Hidayah Allah tidak mengenal bangsa, kedudukan
T |
IDAK ada yang boleh menggembira dan membahagiakan seseorang itu yang waras cara berfikirnya, melainkan dia memperolehi hidayah, taufik daripada Allah SWT. Ini kerana dengan hidayah itulah seseorang itu sentiasa terarah kepada satu hala tuju hidup yang jelas dalam meniti usia yang semakin tua untuk berada dalam agama Islam.
Sesungguhnya hidayah itu pula, Allah SWT tidak semudah untuk memberikannya kepada individu manusia yang tidak mahukannya seperti golongan yang tidak berada di masjid, surau, malah suka berada di kedai-kedai kopi bersembang perkara dunia berjam-jam lamanya.
Akan tetapi Allah SWT akan memberikannya kepada mereka yang bersedia menerimanya, iaitu golongan yang suka mendengar kuliah, ceramah agama, kaunseling, forum dan sebagainya dan menyusulinya pula dengan tindakan serta amal perubatan yang berpaksikan hidayah Allah.
Ia bertepatan dengan firman Allah menerusi ayat 18 surah az-Zumar yang bermaksud:
“Yang berusaha
mendengar perkataan-perkataan yang baik sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”Dengan duduk melepak bersembang pada perkara-perkara yang tidak kaitan dengan urusan dan tuntutan agama, atau bermain dam dan catur di kedai-kedai kopi dan sebagainya, seseorang individu Muslim itu tidak mungkin akan diberi hidayah daripada Allah SWT, kerana tempat seumpama itu tidak sesuai atau sinonim dengan hidayah Allah.
Justeru, dengan mengabdikan diri kepada Allah melalui usaha untuk menambah kefahaman ilmu agama dengan mendengarnya kemudian disusuli pula dengan amal yang salih, akan membantu seseorang itu meraih hidayah Allah dan membuktikan diri bahawa dia mencintai-Nya dengan menjejaki segala ajaran Nabi Muhammad s.a.w.
Sehubungan itu, Allah menegaskan menerusi ayat yang lain yang bermaksud:
“Sesiapa yang mahukan agar kemuliaan pada dirinya, maka dia boleh mendapatkannya dengan perkataan yang baik (ceramah, kuliah, forum serta kaunseling agama) dan amal yang salih melayakkannya untuk mencapai kemuliaan itu.” (Ayat 10 surat Fatir)
Apa yang dapat kita faham menerusi ayat di atas, jika terdapat individu yang sememangnya lahir daripada keluarga Islam, namun tidak berusaha untuk mencapai kemuliaan dengan mendapatkan hidayah Allah, maka Dia sama sekali tidak akan memberikan kepadanya.
Sebaliknya jika individu bukan Muslim, tetapi sering melakukan kajian, penyelidikan dan perbandingan antara agama asalnya dengan Islam, dan menemui kebenaran, maka Allah akan memuliakannya dengan member hidayah kepadanya, sama ada di kalangan lelaki mahupun wanita. Ini kerana hidayah Allah tidak mengenal jantina seseorang, pangkat, asal keturunan mahupun kedudukan. Inilah keadilan Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Ia merupakan tajuk buku terbaharu hasil sentuhan penulis prolifik yang tidak asing lagi, Ustaz Zainudin Hashim yang menghimpunkan pengalaman saudar-saudara baharu khususnya di kalangan Yahudi, Kristian, Atheis dan pegangan lain. Ia memperlihatkan bagaimana keesaan Allah SWT yang membuktikan bahawa Islam bukanlah hanya dianuti oleh bangsa Arab seperti yang umum tahu, malah agama seluruh bangsa manusia.
Seruan Allah (Allah is Calling) tidak mengenal pangkat, keturunan, etnik, kedudukan manusia, akan tetapi Allah menganugerahkan kepada sesiapa walaupun mereka tersendiri daripada bangsa yang pernah memusuhi Nabi Muhammad s.a.w. Walau bagaimanapun pada zaman baginda hanya terdapat segelintir sahaja bangsa Yahudi yang menerima Islam sebagai agamanya.
Buku Allah is Calling mengumpulkan pengalaman hidup yang dilalui saudara-saudari kita yang bertuah kerana menjadi insane terpilih. Kini, demi meraih keradaan Allah SWT, ketenangan jiwa dan kehidupan yang lebih bermakna, mereka berjuang menyebarluaskan kepada insane-insan yang masih bergelumang dalam kegelapan. Ia padat dengan inspirasi dan sarat dengan motivasi yang mampu menyerlahkan lagi minat muslim yang memang lahir dari keluarga Islam.
Apa pun, hidayah Allah ada di mana-mana, namun hanya yang terpilih sahaja yang akan menerimanya. Kita biasa dengar kisah-kisah bukan Islam yang dibukakan hati oleh Allah dan akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah dengan penuh kerelaan. Tahukah kita, begitu payahnya mereka mengharungi pelbagai dugaan dan perit getir dalam proses mencari Tuhan Yang Maha Benar.
Seterusnya meneruskan kehidupan sebagai individu Muslim/Muslimah? Meskipun penuh onak dan ranjau, mereka cekal menempuhnya kerana keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah hingga mampu mengatasi segalanya. Maka kita perlu bersyukur dengan nikmat hidayah yang Allah kurniakan dan jangan biarkan ia berlalu pergi daripada kita, kerana ia begitu sukar untuk dimiliki.
Persoalannya bukan senang menjadi seorang Muslim, sedangkan mereka yang baharu memeluk Islam, menghadapi tribulasi hingga ada di kalangan mereka diusir suami dan anak-anak keluar dari rumah kerana masih mahu beragama Yahudi, ada yang disingkirkan ahli keluarga termasuk ibu dan ayah kandung kerana tidak mahu menerima anak mereka bertukar agama kepada Islam.
Namun semua itu tidak menghalang dan melenyapkan semangat juang mereka untuk mempromosi Islam kepada kenalan terdekat. Ini kerana mereka yakin sepenuh hati bahawa Islam yang mereka baharu anuti itu adalah agama yang paling benar yang menjanjikan pahala serta tempat di dalam syurga Allah.
Sesungguhnya Allah membongkar serta menyingkap kelemahan Muslim yang berasal daripada keluarga Muslim, di mana terdapat daripada mereka Muslim sejak lahir atau secara tradisi, kebetulan nama tercatat dalam sijil lahir sebagai Muslim, kadang-kadang mereka rasa tidak perlu untuk belajar agama, bagi mereka cukup namanya Islam walaupun tidak beramal, sedangkan seseorang itu hanya boleh masuk syurga dengan amalan bukannya dengan nama atau bangsa.
Justeru, kita yang kebetulan lahir daripada keluarga Islam tidak boleh berbangga hanya dengan nama tercatat sebagai Muslim, akan tetapi kita perlu berusaha mengembangkan Islam kepada individu lain. Ini kerana itu adalah tugas para rasul dan nabi yang mesti ditunaikan oleh setiap daripada kita sebagai ikrar kita dalam solat yang dikerjakan.
Sesungguhnya Allah SWT akan menghadiah dan memberi syurga-Nya kepada hamba yang membayar jiwa raga, harta benda, tenaga, masa dan lain-lain untuk kepentingan agama Allah, ia menepati dengan firman Allah menerusi ayat 111 surah at-Taubah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
No comments:
Post a Comment