Saturday, April 11, 2020

FAMA atasi lambakan sayur di Cameron Highlands



PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menyelesaikan masalah lambakan sayur yang berlaku di musim Covid-19 khususnya di Cameron Highlands dan Lojing.

Timbalan Menterinya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, berkata sebaik sahaja mendapat tahu perkara itu, pihaknya menghantar pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke lokasi berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah mengambil langkah sepatutnya dan kami difahamkan sebahagian mereka sudah membuang hasil tanaman berkenaan, sebelum pihak kementerian mendapat maklumat.

“Sebahagian daripadanya FAMA akan membeli. Pembelian itu sama ada untuk diagihkan kepada masyarakat, ternakan atau zoo melalui kerjasama NGO,” katanya.

Kata beliau, masih banyak manfaat yang dapat dilakukan.
Manakala sebahagian lagi pihaknya akan menggunakan kaedah lain yang akan dibincangkan dari masa ke semasa. .

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah turut menasihatkan pengusaha pertanian supaya bersabar kerana ketika ini banyak halangan yang berlaku di mana-mana sahaja.

“Kementerian juga membuka bilik gerakan yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku sepanjang tempoh itu.
“Petani sewajarnya perlu berfikir lebih ke hadapan seperti menjual dalam talian, perkhidmatan penghantaran, berbanding kaedah lama,” ujarnya.

No comments: