Para ilmuan Islam, kata beliau mempunyai tanggungjawab agama bagi menyampaikan ilmu agama selaras dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah apa yang kamu terima dariku, walau sepotong ayat.”
“Di atas asas ini, maka golongan agama mempunyai amanah menyampaikan ilmu yang wajib disampaikan,” tambah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).
Menurut Tuan Ibrahim, tugas utama menyampai dan membimbing rakyat adalah terpikul di atas bahu para pemimpin Islam di akhirat.
Sejajar itu, katanya golongan agama bertanggungjawab membantu para pemimpin ini untuk meringankan hisaban di akhirat.
“Pada masa yang sama, para pemimpin yang dibantu ini hendaklah berterima kasih kepada golongan agama kerana membantunya meringankan hisaban di akhirat dan melepaskan bebanan mengurangkan kejahilan rakyatnya.
“Untuk itu, pemerintah mestilah menyediakan ilmuan Islam yang cukup bagi mendidik masyarakat ke arah penghayatan Islam yang syumul. Adalah satu kesalahan besar bagi seseorang pemimpin untuk membiarkan rakyatnya terus jahil,” terang beliau.
Beliau juga memberikan peringatan bahawa ulamak atau golongan agamawan pula dipertanggungjawabkan mesti memelihara amanah ilmu dengan menyampaikan ilmu tersebut walau pahit sekalipun rintangan yang bakal dihadapinya.
Akibat kekurangan siraman ilmu yang mengekalkan kejahilan, terang beliau adalah sebab berlakunya pelbagai gejala sosial, soal murtad, rasuah, berkembangnya ajaran sesat dan sebagainya.
Lebih malang kini, mereka yang mempunyai taraf keilmuan agama yang diketahui umum dengan kelulusan ilmu agama, jawatan yang disandang seperti pensyarah, mufti, kadhi, guru agama sekolah-sekolah bahkan ulamak yang disegani juga terikat dengan sistem tauliah, tambahnya lagi.
“Jika pihak berkuasa agama membimbangi mereka ini menyampaikan ajaran salah atau bercanggah dengan syarak, bagaimana pula dengan kuliahnya di universiti dan tempat lain?
“Bahkan, kalau seseorang mufti pun kena memohon tauliah, sudah tentu ia menjadi bahan tertawa orang jahil dan ini antara sebab utama mengapa wibawa institusi agama sangat rendah di mata masyarakat,” terang Tuan Ibrahim, sambil menambah ini juga antara sebab mengapa pendakwaan mengajar atau menyampaikan kuliah tanpa tauliah kini mengundang pelbagai gurau senda dalam masyarakat.
Untuk jabatan agama Islam di negeri-negeri, Tuan Ibrahim mengesyorkan agar mereka memudahkan pemberian tauliah kepada golongan yang mempunyai taraf keilmuan agama di mata masyarakat, lebih-lebih lagi apabila golongan ini yang mengajar ini tidak pernah meminta upah dari pengajaran yang disampaikannya.
“Bersangka baiklah terhadap golongan ilmuan agama, dan bertindak adillah dengan kuasa di dalam tangan dalam pemberian tauliah, dan dengan ini diharap kejahilan masyarakat dapat di atasi dan pemimpin akan dirahmati Allah,” nasihat beliau.