Thursday, March 7, 2013

Perkasa Kaki Provokasi



Perhimpunan yang dinamakan Orang Kelantan Naik Angin anjuran Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa) dianggap boleh mencetus suasana provokasi ketika negara masih digugat isu Lahad Datu.

Program berkenaan yang dijangka diadakan pada Sabtu ini bertempat di padang Sekolah Menengah Panglima Raja Lemal dekat sini turut mengundang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pasir Mas, Mohd Alaudin Mat Nor berkata, tema perhimpunan itu seolah-olah mengundang provokasi dan keadaan yang tidak harmonis.

“Kita tidak tahu sama ada perhimpunan itu mendapat keizinan polis atau tidak kerana temanya sudah cukup mengundangkan provokasi.

“Lagi pun perhimpunan yang dianggap berbau hasutan itu mahu diadakan di kawasan sekolah, seolah-olah mahu mendedahkan pelajar kepada kelakuan kasar dan mengheret kepada Akta Hasutan,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini. (Gambar atas)

Hadir sama Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dan anggota jawatankuasa Pemuda Pasir Mas.

Perkasa dijangka mengadakan perhimpunan “Orang Kelantan Naik Angin – 23 Tahun Rakyat Tertekan, Bertimbun Masalah” pada jam 3 petang 9 Mac ini.

Dr Mahathir diundang menyampaikan amanat. Banyak sepanduk mengenai program itu dipasang di sekitar Pasir Mas termasuk berhampiran IPD Pasir Mas.

Alaudin yang juga seorang peguam berkata, perhimpunan tersebut sekiranya dibiarkan boleh menimbulkan suasana resah ketika tragedi di Lahad Datu belum lagi selesai.

“Sepatutnya pihak penganjur perhimpunan yang boleh memperlihatkan perlakuan bermoral dan bukannya mengundang rasa resah gelisah dalam kalangan rakyat.

“Lebih mendukacitkan pula program seumpama itu diadakan di sekolah tempat bagi mendidik pelajar menjadi rakyat yang berbudi pekerti,” ujarnya.

Ahmad Fadhli juga menganggap perhimpunan tersebut tidak sepatutnya dibiarkan berlangsung ketika suasana negara keliru dengan tragedi Lahad Datu.


Sumber: HD

No comments: