Thursday, April 14, 2011

Pencalonan Husam, Bukan Maksud PAS Tolak Hadi

Pencalonan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai Presiden Pas dalam Muktamar Pas Jun ini, tidak memberi gambaran keseluruhan bahawa parti itu menolak kepimpinan Presiden sedia ada, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, amalan demokrasi membenarkan perwakilan calonkan sesiapa sahaja
yang dirasakan layak.

“Pencalonan itu terpulang kepada kawasan, tetapi perlu menepati prinsip asas Pas yang mahukan kepimpinan mengamalkan politik Islam,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian: semalam.

Beliau mengulas keputusan Pas Kawasan Bukit Bintang yang mencalonkan Husam sebagai Presiden dan Muhamad Sabu sebagai Timbalan Presiden Jumaat lalu.

Tuan Ibrahim berkata, kepimpinan Abdul Hadi masih diterima baik parti dan suasana itu dapat dilihat sepanjang mesyuarat kawasan Pas diadakan, apabila beliau masih dicalonkan sebagai Presiden.

“Ramai yang meletakkan keyakinan dan percaya Abdul Hadi berupaya menerajui parti melalui kejayaan mengekalkan kepimpinan Pas di Kelantan dan Kedah.

“Momentum kejayaan Pas itu dijangka akan berterusan jika beliau terus memimpin parti,” katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden itu tidak memberikan gambaran ahli parti menolak kepimpinan Abdul Hadi.

Katanya, parti memberikan kebebasan hak kepada perwakilan mencalonkan siapa yang mereka rasa layak.

Bagaimanapun, terlalu awal untuk membuat ramalan dalam perkara itu dan ia akan ditentukan pada Muktamar Pas pada Jun ini.

No comments: