Jika kita berasal di satu tempat, kemudian kita berpindah darinya dan tinggal/bermastautin di tempat yang lain, merujuk kepada amalan Nabi SAW, harus kita melakukan solat musafir (yakni jamak dan qasar) tatkala kita bermusafir ke tempat asal kita jika jaraknya melebihi dua marhalah dari penempatan baru kita.
Sedia dimaklumi bahawa Nabi SAW berasal dari Makkah, kemudian berhijrah ke Madinah. Hadis-hadis Nabi SAW menceritakan bahawa tatkala baginda bermusafir ke Makkah, baginda melakukan solat musafir ketika berada di Makkah - walaupun Makkah itu asalnya adalah tanah kelahirannya. Seorang sahabat bernama ‘Imran bin Hushain menceritakan;
“Aku pernah berperang dengan Rasulullah SAW dan bersama baginda ketika pembukaan kota Makkah. Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dengan tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat (yakni melakukan solat qasar). (Selepas memberi salam), baginda berkata (kepada makmum di belakangnya dari kalangan penduduk Mekah); “Wahai penduduk Mekah, sempurnakan solat kamu kepada empat rakaat kerana kami adalah golongan musafir”. (HR Abu Daud).
Berdasarkan hadis ini, harus kita melakukan solat musafir apabila kita pulang ke kampung/penempatan kelahiran kita jika kita tidak lagi menetap di situ. Adapun tempoh keharusan melakukan solat musafir, (yakni jama’ dan qasar) diharuskan selagi seseorang itu berada dalam musafir (perjalanan). Jika ia berhenti di satu tempat, sekiranya dia berniat untuk tinggal di situ empat hari atau lebih (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), tamat musafirnya dan tidak harus lagi solat musafir (jamak dan qasar) hinggalah hari keluar dari situ. Itu adalah mengikut pandangan jumhur ulama (merangkumi mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad). Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tamat musafirnya jika berniat tinggal 15 hari atau lebih.
Sekiranya berhenti di satu tempat untuk suatu urusan dan tidak berniat untuk tinggal di situ beberapa hari tertentu, akan tetapi bergantung kepada urusannya, iaitu sebaik sahaja selesai urusannya dia akan keluar dari situ, harus baginya solat musafir di situ selama 18 hari mengikut mazhab Syafi’ie (yakni selepas 18 hari tidak harus lagi solat musafir walaupun urusannya belum selesai). Menurut mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad; harus solat musafir selagi urusannya belum selesai sekalipun memakan masa bertahun.
Mengenai pendapat ulama, ada sebahagian ulama berpendapat; tidak harus seseorang melakukan solat musafir jika singgah di suatu tempat yang ada di situ ahli keluarga dan hartanya. Dia hanya harus melakukan solat musafir ketika dalam perjalanan ke situ sahaja. Adapun apabila sampai, hendaklah melakukan solat penuh.
Hal ini kerana dengan adanya keluarga dan hartanya di situ, maka tempat itu telah telah menyerupai negeri/kawasan penempatannya. Antara yang berpandangan sebegini ialah Imam Ahmad dan az-Zuhri. Berkata Imam az-Zuhri; sesiapa bermusafir dengan melalui ladang/kebun miliknya, tidak harus solat musafir di situ. Pandangan ini diambil dari Ibnu ‘Abbas. Menurut beliau; jika kamu tiba di satu kawasan/tempat yang ada ahli keluarga atau harta kamu, hendak lah kamu mengerjakan solat sebagaimana solat orang mukim (orang yang menetap), yakni; solat dengan sempurna, tanpa qasar.
Namun jumhur ulama (termasuk Imam Syaf’ie, Ibnu al-Munzir, Imam Malik dan sebagainya) berpendapat; harus solat musafir selama tidak berniat menetap (bermukim) di situ. Jika berniat menetap (bermuqim) di situ, tamatlah keharusan solat musafirnya (yakni hanya harus mengerjakan solat musafir di perjalanan sahaja dan apabila sampai hendaklah melakukan solat sebagaimana biasa). Jadi menurut pandangan ini hukum bermusafir ke tempat yang ada ahli keluarga kita sama seperti bermusafir ke tempat lain, iaitu harus melakukan solat jamak dan qasar (jika mencukupi syarat-syarat dari segi jarak dan sebagainya) selama kita tidak berniat untuk menetap atau bermastautin di situ.
Pandangan pertama berdalilkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menceritakan bahawa;
Saidina ‘Usman apabila berada di Makkah, beliau tidak mengqasarkan solatnya akan tetapi melakukannya dengan sempurna. Lalu perbuatannya disanggah oleh sahabat-sahabat yang lain. Maka dia menjawab; Aku telah berkeluarga di Makkah.
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa berkeluarga di satu negeri, hendaklah Dia mengerjakan solat sebagaimana orang mukim (yakni tidak boleh jamak dan qasar)” (Riwayat Imam Ahmad).
Namun, para ulama hadis telah sepakat mengatakan bahawa; hadis ini adalah dhaif (lemah), tidak harus dijadikan hujjah.
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment