Islam adalah agama nasihat. Kita sewajarnya memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja termasuk juga para pemimpin kita. Itu merupakan perkara pokok dalam agama dan asas kepada pembentukan masyarakat yang bertamadun. Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda:
الدين النصيحة قلنا : لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
Islam juga menyuruh kita supaya berusaha mencegah mungkar sedaya upaya kita. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w juga telah bersabda:
من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده ، فإن لم يستطيع فبلسانه ، فإن لم يستطيع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان
“Sesiapa yang melihat di kalangan kamu satu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, kemudian sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”
Persoalannya
bagaimanakah cara untuk kita menasihati atau mencegah kemungkaran serta mengubahnya mengikut panduan Islam dan petunjuk daripada salafussoleh? Adakah dengan cara kita membantah dengan cara terbuka atau pun dengan cara tersembunyi? Jikalau pemimpin kita melakukan kemungkaran maka apakah cara yang terbaik untuk mencegah kemungkaran yang dilakukannya?
Dalam persoalan ini sebenarnya Islam telah memberikan jawapan yang tepat kepada kita. Sebagai umat yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas dakwah dan islah, Islam memberikan kepada kita cara-cara supaya menepati dengan hakikat syara’ itu sendiri.
Sememangnya perkara asal dalam agama apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat adalah tidak mendedahkannya kepada khalayak umum serta menasihatinya secara bersendirian tanpa diketahui oleh orang lain.Rasulullah s.a.w telah bersabda:
إنَّ الله سِتِّيرٌ يُحِبُّ السِّتْرَ
“Sesungguhnya Allah itu Maha Menyembunyikan (kesalahan) dan amat suka menyembunyikan (kesalahan)” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
لا يستر عبد عبدا في الدنيا الإ ستره الله يوم القيامة
“Tidaklah menyembunyikan seorang hamba itu akan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya pada hari kiamat” (Hadis riwayat Muslim)
Walaupun begitu perkara tersebut dilaksanakan kepada mereka yang tidak melakukan maksiat secara terang-terangan yang digelar sebagai Al-Mujaahir. Maka bagi mereka yang tidak segan silu melakukan kemungkaran, mengisytiharkan dosa mereka dikhalayak umum, maka tidak ada cara lain untuk kita mencegahnya melainkan dengan cara kita mendedahkan perbuatannya itu, menceritakan kepada manusia yang lain sebagai balasan terhadap pelaku maksiat tersebut dan memberikan ancaman kepada oarng lain supaya tidak mencontohinya. Itulah yang telah ditetapkan dalam Islam dan disokong oleh dalil-dalil syara’ serta kata-kata ulama dan salafussoleh.
Imam Ahmad Radiallahu Anhu telah berkata:
الناسُ يَحتاجون إلى مُداراةٍ، ورِفْقٍ في الأمرِ بالمعروفِ، بلا غِلْظةٍ، إلاَّ رجُلاً مُبايناً، مُعلناً بالفسْقِ والرَّدى، فيجبُ عليك نهيُهُ وإعلامُهُ؛ لأنَّه يُقالُ : ليس لِفاسقٍ حُرمةٌ، فهذا لا حُرْمةَ له
“Manusia memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang menonjolkan dan terang-terangan melakukan kefasikan dan kerosakan maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan mengzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasiq itu tidak mempunyai kehormatan dan dia tiada maruah” (lihat Al-Amru Bil Makruf wa Nahyu ‘An Mungkar, karangan Imam Al-Khallal, m.s 35)
Imam Nawawi Radiallahu Anhu berkata:
وأمَّا السِّترُ المندوب إليه هنا، فالمراد به الستر على ذوي الهيئاتِ ( أهل السُّؤددِ والفَضْلِ الذين لا يُعْرَفُون بالشَّرِ والفسادِ ) ونحوهم، ممَّن ليس معروفاً بالأذى والفسادِ، فأمَّا المعرُوفُ بذلك فيُستحبُّ ألاَّ يُستَرَ عليه؛ تُرفعُ قضيَّتُه إلى وليِّ الأمرِ، إن لم يُخَفْ من ذلك مفسدةً، لأنَّ السِّترَ على هذا يُطْمِعُهُ في الإيذاءِ والفسادِ، وانتهاكِ الحُرُمات، وجَسارةُ غيرِه على مثلِ فِعْلِه
“Adapun menyembunyikan kesalahan yang disunatkan di sini, maka maksudnya adalah memnyembunyikan kesalahan orang-orang kenamaan (pemimpin dan orang yang berjasa yang tidak masyhur dengan perbuatan jahat dan kerosakkan) serta seumpama dengannya. Yang terdiri dari mereka yang bukan terkenal dengan perbuatan zalim dan jahat. Adapun mereka yang dikenali dengan seumpama itu maka disunatkan agar tidak disembunyikan perbuatnnya dan dilaporkan perbuatannya itu kepada pihak berkuasa sekiranya tidak dikhuatiri kemudaratan dari perbuatannya itu kerana menyembunyikan kesalahannya akan menjadikannya semakin berani untuk melakukan kejahatan dan kerosakkan serta memperkosa segala maruah dan menjadi jambatan kepada orang lain untuk mencontohinya..” (Syarah Sahih Muslim karangan Imam An-Nawawi 16/135)
Perkara ini juga antara perkara yang mengharuskan mengumpat (menceritakan keburukan orang lain kepada masyarakat awam). Perkara ini telah ditegaskan oleh ramai ulama seperti Imam Nawawi dalam kitab beliau Riadhussolihin dalam bab keharusan mengumpat (ibahatul Ghibah).
Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali Radiallahu Anhu berkata:
واعلم أنَّ الناسَ على ضربين :
أحدهما : من كان مستوراً لا يُعرفُ بشيءٍ من المعاصي، فإذا وقعت منه هَفْوةٌ أو زلَّةٌ فإنَّه لا يجوزُ كشفُها ولا هتكُها، ولا التَّحدُّثُ بها ...
والثاني : من كان مشهوراً بالمعاصي مُعلناً بها، لا يُبالي بما ارتكبَ منها، ولا بما قيلَ له، فهذا هو الفاجرُ المُعْلنُ، وليس له غيبةٌ، كما نصَّ على ذلك الحسنُ البَصْريُّ وغيرُه.
أحدهما : من كان مستوراً لا يُعرفُ بشيءٍ من المعاصي، فإذا وقعت منه هَفْوةٌ أو زلَّةٌ فإنَّه لا يجوزُ كشفُها ولا هتكُها، ولا التَّحدُّثُ بها ...
والثاني : من كان مشهوراً بالمعاصي مُعلناً بها، لا يُبالي بما ارتكبَ منها، ولا بما قيلَ له، فهذا هو الفاجرُ المُعْلنُ، وليس له غيبةٌ، كما نصَّ على ذلك الحسنُ البَصْريُّ وغيرُه.
“Ketahuilah bahawa manusia ada dua golongan:
Pertama: Orang yang tidak dikenali serta tidak masyhur dengan perkara maksiat, maka sekiranya terjadi kepadanya kesilapan kecil dan kekurangan maka tidaklah boleh mendedahkannya dan merosakkan maruahnya serta tidak boleh diceritakan..
Kedua: Orang yang masyhur dengan perbuatan maksiat serta secara terang-terangan dan tidak segan silu melakukannya serta tidak hiraukan nasihat yang diberikan kepadanya maka ini adalah orang jahat yang menzahirkan dosanya. Tidak berdosa mengumpat dirinya sebagaimana yang telah dinaskan oleh Hassan Basri serta selainnya.” (Jaamiul Uluum Wal Hikam)
Imam Al-Bahutiyy telah berkata:
قال جمعٌ مُحَقِّقُون : إلاَّ على مَشْهُورٍ ببدعةٍ، أو فُجُورٍ ونحوِه كَكَذِبٍ، فَيُسنُّ إظهارُ شَرِّه، وسِتْرُ خيرِه ليرتدِعَ نظيرُه
“Segolongan Ulama Muhaqqiqin telah berkata: Melainkan orang yang masyhur melakukan bidaah atau maksiat dengan nyata seumpama dengan seperti penipuan, maka disunatkan menzahirkan kejahatannya dan menyembunyikan kebaikannya supaya tidak dilakukan oleh orang lain” (Kasyful Qinaa’:2/121)
Begitulah juga yang telah dinyatakan oleh ulama-ulama besar yang lain seperti Imam Ibnu muflih dalam kitabnya Al-Furu’(2/217) dan Imam Al-Mardawi dalam Al-Insoof (2/506).
Begitulah juga dalam persoalan menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin. Rasulullah s.a.w dalam hal ini telah bersabda dalam satu hadis sahih:
من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده علانية، ولكن ليخْلُ به، وليدْنُ منه، فإن قبل منه فذاك، وإلا فقد أدَّى الذي عليه
“Barangsiapa yang ingin menasihati sultan (pemerintah) maka janganlah dilakukan secara terang-terangan (terbuka) tetapi hendaklah dia duduk berdua dengannya dan mendekatinya maka sekiranya dia menerima nasihatnya itu maka itulah (yang terbaik) tetapi sekiranya enggan maka dia telah laksanakan tanggungjawabnya”
Dalam hadis sahih yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:
أَقِيلُوا ذَوِي الهيئاتِ عَثَراتِهم
“Maafilah kesalahan-kesalahan orang-orang kenamaan dari kalangan kamu” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis tersebut adalah merupakan perkara asal dalam kita mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dengan menggunakan uslub lemah lembut dan kesopanan. Itulah cara untuk berhadapan dengan pemimpin yang adil dan saksama serta tidak masyhur dengan kezaliman dalam pemerintahannya.
Namun, sekiranya pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang menzahirkan perbuatan maksiat dihadapan rakyat dan tidak menghiraukan nasihat orang lain terhadapnya maka dibenarkan untuk didedahkan perbuatannya itu serta dinasihatkan di khalayak ramai agar seluruh manusia mengetahui keburukan perbuatannya itu lalu tidak mengikutinya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Qayyim di dalam kitab Badai’ Al-Fawaid (3/138):
والظاهرُ أنَّهم ذوو الأقدارِ بين النَّاسِ من الجاهِ، والشَّرفِ، والسُّؤدد، فإنَّ الله تعالى خصَّهُم بنوعِ تكريمٍ وتفضيلٍ على بني جنسِهم، فمن كان منهم مستوراً مشهوراً بالخيرِ، حتى كَبَا به جوادُه، ونبا عَضَبُ صبْرِه، وأُديلَ عليه شيطانُه، فلا تُسارع إلى تأنيبِه وعقُوبتِه؛ بل تُقالُ عَثْرتُه، ما لم يكن حداً من حدودِ الله، فإنَّه ينبغي استيفاؤه من الشَّريف
Kesimpulannya kita tidak diharuskan mendedahkan kemungkaran pemimpin kepada rakyat dan membuat teguran terbuka sekiranya terdapat 4 perkara kepada mereka iaitu:
1. Mereka adalah pemimpin dan orang kenamaan
2. Dikenali dengan kebaikan kepada rakyat dan adil serta tidak zalim
3. Tidak melakukan kemungkaran secara terang-terangan
4. Dosa mereka tidak melibatkan persoalan hudud Allah s.w.t
Oleh itu sekiranya mereka melakukan kezaliman secara terang-terangan maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menegurnya dan diharuskan untuk dilakukan secara terbuka bahkan menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim dikira sebagai jihad yang paling afdal sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
أن رجلاً سأل النبى ( صلى الله عليه وسلم ) أى الجهاد أفضل ؟ قال : كلمة حق عند سلطان جائر
Wallahu A’alam
No comments:
Post a Comment