Tuesday, May 20, 2014


Pemilihan Dyana bukti Pakatan iktiraf wanita



HAZAYANI ZAKARIA | .


KUALA LUMPUR: Keputusan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan membuktikan kepimpinan Pakatan Rakyat mengiktiraf penglibatan golongan wanita dalam bidang politik.

Pengerusi Ameerah Malaysia, Fareedah Samad berkata, keputusan DAP meletakkan calon wanita muda pada PRK kali ini adalah tepat dan dilihat antara calon terbaik yang pernah ditampilkan parti itu untuk memperjuangkan agenda kebajikan rakyat.

"Ameerah Malaysia yakin dengan kelebihan yang ada pada Dyana, beliau akan mampu menggalas tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dengan cemerlang. Semua maklum, beliau masih muda dan cergas untuk memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat khususnya pengundi di Parlimen Teluk Intan," kata beliau.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Dyana, Ameerah yang mewakili sayap wanita muda dalam Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) juga menyokong penuh gagasan Dyana untuk meruntuhkan tembok perkauman di kalangan rakyat di negara ini.

Gagasan ini katanya selari selari dengan agenda Ameerah Malaysia untuk membebaskan golongan wanita muda di negara ini daripada sebarang sentimen perkauman yang sempit.

Justeru beliau menyeru seluruh pengundi Parlimen Teluk Intan khususnya pengundi muda untuk memilih Dyana bagi memastikan suara penduduk Teluk Intan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat dan kebajikan rakyat terus diperjuangkan.

"Di peringkat Ameerah Malaysia pula, kami mendoakan kejayaan besar buat Dyana dalam PRK pada kali ini dan semoga beliau terus kuat dan tabah menghadapi serangan demi serangan daripada jentera Barisan Nasional.

"Kejayaan beliau kelak merupakan kejayaan seluruh aktivis wanita muda di negara ini," katanya.

Penamaan calon hari ini mengesahkan Dyana akan melawan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dalam PRK pada 31 Mei ini.

slumber: bm.harakahdaily.net

No comments:

fb