Tuesday, February 4, 2020
PAS KOMITED KE ARAH MEMULIHKAN KESTABILAN NEGARA
PAS KOMITED KE ARAH MEMULIHKAN KESTABILAN NEGARA
ROSLAN SMS
(Harakah bil. 2159 Edisi Jumaat)
Beberapa peristiwa yang berlaku kebelakangan ini makin mencetuskan kehangatan isu peralihan kuasa Perdana Menteri dan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku kiranya tiada penyelesaian.
Rata-rata rakyat Malaysia kelihatan tidak berapa berselera atau berminat untuk menyaksikan peralihan kuasa Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir ke Anwar Ibrahim dalam tempuh terdekat ini. Rakyat lebih tertunggu-tunggu langkah segera yang boleh memulihkan kehidupan mereka yang sedia terbeban dengan kos hidup yang menyiksa.
Harga barang dan perkhidmatan semakin mahal, tetapi yang diberikan fokus oleh puak-puak Pakatan Harapan hanyalah isu peralihan kuasa yang bagi rakyat sedikit pun tidak akan merobah kehidupan mereka.
Kerana itu keputusan kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre umpamanya menunjukkan yang rakyat lebih selesa jika Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga ke hujung penggal, bukannya ditukar apalagi oleh tokoh kontroversi seumpama Anwar Ibrahim dalam waktu terdekat ini.
Rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu sekurang-kurangnya, yang merupakan majoriti penduduk di tanahair lebih cenderung untuk Tun kekal sebagai PM dan tidak diganti.
Di bulan Oktober 2018 menurut kajian Merdeka Centre, 42% bangsa Melayu yang dikaji mahukan Tun kekal sebagai PM dan angka ini meningkat 16% di bulan November 2019 apabila 58% mahukan Tun kekal. Manakala pada bulan Oktober 2018 cuma 31% orang Melayu berkenan dengan Anwar sebagai PM ke 8 dan angka ini menurun 18% ke hanya 13% di bulan November 2019 yang bersetuju Anwar naik sebagai PM.
Mungkin orang-orang Melayu mahukan kestabilan dan menganggap sebarang langkah perubahan kuasa diseparuh penggal seperti yang digila-gilakan sebahagian pendukung Anwar hanya akan membawa ketidaktentuan yang lebih kronik dan menyusahkan. Apatah lagi dengan rekod Anwar yang terccalar, pastinya nanti perubahan kuasa tidak menjanjikan apatah lagi membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Kerana itu PAS sendiri berpendirian yang Tun harus kekal sebagai PM Malaysia hingga ke penghujung penggal dan malah sebagaimana ditegaskan Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS, PAS akan terus memberikan sokongan kepada Tun demi memastikan beliau kekal sebagai PM.
Kini sudah penghujung bulan Januari, dan para pentaksub Anwar mendakwa tempuh peralihan kuasa dari Tun ke Anwar perlu berlaku di bulan Mei 2020 iaitu genap 2 tahun kerajaan PH.
Beberapa pimpinan PKR dan DAP lantang bersuara mendesak agar Tun menghormati kononnya keputusan pimpinan PH pra PRU 14 bahawa tempuhnya sebagai PM berakhir Mei ini dan kuasa wajib diserahkan kepada Anwar untuk diangkat sebagai bekas banduan yang pertama menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Dan apabila gambar kunjungan Presiden PAS dan MB Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri bertemu Tun diviralkan pihak tertentu, dicetuskan pula kontroversi baru kononnya Tun sedang berusaha memujuk PAS meninggalkan Muafakat Nasional dan menyertai PH untuk memperkuatkan kedudukannya.
Maka bertempiklah pihak-pihak yang merasakan diri mereka terancam, melancarkan pelbagai serangan yang lompong dan tidak masuk akal.
Pimpinan Pan yang sentiasa kelabu pemikiran mereka dan taat tunduk di bawah pengarahan DAP itu, telah melancarkan siri serangan ke arah PAS, termasuklah kononnya tidak sekali-kali akan menerima PAS dalam PH. Malah malangnya beberapa rakan penulis dari Umno juga mengikut rentak mereka ini.
Mengapa perlu PAS menyertai PH sedangkan PAS telah menandatangani piagam Muafakat Nasional bersama Umno? Masuk akalkah kiranya PAS yang berseteru dengan DAP dan Pan, tergiur mahu duduk sebumbung bersama mereka di dalam PH sedangkan PAS menganggap DAP sebagai punca utama tercetusnya ancaman terhadap nasib dan masa depan agama Islam dan rumpun Melayu hari ini.
Bagi mereka yang ragu-ragu dengan tindak-tanduk Tun, yang merasakan Tun sedang merancang sesuatu untuk kekal sebagai PM, dan ada pula yang mendakwa kononnya Tun akan membentuk satu kerajaan baru tanpa PKR pro Anwar, DAP dan Pan, mereka sepatutnya tidak gundah-gulana.
Jika Tun penghalang buat Anwar untuk naik sebagai PM ke 8, tokoh-tokoh pentaksub Anwar seperti Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Saifuddin Nasution, Nik Nadzmi, Charles Santiago, Ramasamy, Ronnie Liu, OTAI Reformasi dan lain-lain sesungguhnya boleh menyusun langkah mereka sendiri.
Tidak perlulah serkap jarang dan menambahkan kekacauan dan serabut dalam fikiran rakyat yang sedia kusut dengan pelbagai masalah hasil dari kegagalan kerajaan PH.
Jika benar Tun penghalang, dan tidak nampak akan melepaskan jawatannya, opsyen yang ada buat para pentaksub Anwar adalah membawa undi tidak percaya di Parlimen, memaksa Tun turun dan digantikan dengan Anwar.
Bukankah Anwar pada pandangan mereka mempunyai suara teramai di Dewan Rakyat, maka apakah yang menghalang mereka dari bertindak? Jika benar Anwar popular dan rakyat mahukan Anwar sebagai PM ke 8, maka wakil-wakil rakyat pro Anwar perlu mengusulkan agar Tun segera turun supaya rakyat Malaysia boleh menobatkan bekas banduan sebagai PM yang baru. Mari kita lihat adakah Anwar mampu memperolehi sokongan majoriti wakil-wakil rakyat di Parlimen.
PAS tegas tidak menyokong sebarang langkah menukar jawatan Perdana Menteri diseparuh penggal sebab menganggap langkah sedemikian tidak sihat buat kestabilan negara dan bakal mencetuskan ketegangan. PAS juga tidak bersedia melihat Anwar Ibrahim naik sebagai Perdana Menteri tanpa disokong mandat rakyat.
Sebarang langkah PAS bertindak sebagai “kingmaker” sesungguhnya bukannya bertujuan untuk menangguk di air keruh kerana PAS bukan pengamal politik matlamat menghalalkan cara sebagaimana sesetengah pihak yang sanggup menggadaikan prinsip dan harga diri demi kedudukan dan kuasa.
PAS menyusun langkah kerana tidak mahu rakyat dan negara rugi dan tertipu.
Tidak boleh dinafikan bahawa PAS mendukung perjuangan mendaulatkan Islam dan mengembalikan kuasa politik Melayu sebagai tunggak, PAS komited untuk merintis jalan ke arah pencapaiannya.
Justeru PAS menandatangani piagam Muafakat Nasional kerana yakin bahawa politik baru yang mahu dibawa mestilah meletakkan Islam dan penyatuan ummah sebagai asasnya.
PAS akan terus bersama Umno dan rakan-rakan sekutu untuk membawa agenda besar ini dan terus komited dengan sebarang langkah dan peluang untuk menyibar luaskan lagi agenda ini sehingga kestabilan negara dapat dipulihkan dan masadepan Islam dan ummah Melayu serta seluruh rakyat Malaysia menjadi lebih terjamin.
roslansms@gmail.com
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2516502618638123&id=1970920799862977
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment