Bersih hanya mahu pilihan raya yang bebas, adil dan bersih. Untuk mencapai matlamat ini Bersih menganjurkan perhimpunan aman Bersih 2.0 serta mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu ini.Perhimpunan aman Bersih 2.0 perlu diadakan kerana menyedari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan sahaja tidak mahu membuat apa-apa perubahan serius, malah badan yang sepatutnya bebas dari cengkaman kerajaan Barisan Nasional telah bersikap berat sebelah sejak sekian lama.
Usaha penganjur Bersih 2.0 oleh sekumpulan rakyat prihatin yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik telah ditohmah, ditekan, ditindas dan dikongkong dengan zalim oleh pihak berkuasa yang menurut arahan pucuk pimpinan UMNO-BN.
Tekanan yang keras dan menimbulkan keresahan itu menyebabkan Yang di-Pertuan Agong terpaksa campur tangan untuk meredakan keadaan. Kedua-dua pihak kerajaan dan penganjur Bersih 2.0 akur dengan titah Seri Paduka untuk berunding dan menyelesaikan perbezaan pendapat secara bermaruah dan bertamadun.
Malah Bersih 2.0 bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengubah tempat di jalanan ibu kota kepada perhimpunan aman di sebuah stadium, dan dicadangkan Stadium Merdeka sebagai tempat berkumpul secara aman dan damai.
Semua ini dilakukan sebagai tanda kasih sayang dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Sayangnya, titah Seri Paduka kepada kerajaan UMNO-BN dan pihak polis hanya seperti mencurah air ke daun keladi. Seolah-olah titah Baginda hanya untuk Bersih 2.0 tetapi tidak perlu dipatuhi oleh UMNO-BN serta menteri-menteri pusat dan pihak polis.
Dengan angkuh dan bongkaknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan bahawa: “Hanya kerana mereka (penganjur Bersih 2.0) menghadap Yang di-Pertuan Agong tidak bererti mereka bukan lagi pertubuhan/perhimpunan yang haram”.
Dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya semalam, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO menambah bahawa cadangan Najib supaya perhimpunan aman secara sah oleh Bersih 2.0 di stadium juga tidak bererti penganjur tidak perlu memohon permit.
Tidak cukup dengan itu, mengikut tafisrannya sendiri, oleh kerana tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang, maka Bersih perlu memohon permit untuk mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini.
Hishammuddin telah mengisytiharkan Bersih, perhimpunan aman Bersih 2.0 serta t-shirt kuning Bersih 2.0 sebagai haram.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar juga memberi amaran bahawa jika perhimpunan aman Bersih 2.0 di stadium diadakan tanpa permit, polis akan mengambil tindakan terhadap semua yang terlibat.
Tidak cukup dengan itu, beliau dilaporkan berkata bahawa jika permit diluluskan sekali pun, sesiapa yang memakai baju Bersih atau membawa apa-apa yang mempunyai logo Bersih, akan ditangkap.
Jelas bagi mereka yang berada di tampuk kuasa, titah Yang di-Pertuan Agong tidak penting sama sekali. Walau pun Seri Paduka tidak menggunakan perkataan “perhimpunan haram” dalam titah Baginda, ia tidak menjadi hal kepada pihak berkuasa untuk berbuat apa sahaja.
Mengulas sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan UMNO-BN itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata:
“Kita kesal dengan sikap keterlaluan Menteri Dalam Negeri yang menyimpang dari rundingan Yang di-Pertuan Agong, seolah-olah mengatakan ‘kami tidak peduli rundingan kamu dengan Agong’.”
Anwar yang juga Ketua Umum PKR menyatakan kerajaan UMNO-BN dan polis seperti melakukan sabotaj terhadap perkenan dan titah Seri Paduka, di samping melanggar janji Najib bagi membolehkan perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di stadium.
“Ia semangat rundingan Bersih dengan Yang di-Pertuan Agong, pindah dari perarakan awam ke stadium, disahkan oleh Perdana Menteri. Apa alasan dia nak batalkan lagi,” katanya.
Anwar menyatakan pendirian itu selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur semalam yang turut disertai oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Malah, Najib sendiri dalam masa beberapa hari sahaja sudah menunjukkan sikap negatif. Kabinet pimpinannya menolak perhimpunan aman di Stadium Negara manakala beliau sendiri tiba-tiba menyatakan tidak pernah berjanji untuk bertemu dengan wakil-wakil Bersih untuk berunding.
Lebih dari itu, Najib dalam satu majlis bersama pertubuhan silat di ibu kota malam tadi, telah mengisytiharkan bahawa para pesilat akan bangun menentang “musuh-musuh yang mahu menyerang negara dari dalam dan luar negara”.
Mungkin kini kerajaan UMNO-BN merasa bangga dan bongkak dengan kelicikan politik kotor mereka yang kononnya berjaya mempermainkan Bersih, malah sanggup menegtepikan titah Yang di-Pertuan Agong.
Rakyat khususnya orang Melayu dan Islam yang diajar sejak kecil lagi sudah arif tentang sifat-sifat keji sedemikian:
Apabila diberi amanah, dia pecah amanah
Apabila bercakap, dia bohong;
Apabila berjanji, dia mungkir janji; dan
Apabila berbalah, dia mahu menang walau dia bersalah.
Rakyat jelata kini menjadi saksi kepada apa yang sedang berlaku di depan mata sendiri. Inilah wajah, sikap dan aksi UMNO-BN yang sebenar, yang sanggup meminggirkan rakyat demi kuasa yang hanya sementara itu.
No comments:
Post a Comment