Monday, June 2, 2014

Yang Mengaku Memperjuangkan Islam Mesti Baca!!

Kenyataan Media
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Sabtu 31 hb Mei 2014

Rogol Boleh Ditangani Dengan Hudud dan Takzir

1. Kes melibatkan rogol 2 pelajar wanita berusia 15 dan 17 tahun oleh 38 lelaki di Ketereh, Kelantan 20 Mei 2014 lalu dan kes-kes seumpamanya mengajak seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia untuk merenung lebih jauh kegagalan undang-undang moden menyekat kesalahan jenayah rogol.

2. Statistik PDRM menunjukkan antara kes jenayah yang paling tinggi di Malaysia ialah jenayah harta melibatkan kecurian dan jenayah kekerasan melibatkan rompak dan rogol.

3. Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi pesalah rogol ialah penjara minima 5 tahun dan maksima 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

4. Islam mengkategorikan rogol atau disebut zina paksa sebagai satu kesalahan jenayah Hudud. Hukuman boleh dikenakan ke atas perogol sekiranya kesalahan itu sabit menerusi kesaksian 4 orang atau pengakuan tertuduh. Bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas perogol yang disabitkan kesalahan :
i- rejam sehingga mati jika pesalah pernah menikmati persetubuhan melalui perkahwinan yang sah.
ii-sebat sebanyak 100 sebatan ke atas pesalah yang belum pernah menikmati persetubuhan melalui perkahwinan yang sah dan penjara selama setahun.

5. Sekiranya tidak dapat dibuktikan melalui 4 orang saksi atau pengakuan tertuduh ia boleh disabitkan berdasarkan keterangan lain seperti DNA, laporan perubatan dan lain-lain keterangan yang boleh dijadikan bahan bukti kes.

Hukuman yang akan dikenakan ialah Takzir iaitu bergantung kepada budi bicara mahkamah.

6. Inilah yang dijelaskan oleh Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2002. Enakmen Terengganu menyebut;
Seksyen 9. (2) Aduan oleh seorang perempuan yang dia dirogol oleh orang tertentu  tanpa berupaya membawa saksi seperti yang disyaratkan tetapi ada qarinahnya, hendaklah disiasat dan jika syarat-syarat yang dikehendaki Syarak tidak dipenuhi untuk menghukum pesalah di bawah hukuman hudud dan sebaliknya ada cukup bukti yang tidak boleh disangkalkan dengan keterangan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menunjukkan pesalah telah melakukan persetubuhan ke atasnya dengan kekerasan dan tanpa kerelaannya maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman takzir dan perempuan itu tidak boleh dikatakan telah melakukan qazaf.

7. Hukuman Takzir boleh berlaku lebih keras daripada hudud sekiranya Mahkamah berpandangan ada keperluan untuk itu. Sebahagian mazhab Islam meletakkan hukuman Takzir boleh mencapai tahap hukuman mati. Apatah lagi dalam kes rogol berkumpulan yang mendatangkan trauma dan kecederaan besar kepada mangsa dari sudut fizikal dan mental.

8. Lebih menarik, berasaskan Takzir dalam Islam, pesalah rogol boleh dikenakan bayaran pampasan sebagai gantirugi kepada maruah mangsa. Peruntukan seumpama ini tidak terdapat dalam undang-undang sivil hari ini. Mangsa rogol hanya sekadar mendapat malu.

9. Tiba masanya kerajaan persekutuan perlu lebih serius menggubal undang-undang berasaskan hukum jenayah Islam sebagai alternatif kepada undang-undang sivil sedia ada yang terbukti gagal menyekat jenayah rogol. Setidak-tidaknya kerajaan persekutuan boleh membentangkan rang undang-undang membolehkan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2002 dilaksanakan di peringkat negeri sebagai model awal di Malaysia.

YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments:

fb