Tuesday, July 20, 2010

Pakar IT ditahan ISA


Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menahan seorang lagi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kononnya demi memerangi keganasan Jemaah Islamiah (JI) dalam negara.
 
Mohammad Fadzlullah Abdul Razak, 28, ditahan di Sungai Buluh, Selangor pada Khamis lalu sekitar jam 11 malam oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.

"Polis cakap dia ditahan kerana keganasan antarabangsa," ujar Hasnol Hadi Abdul Razak, 25, ketika ditemui pagi tadi, di sini.

Menurut beliau, pihak terbabit kemudiannya menggeledah rumah bapanya ala-ala samseng tanpa waran.

Dalam penggeledahan tersebut, katanya, mereka merampas dua komputer riba, topeng, tali, kompas serta sebilah pisau, sehingga menakutkan beliau sekeluarga.

Mereka turut menuduh abangnya masih bergiat dalam aktiviti keganasan di Thailand sejak beberapa hari lalu.

Sedangkan, katanya lagi, abangnya yang juga graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu sudah setahun bekerja  dan hidup aman damai bersama-sama beliau sekeluarga, di sini.

"Dia bukan baru sehari dua balik sini (Malaysia), sudah setahun dia bekerja di sini, tapi polis kata dia baru sehari dua balik ke Malaysia selepas berjihad," katanya yang juga juruteknik IT sebuah firma di Shah Alam.

Tidak cukup dengan itu, ujarnya, mereka turut mengugut bapanya sehari selepas abangnya ditahan tanpa bicara.

"Ada (kecam), dia telefon bapa saya dan ugut, saya boleh ditahan 5 tahun kerana saya tanya tentang abang saya," beliau menambah.

Menurut beberapa sumber, Mohammad Fadzlullah dipercayai ditahan menurut Seksyen 73(1) ISA untuk disoal siasat selama 60 hari.

Pun begitu, kebiasaannya, mereka yang ditahan tanpa bicara melewati tempoh masa tersebut, bergantung pada keputusan Najib dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan keluarga mangsa telahpun membuat aduan kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sabtu lalu.

Dilaporkan, Suaram telahpun bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman secara percuma.
"Suaram akan bantu, minta dia boleh diwakili peguam, keluarkan abang dulu," jelasnya.

Sumber : S.A.T.F

No comments: