Thursday, February 24, 2011

Orang buta mencari cahaya

OBSESI DIRI

Seorang guru berkata kepada beberapa murid kanannya, “aku ingin melihat sejauhmana masyarakat percayakan aku.”


”Bagaimana caranya tuan guru?,” tanya anak-anak muridnya itu.


”Kau sebarkan berita yang aku telah berkata bahawa akan muncul seekor binatang besar di hujung kampung kita pada hujung minggu ini!”

Tanpa banyak soal, anak-anak murid tersebut pun ke luar ke seluruh pelusuk kampung menyebarkan berita yang mengatakan tok guru mereka meramalkan akan keluar binatang besar dari hujung kampung tersebut.


”Sebesar mana?” tanya orang kampung.


“10 kali ganda seekor gajah,” jawab salah seorang anak murid itu.


“Setinggi mana?”


“Setinggi bukit,” kata anak murid yang lain menambah-nambah.


“Matanya bersinar merah. Nafasnya berapi-api.”


Yang sejengkal jadi sehasta, yang sehasta menjadi sedepa. Dari mulut ke mulut berita tentang akan munculnya binatang besar itu menjadi tambah sensasi. Ada sahaja ‘edisi’ tambahan yang bukan sahaja datang daripada anak murid tok guru tetapi juga daripada orang kampung sendiri.

Hampir tiba hujung minggu yang dimaksudkan, seluruh penduduk kampung pun keluar beramai-ramai untuk menanti kemunculan binatang besar yang diramalkan. Masing-masing dengan persediaannya. Begitu meriah sekali. Mereka berarak ke hujung kampung beramai-ramai. Bersorak dan melonjak-lonjak, seakan berpesta.


“Tuan guru, mengapa tuan ikut serta dalam perarakan ini?” tanya seorang anak murid apabila melihat gurunya turut serta dalam perarakan orang kampung.


“Kenapa, tak boleh?”


“Eh, bukankkah tuan guru hanya mengada-ngadakan berita tentang kemunculan binatang besar ini?” balas anak muridnya seakan berbisik. Takut kedengaran pada orang lain.


“Ya, begitulah pada mulanya. Tetapi apabila ramai orang mula mepercayainya dan bersedia… terfikir pula olehku, manalah tahu berita ini benar-benar akan terjadi?” Murid-murid rapatnya kehairanan… Mereka benar-benar takjub, apakah berita tipu yang dicanangkan oleh tok guru itu turut menipu tok guru itu sendiri? Pelik!


Pengajaran:
Takjub pada diri sendiri menyebabkan ramai orang buta pada kebenaran. Sentiasa ada justifikasi yang datang dari dalam diri sendiri untuk mentafsirkan sesuatu mengikut apa yang diingini terjadi dengan menafikan realiti. Sudah hitam, masih dikatakan putih. Hanya kerana ego dan obsesi diri. Bukan berfikiran positif, tidak juga oleh kekuatan jiwa… cuma melampiaskan mimpi di persada ilusi.

No comments: