Thursday, February 3, 2011

Malaysia adalah negara demokrasi

Mengajak rakyat fahami demokrasi, keadilan

A
DA cadangan beberapa teman supaya saya menulis, mengajak rakyat, khususnya orang Melayu memahami demokrasi, keadilan serta kebebasan berfikir. Saya menjawab bahawa orang Melayu sudahpun didedahkan kepada demokrasi menerusi 12 kali pilihan raya umum.

Tetapi, kata teman itu, pilihan raya hanya sebahagian saja daripada lemen demokrasi. Banyak lagi mekanisme demokrasi yang belum difahami. Oleh itu, rencana saya ini cuba member fokus mengenai persoalan ini.

Minggu lalu saya menekuni “Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS” di Auditorium MBSA, di Shah Alam dengan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Konvensyen ini cuba mencari dan memecahkan masalah demokrasi dan dilemma orang Melayu serta cara mana mereka boleh melakukan perubahan dengan menetapi benar-benar erti demokrasi yang dibenarkan oleh Islam.
Sebelum itu saya petik beberapa bait daripada puisi karya Sasterawan Negara, Almarhum Usman Awang mengenai “Melayu,” untuk kita melihat seimbas watak Melayu menurut sasterawan tersohor itu.

MELAYU

Melayu itu orang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun.
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas
tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu takut
bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampong telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang lain mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal
universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak
permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak Nampak
telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan.
Baiknya hati Melayu itu tak
terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati
kebuluran.”
Bagaimanakah Melayu abad dua
puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang
kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan
keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta
budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
Sudahkah merdeka fikiran kita?

Itulah dia sebahagian potret orang Melayu sejak zaman berzaman, sama ada mereka telah ikut serta dalam perubahan zaman, semakin sedar akan erti demokrasi sebenar, bangsa yang berfikir, sama-sama kita memikirkan.

Sementara itu, demokrasi dan hak asasi manusia bukan sesuatu yang asing di dalam Islam. Justeru, orang Melayu, bagaimanapun sudah menerima demokrasi, cuma pada tahap yang bagaimana. Bolehkah dia berfikir secara bebas untuk menentukan arah parti politik yang wajar disokongnya, bagaimana sikapnya jika sesebuah pilihan raya itu ditandai oleh pelbagai penyelewengan, tidak bersih.

Di Mesir, dalam pilihan raya terakhir beberapa tahun lalu, parti pemerintah – PDN pimpinan Hosni Mubarak telah menang 97 peratus undi, tetapi pilihan raya itu ditandai oleh pelbagai penipuan, ugutan, rasuah, tangkapan terhadap pemimpin pembangkang dan pelbagai lagi.

Tentu saja perlakuan pemerintah Mesir – anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) – telah merosakkan nama baik Islam itu sendiri. Justeru kuasa yang diperolehi Mubarak dan partinya adalah melalui kerja-kerja jahat seperti itu.

Orang Melayu, penduduk majority di negara ini, sewajarnya memikirkan persoalan ini sedalam-dalamnya. Menurut pendapat saya, PAS sebagai sebuah parti Islam yang ahlinya Melayu beragama Islam, sementara penyokongnya pelbagai kaum, sepatutnya sudah lama memberikan kefahaman akan erti demokrasi dan keadilan sebenar menurut Islam. Ini supaya mereka benar-benar mampu dan bebas memilih parti politik yang terbaik, yang mampu membela nasib rakyat. Juga memilih pemimpin dan calon yang berwibawa, amanah, adil dan bebas daripada pelbagai rekod buruk.

Di sini juga PAS sepatutnya lama dulu memberikan kefahaman kepada orang Melayu akan erti kezaliman menurut perspektif Islam, di mana, misalnya, dengan mengadakan pelbagai sekatan, mengongkong media, penyelewengan dan rasuah juga adalah satu bentuk kezaliman. Ini  persoalan teras yang saya kira perlu diberi perhatian utama oleh PAS. Malah para ilmuan Islam yang berceramah di mana saja perlu menghuraikan makna keadilan, kezaliman dan kebebasan berfikir yang dibenarkan oleh Islam.

Di sinilah ulama tersohor, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Abdul Salam Yasin ketika membincangkan mengenai kebebasan dan demokrasi Barat dengan pelbagai konflik menasihatkan umat Islam supaya berada di dalam kumpulan pencinta kebebasan dan menjauhi daripada memasuki kumpulan penindas zalim. Kaedah ini masyhur, kata dua tokoh ini, sehingga ada satu kata-kata yang disusun, “Sesungguhnya Allah bersama dengan negara kafir yang adil, dan Allah tidak akan menolong negara Muslim yang kejam dan zalim.”

Pemikir tersohor Tunisia, Rashid Ghannoushi ketika menghuraikan mengenai kedudukan konotasi kebebasan di dalam agama Islam berkata, “Secara literal, kebebasan mengikut Islam adalah lawan bagi kata kehambaan. Tidak seperti faham Barat, yang mengatakan bebas bermakna kekuatan akal untuk member neraca (pertimbangan).”

Akan tetapi, katanya, kebebasan yang dibawa oleh Islam bersifat ketauhidan, kalaulah benar manusia itu pada zatnya punya hak tetapi akalnya amat terbatas daripada menyingkap prinsip hak-hak itu.

Hakikatnya, kata Ghannoushi, bahawa alam semula jadi ini ada pencipta-Nya dan pentadbir-Nya. Dan manusia telah dipertanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, dimulia dan diamanahkan dengan akal, kemahuan, kebebasan dan apa yang ada di ala mini.

Manusia, katanya, tidak ditinggalkan sendirian, Allah SWT kemudiannya member hidayah dengan wahyu (kepada para nabi dan rasul) kea rah jalan terbaik bagi menunaikan amanah itu demi kebahagian dunia dan akhirat. Kemudiannya, mentakmir maya pada ini.

Di dalam al-Quran, tambahnya, Allah SWT, menyebut bahawa bebasnya manusia daripada kejahilan dan kegelapan kejahatan adalah satu kebebasan yang hakiki, kerana tidak mungkin manusia dapat melepaskan diri daripada kejahilan tanpa melaksanakan perintah Allah SWT.

Manusia, menurut Ghannoushi, tidaklah dilahirkan sedia kala bebas akan tetapi dilahirkan untuk menjadi seorang yang bebas dan manusia dikurniakan persediaan untuk menjadi bebas seperti mana dikurniakan kesediaan untuk membaca dan belajar.

Selepas mengadakan konvensyen ini, menurut saya, usaha PAS selanjutnya – dan tidak boleh berlengah-lengah lagi – ialah mengadakan pelbagai wacana di seluruh negara, mengenai maka sebenar demokrasi, kebebasan dan keadilan, supaya rakyat benar-benar faham mengenai persoalan ini.

Dua belas jaminan PAS kepada Malaysia Baru seperti dalam resolusi konvensyen tersebut memang penting, namun memberikan kefahaman sebenar mengenai demokrasi dan keadilan Islam juga sangat penting.

No comments: