S |
etelah dua revolusi berjaya menundukkan keangkuhan diktator di Tunisia dan Mesir, sebuah lagi negara di utara benua Afrika bakal ditimpa runtuhan domino kebangkitan rakyat.
Kini rakyat Maghribi pula berarak menuntut perubahan dan pembaharuan. Beribu warga kota memenuhi jalan ke Hassan 2 Avenue, Rabat.
Para penunjuk perasaan melaung-laungkan slogan menuntut pemulihan ekonomi, reformasi pendidikan, perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Mereka membawa sepanduk mengutuk system pemerintahan autokrasi dan mengkritik perlembagaan yang bersifat memperhambakan rakyat.
Pihak yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan tersebut mengganggarkan penunjuk perasaan melebihi 50,000 orang manakala pihak polis hanya menyebut mereka kurang daripada 3,000 orang.
Bendera Tunisia dan Mesir dikibarkan di celah – celah sepanduk yang menuntut kerajaan Maghribi melaksanakan perubahan pentadbiran. Ini jelas menunjukkan rakyat Maghribi juga meminjam semangat yang telah ditiupkan dalam revolusi di Tunisia dan Mesir.
Pasukan polis yang berpakaian seragam dilaporkan menjauhkan diri daripada penunjuk perasaan. Namun menurut mereka yang menyertai demonstrasi tersebut, ada beberapa pihak polis yang berpakaian biasa menyelinap masuk ke dalam demonstrasi tersebut sambil berteriak mengkritik kerajaan.
Para peserta demonstrasi hanya memprotes dan melemparkan kritikan kepada perdana menteri, Abbas El Fassi tanpa menyerang institusi beraja di Maghribi.
Bagaimanapun mereka dilihat turut menuntut Raja Mohammed melepaskan sebahagian kuasanya kepada sebuah kerajaan baru yang dipilih rakyat dan menjadikan sistem kehakiman lebih bebas. Mereka juga menuntut Raja Mohammed supaya memecat kerajaan campuran dan membubarkan Parlimen.
“Ini adalah perhimpunan aman untuk mendesak reformasi perlembagaan, mengembalikan harga diri, dan menghentikan penyelewengan harta rakyat.” Kata Mustapha Muchtati, daripada organisasi Baraka yang membantu usaha bagi menjayakan perhimpunan itu.
Seorang mahasiswa berkata, dia mengharapkan Maghribi ditadbir dengan lebih adil dan kurang rasuah. “Kami tidak menentang kerajaan, cuma mahukan lebih keadilan dan peluang pekerjaan.” Katanya.
Bantahan itu dilancarkan oleh kumpulan yang dikenali sebagai “Gerakan Perubahan 20 Febuari” yang telah menarik 19,000 penyokong di laman facebook.
Internet telah menjadi media berkesan untuk menggerakkan revolusi di Tunisia dan Mesir telah menyekat talian internet semasa berlangsung rusuhan 18 hari. Namun, kemaraan rakyat sudah terlambat untuk dibendung. Selain Rabat, perhimpunan yang sama turut dirancang dibeberapa bandar penting seperti Marrakesh yang menjadi tumpuan destinasi pelancongan utama. Beribu – ribu penunjuk perasaan turut berhimpun di Casablanca.
Menteri Kewangan, Salaheddine Mezouar, menggesa rakyat Maghribi supaya memboikot demonstrasi itu sambil menyifatkan apa yang dilakukan oleh para penunjuk perasaan bakal merosakkan kerajaan yang telah dicapai oleh negara sepanjang 10 tahun.
Maghribi adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan palimen. Tetapi, perlembagaan tersebut memperuntukkan kuasa raja untuk mencampuri urusan kehakiman, mengeluarkan perintah darurat dan berkuasa memberikan kata putus termasuk terhadap perdana menteri.
Maghribi telah mengambil langkah segera semasa revolusi mula meledak di negara jirannya, Tunisia dan Algeria. Ini termasuklah pengumuman untuk mempertahankan subsidi pada barangan keperluan, seperti gula, minyak masak, dan gas hidrokarbon untuk mencegah kenaikan harga. Pemerintah Maghribi terpaksa mengambil ikhtibar daripada Tunisia dan Mesir agar tidak mengambil tindakan keras terhadap rakyat yang berdemonstrasi. Ini telah menyebabkan dua diktator kejam di Mesir dan Tunisia tersingkir.
No comments:
Post a Comment