Thursday, February 24, 2011

Kisah Sami dan Kucingnya

RITUAL TANPA SPIRITUAL 


Seorang ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, sikucing akan ikut bersama. Keadaan ini menimbulkan masalah pada ketua sami, terutamanya apabila dia hendak menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasi ketua sami terganggu apabila kucing kesayangannya itu mengelus-ngeluskan badan dan kepala ke badan dan tangannya. 


Setelah berfikir untuk mencari jalan penyelesaian kepada gangguan itu, akhirnya ketua sami mendapat satu ikhtiar. Setiap kali ketua sami ingin melakukan penyembahan di tengah kuil, ia terlebih dahulu mengikat sikucing di sebuah tiang di tepi kuil tersebut. Kucing itupun tidak dapat mengganggu lagi, dan ketua sami dapat menumpukan seluruh perhatiannya kepada upacara penyembahan itu.


Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan… Setiap kali hendak melakukan upacara penyembahan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama. Perlakuan ketua sami itu selalu diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya. Itu sudah menjadi rutin harian yang mereka lihat berulang-ulang kali. Setiap kali ketua mereka hendak
menyembah berhala besar, kucingnya akan ditambat di tiang sebelah kuil tersebut.


Beberapa tahun pun berlalu… ketua sami tiba-tiba jatuh sakit dan tidak lama kemudian dia terus meninggal dunia. Ketua sami yang barupun dilantik untuk mengepalai upacara penyembahan berhala besar secara tradisi. Begitupun, setiap kali ketua sami yang baru hendak menyembah berhala yang besar di tengah kuil, beliau akan mengikat kucing kesayangan ketua sami yang lama pada tiang di sebelah kuil seperti kebiasaannya. Begitulah berlaku berulang kali, beberapa lama.


Tidak berapa lama, kucing kesayangan ketua sami lama itupun mati. Ironinya, ketua sami yang baru segera mencari kucing baru sebagai pengganti kucing lama untuk diikat pada tiang pada setiap kali ia hendak menyembah berhala. Begitulah rutin itu silih berganti, bertahun-tahun. Kucing baru dan ketua sami baru datang dan pergi silih berganti. Dan berpuluh-puluh tahun kemudian terciptalah satu ritual dalam agama tersebut bahawa jika ketua sami mereka hendak menyembah berhala mestilah dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambatkan pada tiang kuil di sebelah kuil tersebut!


Pengajaran:
Sering berlaku di dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan-amalan ritual yang sarat dengan nilai-nilai spiritual telah terlindung oleh sikap ‘taklid’ secara membuta-tuli. Penganut agama yang di belakang hari, kerap mengikut secara Pak Turut tanpa mengerti sebab dan tujuan sesuatu amalan itu dilaksanakan. Tanpa disedari agama bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat. Suatu amalan dibuat tanpa penghayatan dan pengertian lagi. Al hasil, ia tidak merubah perlakuan daripada buruk kepada baik.

No comments: