Jangan lupa untuk tekan butang 'LIKE' selepas anda baca♥
"Sayang, Abang
minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain,
terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur
lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan
di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah.
TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.
Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke
dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan.
Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya,
mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa
puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini,
anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera
bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia
kembali kepada suaminya.
Asraf Mukmin hanya diam, membatu
diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16
tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah
adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang
menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya
benar-benar membuatkan dia lemah.
"Kau mampu Asraf, dengan gaji
kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif,
teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan
Aliyah.
" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika
itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu
memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai
solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti
kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak.
Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat
hatinya.
" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang.
Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang
sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas
baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang
mengilai wanita yang jauh lebih muda.
"Bawa dia ke sini,
tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar
permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu?
Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin
isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya
dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu
wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah
periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni,
isteri-isteri lebih bijak.
Teringat dia kisah seorang tentera
yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk
menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai
hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia,
hanya senyuman daripada Aliyah.
"Apa, nak suruh Qis jumpa
dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak
Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.
"Biar betul,
apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh
Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu
orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih
pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya?
Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli
isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli
aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti
seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi
Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri
tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa
dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia
diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya
benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan
aktiviti keagamaan di masjid Putra.
Dulu, sebelum dia
mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta
anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis
kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah
kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina
memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan
tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba
mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung
Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya.
Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu.
Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya
layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon
madu Aliyah.
Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox
hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan
isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis
sehebatnya untuk bersama Abang.
"
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa
mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi
temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang
membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah
kemukakan penilaian Aliyah.
1. Dengan ukuran badan ala-ala
model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk
badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah
sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana
menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu
untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org
lain. Aliyah sayangkan Abang...
2. Aliyah ada mengajak dia
memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah
sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung.
Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah.
Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah
restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu.
Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian
nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...
3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya.
Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada
zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk
mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman.
Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah
sayangkan Abang...
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya
penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg
lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat
membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya
lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai, di dalam
sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah
tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika
munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah
borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap,
Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan
Abg...
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup
hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding
dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg
merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah
bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti
canai.. air tangan Aliyah.
Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.
Jangan lupa untuk tekan butang 'LIKE' selepas anda baca♥
No comments:
Post a Comment