku provokasi dicetus oleh pihak Timbalan Speaker yang dikatakan menyebabkan kekecohan, sedangkan pencetusnya adalah pemuda Umno yang mengampit di sebelah kiri Anuar Safian terlebih awal menarik tangan Timbalan Speaker ketika meminta pemuda itu menjarakkan kedudukan semasa penyerahan hendak dibuat.

Dan pembohongan keempat, pihak TV1 melaporkan seramai 1,000 orang mengiringi Anuar Safian menyerahkan nota cemburu itu. Sebenarnya hanya 200 orang termasuk beberapa Orang Asli yang diupah. Atas pembohongan tersebut, pemuda Umno dan TV1 jelas tiada kredibiliti untuk dipercayai rakyat Kelantan.

Kenapa cemburu?

Meskipun Pemuda Umno berjaya mengumpul 200 orang pengiring semasa penyerahan nota cemburu itu, apa pun rakyat Kelantan harus tahu, kenapa Umno amnya begitu cemburu terhadap kejayaaan Ladang Rakyat. Tidak lain kerana di sebalik kejayaan itu kesannya adalah ia membangun negeri dan membantu rakyat miskin.

Sementara itu, di sebalik pembangunan tanah untuk projek Ladang Rakyat, turut terbongkar broker teroka tanah Kerajaan Negeri secara tidak sah. Dikatakan broker itu membabitkan pimpinan Umno tertentu, di samping beberapa individu kroni pemimpin tersebut. Ia sudah menjadi kerugian dari segi ‘politik anak buah’ tatkala anak buah yang dijanjikan dengan geran tanah sudah terpaksa menagih janji yang tidak kesampaian.


Justeru politik menghasut rakyat agar membangkang usaha Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dilakukan oleh pemimpin Umno. Mungkin pemimpin tersebut sudah lupa, bahawa membangkang Ladang Rakyat bermakna menyekat rezeki untuk rakyat miskin. Apakah maruah pemimpin sedemikian?

Sokongan majoriti

Apa pun asakan pemuda Umno dan cubaan menjatuhkan kredibiliti Kerajaan Negeri di sebalik Ladang Rakyat, seramai 4,300 penerimanya tetap berdiri teguh menyokongnya. Ia simbolik sokongan majoriti rakyat Kelantan.

Pada hari yang sama, pihak Ladang Rakyat turut melancarkan koperasi milik penerima dividen. Dua deklarasi diungkapkan iaitu pertama menyatakan sokongan sepenuhnya atas usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan keduanya bersetuju memperkukuhkan Ladang Rakyat sebagai satu badan untuk membantu rakyat dan meneguhkan kerajaan pimpinan ulama. Deklarasi yang disampaikan oleh ketua pegawai eksekutifnya, Dr. Nazmi Ghazali Azmi adalah jawapan tunai kepada sikap membangkang dan menentangnya pemuda Umno Kelantan.

Sekaligus, ia petanda kegagalan gerakan rakyat oleh pemuda Umno yang bersimbolkan warna merah. Maka, merah itu sudah bermakna kematian idea politik Umno Kelantan. Hanya rakyat yang mendapat hidayah Ilahi bakal menjadi hakim atas ketulusan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran untuk sekalian warga Negeri Kelantan.

Sumber : GreenCresent

No comments: