Sunday, December 15, 2019

"Pilihan Raya PBT: Agenda Dap 'Tawan, Takluk, Jajah ' Negara"





Tuntutan DAP yang berulang kali mendesak supaya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) kembali diadakan menunjukkan kedegilan parti itu enggan akur dengan hakikat dan keterangan pernah dibahaskan. Malah, DAP tidak pernah berlunak, sebaliknya semakin mengeraskan sikap angkuh di tahap melampau apabila turut menuntut milikan tanah 999 tahun di Perak.
-------
Namun, keputusan PRK tersebut jelas menunjukkan penolakan majoriti penduduk termasuk kaum Cina terhadap PH yang tempiasnya juga sebagai memberi isyarat khusus bernada 'amaran' kepada DAP. Namun, DAP tidak pernah belajar untuk mengharmonikan tindakannya dengan realiti rakyat dan negara.

Pilihan Raya PBT adalah sandaran DAP untuk 'menawan, menakluk dan menjajah' kedudukan penting dan strategik bandar-bandar di seluruh negara secara sistematik. Posisi tersebut memiliki segala aset ekonomi, kewangan dan pentadbiran, serta pengaruhnya kepada pelbagai cabang. DAP akan bermaharajalela untuk melaksanakan tindakan yang menguntungkannya.
-------
Oleh itu negara ini harus gusar, kerana tindakan dibuat DAP adalah langkah ke arah 'memperhambakan' rakyat. DAP hanya sedia memiliki rakan kongsi dengan mereka yang sanggup tunduk patuh pada segala agendanya, itupun secara 'diperalatkan'. Maka, membenarkan tuntutan DAP bererti membuka jalan menghancurkan kedaulatan bumi tercinta Malaysia ini.

"Islam Memimpin Perpaduan"
"Demi Islam"

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

#PemudaPAS
#DemiIslam
#IslamMemimpinPerpaduan
#UntukMuMalaysia
#MuafakatNasional

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3212234682127045&id=479387615411779



Sunday, November 24, 2019

DOKTOR bantah larangan minum arak secara terbuka hanya memalukan profesion




Oleh: Ahmad Fadhli Shaari

SAYA membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysian Medical Association (MMA) dan Federation of Private Medical Practitioners’ Associations Malaysia (FPMPAM) yang menyelar kenyataan saya di Dewan Rakyat minggu lepas berhubung larangan meminum arak secara terbuka. Kenyataan kedua-dua persatuan ini boleh diakses di pautan: https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/11/20/doctors-groups-against-alcohol-ban/

Untuk rekod, semasa saya mengambil bahagian di dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan pada 12 November 2019, saya telah melontarkan cadangan kepada pihak kerajaan agar menggubal undang-undang bagi menghalang sebarang aktiviti meminum arak di khalayak ramai. Ia susulan kenyataan salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak berhak menggubal undang-undang larangan tersebut memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Saya menyatakan bahawa peminum arak sebenarnya bukan sahaja memudaratkan diri mereka bahkan berpotensi untuk memudaratkan orang lain. Tidak perlu untuk saya datangkan fakta secara terperinci betapa bahayanya minuman beralkohol ini kerana saya tahu semestinya seorang pengamal perubatan lebih arif tentang hal ini.

Tidaklah perlu dihuraikan lagi bagaimana minuman ini beralkohol mengandungi bahan Etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat seterusnya mendatangkan kesan fizikal dan mental peminumnya. Ia juga adalah dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari. Sebaik sahaja diminum, alkohol akan diserap ke dalam aliran darah melalui permukaan perut dan usus. Sebahagian kecil akan terus pergi ke otak dan paru-paru, dan dikumuhkan melalui pernafasan. Manakala sebahagian besar alkohol akan dimetabolisma oleh hati dan dikumuhkan oleh ginjal melalui air kencing. Kesan alkohol kepada peminumnya bergantung kepada jumlah alkohol yang berada dalam peredaran darah seseorang itu. Peminum yang mengambil minuman beralkohol dalam jumlah yang banyak akan mabuk.

Apabila mabuk, seseorang itu akan hilang koordinasi gerak tubuh dan juga gangguan kepada pertimbangan dan kewarasan fikiran. Mereka boleh terjatuh, mengalami kemalangan, bergaduh, tercedera dan memory blackout yang mana merupakan komplikasi atau kesan kemudaratan jangka pendek berkaitan pengambilan minuman beralkohol. Kesan lain akibat mabuk adalah apa yang dikenal sebagai hangover. Saya fikir fakta ini merupakan adalah fakta asas yang sudah tentu dihadam oleh seorang pengamal perubatan.

Perlukah untuk saya ingatkan kembali bagaimana Jun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk. Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat. Minggu lepas pula, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.

Alangkah memalukan profesion kedoktoran apabila pihak yang membantah cadangan ini ialah daripada pengamal perubatan sendiri. Saya jangkakan bantahan akan datang daripada Persatuan Penjual-penjual Arak misalnya, atau daripada pemegang-pemegang taruh di dalam perniagaan ini, namun sayangnya ia datang daripada seorang bergelar doktor! Alangkah kenyataan ini benar-benar memalukan ramai lagi doktor yang ikhlas membantu masyarakat.

Saya kira doktor seperti ini setaraf dengan pawang kampung yang melepaskan hantu peliharaannya untuk mengacau penduduk kampung dan seterusnya datang berubat dan dia berpeluang membuat untung.

*AHMAD FADHLI SHAARI ialah Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Tahukah anda? Tunku Azizah wanita pertama dimasyhur Canselor UIAM


KUALA LUMPUR, 25 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak dapat menahan sebak, tatkala dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kedua.

Perasaan itu terzahir ketika Tunku Azizah bertitah, selepas dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pemasyhuran Raja Permaisuri Agong sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM, hari ini.

Tunku Azizah menjelaskan diri baginda sangat dekat dengan UIAM, sejak Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, yang pertama memegang jawatan itu sejak penubuhan universiti itu pada 1983.

"Beta amat tersentuh dan bersyukur untuk meneruskan legasi Almarhum Paduka Ayahanda, yang sebagaimana anda semua tahu adalah Ketua Perlembagaan UIAM selama 35 tahun.

"UIAM amat dekat dengan hati beta, sejak Almarhum Paduka Ayahanda memegang jawatan itu, beta telah mengikuti dengan dekat perkembangan dan kemajuan universiti unik dan istimewa ini – Taman Ilmu dan Akhlak," titah baginda.

Tunku Azizah yang kelihatan terharu turut meminta hadirin membacakan Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Ahmad Shah, menjadikan Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM hening seketika.

Momen indah yang bersejarah itu turut disaksikan anakanda pasangan diraja iaitu Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Raja Puteri Iman Afzan and Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Pemashyuran bersejarah itu menjadikan Tunku Azizah sebagai wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam struktur organisasi pentadbiran UIAM.

Sebelum ini, jawatan tertinggi pernah dipegang wanita dalam pentadbiran UIAM adalah sebagai Rektor, yang disandang oleh Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin pada 2011.

Prof Zaleha, yang juga Rektor kelima, mengambil alih jawatan berkenaan menggantikan Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid yang tamat perkhidmatan pada tahun sama.

Pada istiadat pemasyhuran itu, Tunku Azizah menyarung jubah diperbuat dari kain tenun Pahang Diraja, yang direka khas dengan corak dilakar oleh baginda sendiri

Berwarna ungu, material tenunan jubah yang dihasilkan sendiri oleh penghuni Penjara Penor, Pahang itu turut mendapat sentuhan magis jahitan pereka fesyen kegemaran Tunku Azizah iaitu Datuk Rizalman Ibrahim.

Tunku Azizah, 59, berkenan menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan UIAM daripada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Istana Negara pada Jun lepas.

Tunku Azizah dilantik memegang jawatan itu tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April 2019. -Bernama




Thursday, November 21, 2019

Kerajaan Johor bersetuju menurunkan harga hartanah buat warga asing





Kerajaan negeri bersetuju menurunkan harga minimum perolehan hartanah buat warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 sebagai langkah efisien bagi mengurangkan lambakan hartanah di negeri ini.


Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, penurunan harga siling penjualan itu bagaimanapun akan dijalankan menerusi dua insentif bersifat kempen yang akan dilaksanakan bagi tempoh-tempoh tertentu.

"Insentif ini hanya ditawarkan kepada projek hartanah jenis bertingkat sahaja iaitu pangsapuri, kondominium, pangsapuri perkhidmatan dan Small Office Home Office (SOHO).


"Projek ini mestilah mematuhi prasyarat yang ditetapkan iaitu Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) sudah dikeluarkan melebihi tempoh sembilan bulan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata, permohonan bagi pembelian aset itu boleh dikemukakan bermula daripada 1 hingga 31 Januari 2020 dengan mengemukakan dokumen senarai semak yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor.

Beliau yang juga ADUN Bukit Kepong berkata, insentif kedua pula adalah pelepasan hartanah lot Bumiputera kepada pembangunan jenis kediaman berharga RM700,000 ke atas.

Katanya, kadar permohonan pelepasan kali pertama dinaikkan daripada 30 peratus kepada 60 peratus manakala kadar permohonan pelepasan kali kedua dinaikkan kepada 30 peratus kepada semua baki unit masih ada.

"Kerajaan negeri juga memanjangkan tempoh pembayaran caj gantian pelepasan lot bumiputera daripada 90 hari kepada 120 hari daripada tarikh surat pemberitahuan dikeluarkan," katanya.

Katanya, kedua-dua insentif berkenaan akan berlangsung dalam tempoh setahun bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2020.


Sumber:  https://www.sinarharian.com.my/article/58400/EDISI/Johor/Johor-turun-harga-hartanah-kepada-warga-asing?fbclid=IwAR1V6N_gJz_WfRz9rfvrgFSQQ2bjx7wnuzfIt-qXOQpJrgaeQcY6EA8xjTI

Tuesday, November 19, 2019

Warga Global bersolidariti buat jurugambar Palestin kehilangan mata ditembak Yahudi





Kempen atas talian menggunakan hastag ‘MuathEye’, ‘EyeofTruth’ dan ‘MuathAmarneh’ dilancarkan menjadi trend di media sosial disusuli dengan video serta gambar Amarneh dibawa ketika pendarahan di mata kirinya sejurus selepas ditembak.




Seorang wartawan jurugambar bebas Palestin yang ditembak di mata oleh tentera Israel ketika membuat liputan demonstrasi di Tebing Barat menarik perhatian antarabangsa apabila wartawan dari seluruh dunia menyatakan solidariti dengan memakai penutup mata atau menutup sebelah mata mereka.

Muath Amarneh, 35, sedang dirawat di Pusat Perubatan Hadassah di Baitulmuqaddis sejak ditembak di sebelah mata kiri menggunakan peluru hidup Jumaat lepas oleh tentera Israel yang cuba meleraikan penunjuk perasaan Palestin di Kampung Surif di Wilayah Selatan Tebing Barat.









Monday, September 16, 2019

MYSPR DAFTAR: PENDAFTARAN PEMILIH ONLINE






Pelancaran Sistem MySPR Daftar telah disempurnakan oleh YB . Datuk Liew Vui Keong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Layari laman web MySPR Daftar di https://mysprdaftar.spr.gov.my
Panduan Pendaftaran- rujuk link sebagai panduan pengguna baru

Liew Chin Tong Tidak Sengaja Dedah Strategi Dasar Bumi Hangus DAP?







Menarik membaca artikel yang ditulis oleh pakar strategi DAP Liew Chin Tong bertajuk ‘Dasar bumi hangus gabungan UMNO-Pas, MCA-MIC’.

Tulisan Chin Tong yang kini Timbalan Menteri di Kementerian Pertahanan iaitu kementerian penting di negara ini itu boleh dibaca dalam portal berita FMT dipautan

https://www.freemalaysiatoday.com/…/dasar-bumi-hangus-gabu…/

Dalam artikel itu, Chin Tong berkata, UMNO dan Pas telah menyerang Pakatan Harapan (PH) dari sayap Melayu, manakala MCA dan MIC menyerang dari sayap bukan Melayu.

“Serangan dalam konteks etnik ini membuktikan ‘dasar bumi hangus’ sedang giat digunakan. Bumi hangus ialah dasar merujuk kepada strategi menghapuskan semuanya untuk menang dalam apa jua keadaan.

“Perbuatan kejam seperti ini sudah tentu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung berat keperitan tersebut.

“Sasaran mereka adalah untuk memastikan Malaysia sukar ditadbir oleh Pakatan Harapan kerana kerajaan yang dipilih oleh rakyat terpaksa berhadapan dengan serangan kemarahan etnik daripada kedua-dua pihak, iaitu orang Melayu dan bukan-Melayu.

“Permintaan serangan sayap ini adalah untuk membuatkan orang Melayu dan bukan-Melayu berasa lemah dan serba kekurangan. Semuanya akan dibentangkan sebagai permasalahan etnik binary.

“Selain itu, serangan ini bertujuan untuk memecahkan gabungan pelbagai etnik PH dari dalam kerana sukar bagi golongan politik beraliran sederhana untuk bertahan akibat tuntutan yang bercanggah daripada kedua-dua pihak,” kata Chin Tong dalam artikel tersebut.

Inilah pertama kali rakyat Malaysia didedahkan tentang dasar ‘bumi hangus’. Satu dasar atau teknik yang amat asing dalam pemahaman rakyat biasa. Satu dasar yang tidak dapat difikirkan oleh sesiapa pun kecuali oleh pakar strategi propaganda politik.

Bila difikir-fikirkan semula bagaimana strategi yang dilakukan Pakatan Rakyat iaitu gabungan DAP-PKR -Pas dan selepas itu Pakatan Harapan gabungan DAP-PKR-Amanah-Bersatu untuk mempengaruhi rakyat membenci BN, menunjukkan seolah-olah dasar bumi hangus ini telahpun bermula jauh sebelum perkahwinan UMNO-Pas dan MIC-MCA hari ini.

Adakah dasar bumi hangus yang disebutkan Chin Tong ini telah dilaksanakan sejak PRU-12 dengan DAP menumpukan serangan terhadap bukan Melayu iaitu Cina dan India dan PKR-Pas pula menumpukan sasaran terhadap masyarakat Melayu dengan menyebarkan propaganda membenci kepimpinan BN.

Serangan demi serangan dilakukan dengan memberi DAP memberi fokus kepada pengundi bukan Melayu dan PKR-Pas memberi fokus kepada Melayu, hingga pada PRU-13 kita dapat menyaksikan bagaimana hampir 90 peratus masyarakat Cina mengundi secara blok, untuk memenangkan DAP, sekaligus menyaksikan kekalahan parti MCA dan Gerakan di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina.

Pada pilihan raya itu PKR-Pas gagal mempengaruhi orang Melayu secara besar-besaran untuk menyebelahi Pakatan Rakyat.

Namun pada PRU-14 DAP-PKR memperoleh sinergi baharu dengan penyertaan Amanah dan Bersatu yang membentuk Pakatan Harapan.

Adalah jelas dapat daripada video yang bertebaran di media sosial sebelum PRU-14 ahli propaganda DAP seperti Superman Hew Kuan Yau dan beberapa lagi pemimpin mereka memberi focus ceramah dalam bahasa Cina kepada pengundi Cina.

Sementara pemimpin-pemimpin bangsa Melayu dalam PKR-Amanah-Bersatu menumpukan pengaruh terhadap orang Melayu-Islam.

Startegi yang menyerupai dasar bumi hangus yang dikatakan Chin Tong ini mengakibatkan BN kalah buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Lebih memedihkan parti komponen yang majoriti ahlinya masyarakat Cina iaitu MCA dan Gerakan tewas teruk ditangan DAP! Kerusi mereka habis disapu DAP di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina!

Jika difikir-fikir dan dikenang semula strategi yang dilakukan DAP-PKR-Amanah-Bersatu dalam serangan mereka terhadap BN sama seperti teori yang dilemparkan oleh Liew Ching Tong dalam tulisannya di FMT itu.

ADAKAH LIEW CHIN TONG SECARA TIDAK SENGAJA MENDEDAHKAN STRATEGI ‘DASAR BUMI HANGUS’ TELAH DIGUNAKAN DAP UNTUK MENEWASKAN BN? Hanya Chin Tong yang merupakan pakar strategi DAP boleh menjawabnya…

SAMAD HUSSEIN
.
sumber;
https://mindarakyat.blogspot.com/2019/03/liew-chin-tong-tidak-sengaja-dedah.html

HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH


“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN BERSAMA MUAFAKAT NASIONAL”





Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) telah menempa sejarah baharu sekali gus mengingatkan semula sejarah kejayaan Islam sekitar abad ke-15.

“Sejarah Islam meninggalkan kesan kepada lahirnya lebih tiga ratus juta rumpun Melayu sehingga kini. Namun telah dipecahkan oleh penjajah menjadi beberapa negara, termasuk Malaysia, sehingga berpecah lagi dalam satu negara dan bangsa sendiri.
“Kini kita ingin mencipta sejarah baru untuk generasi yang akan datang, dengan kembali semula kepada penyatuan umat dan bangsa, mengikut acuan petunjuk Allah bagi mencapai kejayaan itu”
-Presiden PAS-

Tuesday, January 8, 2019




RULE OF LAW: DI MANA ALLAH?



Ramai kalangan yang menulis dan bercakap berkenaan kedaulatan undang-undang (Rule of Law), khusus di kalangan umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Namun mereka telah melupakan peranan akidah tauhid dalam pelaksanaan undang-undang dan kedaulatannya.

Sepatutnya wajib diletakkannya dalam Tauhid ‘Uluhiyyah dan Rububiyyah yang dihayati secara tersirat dalam 20 sifat yang wajib bagi Allah, bukan hanya dibaca secara tersurat sehingga tenggelam dalam perbahasan khilafiyyah di antara Salafi yang paling taasub (Wahabi) dan Khalafi yang sebahagian juga bertaasub (‘Asya’irah dan Maturidiyyah), tanpa membaca sejarah gerakan Islah dan Tajdid yang memahami pelaksanaan Islam sepanjang zaman yang berubah, tanpa meninggalkan prinsip akidah dan syariat yang tidak berubah. Generasi awal bersatu dalam perkara dasar dan tidak berkelahi dalam perkara cabang yang berbeza.

Sikap melupakan kehebatan syariat Islam yang maha adil daripada sifat Ilmu dan Kalam Allah telah menyebabkan ramai diperbodohkan menerusi peristiwa pembunuhan kejam terhadap wartawan Almarhum As-Syahid Jamal Khashoggi, oleh kalangan yang kononnya mendukung Mazhab Salafi (Wahabi) sehingga taasub membuta tuli dan menjadi pengikut Salafi paling ulung yang bertukar menjadi buta dan tuli, sehingga mencemarkan imej Islam yang datang daripada Allah Yang Maha Adil.
Rasulullah S.A.W. menjadi teladan terbaik, ditegaskan benarnya melalui perisytiharan Allah S.W.T.:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (21)
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzaab: 21)

Rasulullah S.A.W. meletakkan dirinya berada di bawah kedaulatan undang-undang, disebut dalam peristiwa yang bersanad sahih lagi mutawatir (jumlah yang ramai dari kalangan yang berilmu, bersifat adil dan kuat ingatannya), bukannya seperti kisah Hang Tuah dan Hang Jebat yang tidak bersanad langsung, yang dikatakan taat setia melulu dan beraninya melulu tanpa akal. Jangan sesekali mengambil contoh Barat yang Kafir yang sebaik-baiknya tetap ke neraka juga, kerana budimannya tidak beriman khususnya kepada Allah dan Hari Akhirat.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. menyampaikan sabdanya:
“Sesungguhnya binasalah umat pada zaman dahulu kerana hanya menghukum orang yang lemah, membebaskan orang yang kuat. Demi Allah sekiranya puteri kesayanganku Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya aku hukum potong tangannya”. (Muttafaqun ‘Alaih)
Seterusnya di saat Baginda S.A.W. dipapah datang ke masjid beberapa hari sebelum wafatnya dan menyampaikan ucapan:
“Sekiranya ada dari kalangan kamu, yang aku zalimi maruahnya sila nyatakan. Ini maruahku sila balas, sekiranya ada hartanya yang aku zalimi sila nyatakan, kerana aku mahu menggantinya …”.

Perkara ini dicontohi oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan raja-raja Islam yang adil selepasnya dan dilaksanakan berkonsepkan mengabdikan diri kepada Allah, dengan bijak tanpa menyentuh ketenteraman rakyat yang diutamakan, bukannya bodoh tanpa peduli keutamaan ketenteraman rakyat.

Pelaksanaannya mengikut proses kehakiman yang adil dan beriman, menepati prinsip Siyasah Syariah dan Maqasid Syariah yang sebenarnya, bukan sekadar ucapan sahaja laksana burung kakak tua yang bercakap tanpa akal yang matang dan ilmu yang mendalam.

Pelaksanaan Islam sangat ditakuti oleh musuhnya. Kalau yang memimpin itu Islam, kerana adilnya akan menjadi dakwah amali yang menarik manusia kepada Islam sehingga berduyun-duyun.

Islam menerokai jalan sutera dan mengharungi lautan sehingga ke Nusantara. Semua bumi yang dipijak oleh para pemimpin bersama Islam yang memerintah, diterima rakyat kerana keadilan, akhlak yang mulia dan kebijaksanaannya menaungi rakyat, bukan menjajah dan memaksa rakyat.

Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sehingga kini. Walaupun kuasa politiknya dijatuhkan, namun kesannya masih ditanam ke dalam hati sanubari sejahil-jahil umat Islam.

Lihatlah betapa minoriti bukan Islam hidup aman damai di tengah masyarakat majoriti besar umat Islam seperti di Malaysia dan lain-lain, diterima menjadi rakyat walaupun berbeza agama, bangsa dan warna kulitnya. Bandingkan nasib minoriti umat Islam di tengah masyarakat bukan Islam di mana sahaja, walaupun satu bangsa dan satu bahasanya.

Sehingga kini Islam sudah ada model dalam sejarahnya, namun dihalang bangkit kembali semula di mana sahaja. Semua ideologi dan teori lain belum nyata modelnya yang berpijak di bumi nyata, kerana tetap menemui kegagalan dalam mendapatkan kuasa yang kuat.

Kami tidak berhajat kepada pengajaran sejarah lain yang jauh daripada petunjuk Allah bernama Islam ini, sama ada sebelum Masihi atau selepas Masihi, termasuk negara yang dikatakan bertamadun yang dilihat bangunannya sahaja tanpa melihat berapa ramai rakyat dikorbankan di bawah bangunan istana dan kota yang didirikan. Begitu juga tokoh sejarah yang separuh matang dan mentah di jalanan yang melaporkan para pemimpin dan segala tokohnya yang dipuja seperti Tuhan, walaupun ditutup kezaliman, namun terbocor juga bersama lambang kezalimannya.

Kami mempunyai sejarah para anbia’ dan aulia’ yang dilaporkan oleh Al-Quran yang kami yakin akan kebenarannya. Laporan berdasarkan ilmu dan akal yang bijaksana serta berpandukan hidayah yang dinyatakan secara ilmu yang benar, adil dan bijak.

Namun sejarah ini dihapuskan segala monumen kota, istana dan bangunannya. Maka tiada peninggalan monumen sedikit pun di atas muka bumi dan dunia yang diperintahnya. Tiada istana Kota Nabi Daud A.S, Nabi Sulaiman A.S dan Raja Zulkarnain yang menakluk dunia.
Apa yang ada adalah monumen kerajaan yang zalim, matinya tanpa bertaubat. Ditinggalkan monumennya untuk dilihat oleh para pelancong, seperti Taman Bergantung Raja Namrud yang menegakkan Kerajaan Babylon, Piramid Firaun, kota-kota dan stadium peninggalan Rom Greek, Tembok Besar China, patung-patung di India dan seumpamanya.
Firman Allah :
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ (134)
“Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; Dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan”. (Surah Al-Baqarah: 134)

Elemen-elemen salah laku yang diulangi sebutannya hanya untuk menjadi alasan, seperti mengadu kesakitan yang berulang kali tanpa mencari ubat yang mujarab (berjaya dicuba).

Sepatutnya bukan sekadar membalas dendam sahaja, tetapi ditegakkan prinsip dan konsep 'Rule of Law' dahulu dengan peristiwa baru yang menjadi elemen diperkenalkan konsep kedaulatan undang-undang supaya meneladani tindakan Rasulullah S.A.W. yang tidak menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bertaubat pada masa Fathu Makkah. Walaupun jenayahnya membunuh bapa saudara kesayangannya, Hamzah bin Abdul Muttalib dan berpuluh lagi daripada keluarganya yang berjuang Islam serta para sahabat kesayangannya R.A. yang lebih ramai dan lebih dahsyat daripada peristiwa Memali dan lain-lain.

Masih kecil untuk dibandingkan apa yang dialami oleh para pemimpin dan ahli-ahli PAS yang terdahulu, yang beristiqamah dan sangat setia kepada perjuangan sehingga akhir hayat, mati dalam keadaan tidak meninggalkan perjuangan atau melompat ke arah pokok yang kelihatan lebat buahnya. Bukan juga yang lari menjadi semut yang diam di dalam gula atau tikus yang kelu bersembunyi dalam timbunan padi dan beras, yang bersuara sekali sekala dalam kekenyangan, bukannya perjuangan.

Kemenangan Islam berbeza dengan kemenangan Revolusi Perancis yang menjadi kebanggaan golongan Liberal dan berbeza dengan kemenangan Revolusi Komunis Soviet dan China yang menjadi kemenangan golongan Sosialis.

Kemenangan Islam itu menegaskan akan janji benar daripada Allah kepada Rasul-Nya dan janji Rasul kepada umatnya. Janji benar yang menjadi sifat wajib bagi Rasulullah S.A.W. yang ditegaskan oleh firman Allah yang benar-benar berlaku:
وَلَقَدْ سَبَقَتْ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا الْمُرْسَلِينَ (171) إِنَّهُمْ لَهُمُ الْمَنصُورُونَ (172) وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ الْغَالِبُونَ (173)
“Dan demi sesungguhnya telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. (171); Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. (172); Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran”. (173) (Surah As-Shoffaat: 171-173)
Firman Allah:
لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا (27) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا (28)
“Demi sesungguhnya Allah tetap menyatakan benar Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; Iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram Insya-Allah (pada masa yang ditentukan-Nya) dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu; dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar semula dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Dia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya). (27); (Allah yang menyatakan itu) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad S.A.W.) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; Dan cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu)”. (28) (Surah Al-Fath: 27-28)

Al-Quran adalah petunjuk mukjizat yang diimani oleh penganut Islam yang beriman dan budiman di sepanjang zaman. Maka yang layak mewarisinya, hanya parti yang menganut dan memperkasakan bangsanya bersama Islam. Bukan untuk parti yang tidak berbangsa atau tidak berjiwa bangsa serta tidak berakidah dan berakhlak Islam. Termasuk mereka yang tidak berwala’ kepada Allah dan Rasul, serta orang-orang yang beriman bagi mengejar kemenangan. Maka Allah mengarahkan Rasulullah S.A.W. supaya mengajak bangsanya bersama Islam dahulu menjadi akidah perjuangan, bukannya mencari rakan yang tidak beriman dan budiman.
Firman Allah:
وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (215) فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ (216) وَتَوَكَّلْ عَلَى الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (217)
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. (214); Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (215); Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepada-Mu, maka katakanlah: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan". (216); Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, Lagi Maha Mengasihani. (217). (Surah As-Syua’ra’: 215-217)

Kalau yang memimpin itu Islam, jika zalimnya sekurang-kurangnya menjadi gembala lembu. Tetapi kalau yang memimpin itu bukan Islam walaupun paling baiknya, boleh menjadi pekerja apa sahaja tanpa batas halal dan haramnya yang berakhir dengan neraka juga.

Maka 'Rule of Law' berpandukan petunjuk Allah sahaja yang menjadi penyelamat negara dan semua bangsa, berslogankan Islam itu adil untuk semua kerana datangnya daripada Allah Pencipta Alam Semesta, di samping kesempurnaan sifatnya dan sistem kehakimannya yang berpaksikan akidah yang menjadi rohnya yang tidak selengkap undang-undang ciptaan manusia.
Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil (dengan hukum Allah). Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (Surah An-Nisa’: 58)


“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Jamadil Awal 1440H / 8 Januari 2019M