Monday, August 1, 2011

PERUTUSAN RAMADHAN 1432 H Dewan Pemuda PAS Johor


PERUTUSAN RAMADHAN 1432h

Assalamualaikum w.b.t.

1. Alhamdulillah, pertama dan selamanya ayuhlah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Robbul Jalil kerana dengan keizinannya maka dapatlah kita semua bertemu kembali Ramadhan Al-Mubarak buat yang kesekian kalinya.

2. Ramadhan merupakan bulan penuh barokah yang telah dikurniakan oleh Allah kepada umat Muhammad S.A.W dimana Al-Quran diturunkan didalamnya dan malam al-Qadar dihadiahkan bagi hamba-hambanya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mencari kebaikan padanya.

3. Ramadhan semestinya dilihat sebagai sebuah medan tarbiyah bagi melatih diri dan rohani agar diakhirnya nanti kita beroleh ijazah ketaqwaan sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi ;


“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan keatas kamu berpuasa sepertimana yang telah difardhukan keatas mereka (umat-umat) sebelum dari kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”

4. Bagi seluruh umat Islam, didoakan agar kita semua berjaya menjalani ibadah puasa pada kali ini dengan penuh keimanan serta kesempurnaan. Kesan mendirikan ibadah puasa dengan sempurna ini mampu menjadikan kita seorang muslim yang baik, penuh sifat kehambaan, saling menghormati, berakhlak mulia dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.

5. Jika ditelusuri sirah Muhammad S.A.W juga, bulan Ramadhan telah merakamkan peristiwa peperangan pertama dalam sejarah umat Islam yang menyaksikan kemenangan besar bagi tentera Muslimin menentang kekejaman tentera Musyrikin yang membawa bendera kezaliman, penindasan serta ketidak adilan. Itulah peperangan Badar al-Kubra.

6. Mengambil pengajaran dari peristiwa Badar al-Kubra ini, buat seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), samada anda pendokong atau penyokong, bekalkanlah diri dengan ruh perjuangan Badar al-Kubra ini. Apatah lagi dalam kita mendepani cabaran khususnya dalam persiapan menuju medan PRU ke-13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

7. Dengan usaha dan kerja kuat, kita berharap agar Allah memberikan kekuatan fizikal dan spiritual untuk kita menghadapi pihak yang menyalahgunakan kuasa  dan memanipulasi segala bentuk ruang demokrasi di negara Malaysia ini dalam rangka memastikan mereka terus dapat mengekalkan kuasa dan menghisap hasil kemewahan negara yang seharusnya diberikan kepada rakyat terbanyak.

8. Sekian, salam Ramadhan Al-Mubarak, salam beribadah dan salam perjuangan.

Wassalamualaikum w.b.t.

 SUHAIZAN KAIAT
(Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor)

No comments: