Kata Para hukama’: Tidak hilang bisa dek kerana memohon maaf diatas
kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya diri dilihat
bermaruah dan dihormati.
Tahniah saya ucapkan kepada saudara Mohd Razizan bin Abd Razak yang telah mengakui kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka.
Saya sangat menghormati sikap sedemikian dan telah saya sebutkan
sebelum ini didalam kenyataan saya bahawa sewajarnya pihak pengarah dan
pelakon Filem Hantu Bonceng iaitu saudara Mohd Idham dan Zizan memohon
maaf kerana mencetus kekeliruan kepada masyarakat awam. Sekiranya mereka
memohon maaf, mereka akan lebih dihormati.
Mudah – mudahan ia menjadi pengajaran berguna kepada Zizan dan kepada
semua termasuk para penonton dan juga artis – artis yang lain agar
lebih berhati – hati di pentas lakonan atau di layar perak agar tidak
mencetus kekeliruan yang boleh membuka pintu fitnah dan dilihat
mempersendakan agama Islam yang suci ini.
Bukan sahaja pada lafaz kalimah syahadah
tetapi juga pada aksi – aksi yang lain seperti pendedahan aurat,
pergaulan bebas, berpelukan lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya,
adegan tahyul dan sebagainya mesti dielakkan dalam dunia lakonan justeru
ia menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat khasnya anak muda
selain ianya bertentangan dengan hukum Islam.
Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah At-taubah, Ayat 65:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ
قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
Dan jika engkau bertanya kepada mereka, tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya
kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama
Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan
mengejeknya?”
Saya mewakili Dewan Pemuda Pas Malaysia sekali lagi mengucapkan
tahniah atas keberanian saudara Zizan memohon maaf, semoga ianya benar,
ikhlas dan tidak mengulanginya di masa hadapan.
Dewan Pemuda Pas Malaysia senantiasa menyokong kerjaya seni dan
budaya dalam negara kita kerana Islam tidak pernah menghalang ummatnya
berkarya, namun Islam mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi
agar seni dan budaya menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda bukan
mematikan hati, merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.
Saya percaya, masih terlalu luas ruang untuk seniman dan karyawan
menghasilkan karya seni mereka tanpa melanggar batas syariat dan
mencacatkan keindahan Islam.
Malah filem tanpa adegan wanita seksi yang menampakkan aurat sehingga
ke paras paha serta mendedahkan sebahagian besar di bahagian dadanya,
masih mampu mencapai box office dan menerima award di peringkat
antarabangsa, seperti filem dari Iran “Under The Moonlight” yang
memenangi 6 award diperingkat antarabangsa pada tahun 2001 yang lalu.
Begitu juga filem “Children of Heaven” yang dicalonkan sebagai
penerima anugerah oscar dalam Academy Award dan memenangi 10 lagi award
di pelbagai peringkat antarabangsa.
Sudah sampai masanya, pengarah dan penerbit filem negara menghasilkan
filem bermutu tinggi, mendidik minda dan sosio budaya masyarakat serta
mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa. Bebaskan industri
filem negara dari serkap filem yang rendah mutu, terkepong dalam realiti
masyarakat yang tidak sepatutnya dibanggakan dan filem yang
mengeksploit batang tubuh wanita, keseksian, kelucahan dan ketahyulan
sebagai azimat pelaris tayangan di pawagam.
Saya mengingatkan demikian justeru berkarya juga berkait rapat dengan
dosa pahala dan syurga neraka. Karya juga sebahagian dari medium
pendidikan umum masyarakat yang berkesan kepada masyarakat. Maksudnya,
berkarya dalam pelbagai lapangannya mestilah mengambil kira keredhaan
Allah swt, bukan hanya menilai keuntungan dan sambutan bertaraf pecah
gudang.
Dewan Pemuda Pas sedia membantu untuk mengangkat martabat industri
filem negara dalam ruang yang boleh diambil oleh pemuda selama industri
ini sedia untuk bebas dan dibebaskan dari pengaruh maksiat dan mungkar.
Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda Pas Malaysia
Ketua Pemuda Pas Malaysia
No comments:
Post a Comment