Tuesday, November 16, 2010

2011 : Kami Sedia Ganti Kamu


2011 : Masa Untuk Berubah
[ PAS Sedia Ganti UMNO ]

1.  Seluruh pimpinan PAS dari semua peringkat organnya berhimpun hari ini di Auditorium MBSA untuk menyertai Seminar "PAS Sedia Ganti UMNO".

2. Selain untuk menyatakan kesediaan PAS mengambil alih teraju pemerintahan negara , ia juga adalah suatu gambaran jelas bahawa kini PAS begitu optimis untuk memenangi pilihanraya umum akan datang bersama gandingan rakan - rakan parti dalam Pakatan Rakyat.

3. Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia terlebih awal meletakkan tahun 2011 [ jangkaan pilihanraya umum ] sebagai Masa Untuk Berubah .

4. Perubahan yang dimaksudkan ialah pada 2 kategori utama .
Pertama : Perubahan Dalaman
Kedua : Perubahan Luaran .


Perubahan Dalaman .

5. Dato' Seri Presiden Tuan Guru Hj Abdul Hadi telah menegaskan bahawa  "PAS mesti menang  dengan kekuatan sendiri tanpa mengharapkan kelemahan yang dialami oleh musuh" . Sementara kelemahan musuh hanya bonus dan ianya tidak boleh dijadikan asas strategik untuk PAS mencapai kemenangan dalam semua kerusi yang ditandingi oleh PAS disamping kerjasama politik yang telah dimeterai bersama rakan - rakan parti komponen Pakatan rakyat yang lain .

6. Terma "Kekuatan sendiri" ini perlu diberi perhatian oleh setiap organ parti khasnya pemuda. Saya melihat kekuatan sendiri yang dimaksudkan , selain merujuk kepada:
  • kewujudan dan keaktifan cawangan - cawangan PAS diseluruh negara serta
  • usaha gigih menguasai arus pendaftaran pengundi baru ,  juga
  • memerlukan performance saf pemimpinnya di semua peringkat.
Pemimpin PAS perlu bergerak seiring dengan slogan [ PAS For All ] dan keperluan rakyat yang memerlukan pemimpin yang berwibawa serta mampu membimbing mereka keluar dari belenggu pemerintahan UMNO dan BN yang korup .

Tentunya pemimpin yang berupaya turun padang , menyantuni masyarakat dan menjuarai isu rakyat sangat diperlukan. Jangan hanya mengharapkan Presiden atau pimpinan tertinggi untuk berbuat demikian tetapi selain mereka , seluruh saf pimpinan disemua peringkat seperti pimpinan dewan - dewan diperingkat pusat , negeri dan kawasan , pimpinan diperingkat perhubungan negeri , kawasan , DUN dan cawangan juga dikehendaki pro aktif dan kreatif dalam membawa risalah perjuangan ini .

Perubahan Luar

  "nak jatuhkan UMNO jangan ikut cara hidup UMNO "

7. Sementara perubahan luaran pula melibatkan penampilan , pendekatan dan gerakkerja parti. Saya percaya setiap peringkat parti telah mempunyai plan tindakan strategik mereka masing - masing . Cuma apa yang saya nak tekankan di sini ialah budaya kerja dan sikap kita mendepani sasaran dakwah atau pengundi .

8. Kesediaan menggantikan UMNO adalah satu langkah yang sangat ditunggu - tunggu oleh masyarakat yang telah kehilangan daya sabar untuk terus bertahan di bawah kepimpinan UMNO dan BN . Namun begitu , PAS mesti insaf dan sedar bahawa , PAS sekali - kali tidak boleh mengamalkan cara hidup UMNO jika mahu menjatuhkan UMNO . Jika cara hidup UMNO selama inilah yang membuatkan rakyat menolak mereka , maka bagaimana kita pula boleh mengamalkan cara hidup UMNO dalam kehidupan kita .

9. PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang kaya dengan akhlak dan disiplin .peribadi dan jamaahnya.  Pertahankan kemuliaan tersebut tanpa perlu bersikap apologatik berdepan dengan perubahan iklim sosial hari ini .

10.  Insyaallah, 2011 adalah Masa Untuk Berubah . Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan roadshow ke seluruh negara untuk memberi penjelasan dan penegasan betapa PAS telah sedia menggantikan UMNO dan 2011 yang dijangka akan berlangsungnya pilihanraya umum adalah masa yang tepat untuk melakukan perubahan .  Roadshow ini akan disempurnakan dalam tempoh 3 bulan ini [ Dec - Jan - Feb ] Ayuh , kita tinggalkan UMNO untuk kesejahteraan negara dan seluruh rakyatnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Nasrudin bin Hassan at Tantawi


No comments: