Tuesday, June 22, 2010

Pencuri Kain Kafan



Diriwayatkan ada seorang lelaki yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginannya untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Dia berkata: "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku melihat tujuh perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat berkenaan. Lantaran aku berasa insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat".
 "Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kearah kiblat. Tetapi apabila aku menggali semula kuburnya pada malam hari, aku lihat wajahnya memaling dari arah kiblat. Mengapa terjadi demikian hai tuan guru?" tanya pemuda itu.

Lantas ahli ibadah itu menjawab: "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang mensyirikkan Allah SWT sewaktu hidupnya. Lantaran Allah SWT menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka daripada menghadap kiblat, bagi membezakan mereka dari golongan muslim yang lain."

Sambung pemuda itu lagi: "Golongan kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok ketika dimasukkan ke liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, aku lihat wajah mereka bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah itu: " Mereka itulah yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat adalah amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat maka sempurnalah segala amalan kita yang lain."

Pemuda itu menyambung lagi: " Golongan ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa saja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak dari perutnya itu.

"Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda." balas ahli ibadah itu lagi.
"Golongan keempat, kulihat mayat yang bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu hai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah itu: " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada ibubapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak redha kepada anak yang derhaka kepada ibubapanya."
"Bagaimana pula golongan yang kelima? Aku lihat ada pula mayat yang kukunya panjang hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya."

"Mereka adalah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Ketika hidup, mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari bukanlah termasuk dari kalangan umat baginda." jelas ahli ibadah itu.

Berkata lagi pemuda itu: "Golongan keenam yang aku lihat, sewaktu siang lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali kubur itu, aku lihat mayat itu terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang sangat busuk baunya."

"Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya." jawab ahli ibadah tadi dengan ringkas.

Akhir sekali, pemuda itu bertanya mengenai golongan yang terakhir yang dilihatnya: " Wahai guru, golongan terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah: " Mereka ialah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan disisi Allah SWT baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah SWT kita datang dan kepada Allah jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah sekalipun.

RENUNG-RENUNGKANLAH DAN JADIKANLAH PEDOMAN WAHAI SAHABAT....

'DAN BERILAH PERINGATAN, SESUNGGUHNYA PERINGATAN ITU AMATLAH BERGUNA KEPADA KAUM MUKMININ'

No comments: