Wednesday, March 9, 2011

Berapakah harga syurga itu?

Mudah berunding selesai masalah boleh hindar neraka

A
MAT jelas hadis Nabi s.a.w. mengenai mustahaknya hormat kepada orang-orang tua dan menyayangi kanak-kanak.

Dibuktikan pula dengan perbuatan dan sikap Nabi s.a.w. sentiasa berlemah-lembut dan bermanja, kepada kanak-kanak adalah menjadi kebiasaannya.

Suka bermanja bermain dengan kanak-kanak, seperti kendong, junjung dan timang adalah adat kelaziman dalam kehidupan Nabi s.a.w.

Sudah menjadi kebiasaan apabila Nabi s.a.w. pulang daripada musafir, perkara pertama yang dilakukan ialah menemui kanak-kanak, mengusap kepalanya dan bercakap-cakap dengan mereka.

Disuruhnya para sahabat mengambil kanak-kanak yang agak berjauhan, supaya membawa ke dekatnya untuk didakap dan sebagainya.

Apabila Nabi s.a.w. berbuat demikian para sahabat menjunjung anak ke hadapan dan di belakang baginda s.a.w. untuk mendapat keberkatan menatap mata dan wajah Nabi s.a.w. meskipun tidak dapat didakap kesemuanya oleh baginda s.a.w.

Selain itu Nabi s.a.w. juga mengarahkan para sahabat mendukung kanak-kanak tersebut, walaupun mereka bukan anak sendiri.

Perbuatan itu sebagai mengasuh golongan pelapis, agar kanak-kanak itu mengingati orang yang mendukungnya. Untuk meneruskan perjuangan dan mengikut akhlak mulia baginda s.a.w.

Menjadi kelaziman para sahabat dukung anak kecilnya berjumpa Nabi s.a.w., minta supaya didoakan agar anaknya mendapat keberkatan daripadanya.

Nabi s.a.w. mendoakan setiap kanak-kanak yang dibawa kepadanya, kerana baginda s.a.w. mengharap kanak-kanak tersebut sebagai generasi penerus perjuangan.

Kebanyakan para sahabat yang mendapat cahaya mata baru, minta kepada Rasulullah s.a.w. menamakan anaknya dengan nama yang baik, lalu baginda ambil bayi diletakkan atas pangkuannya.

Kadangkala bayi tersebut terlepas air najis atas ribanya, terpaksa basuh pakaian yang terkena najis itu.

Namun Nabi s.a.w. tidak terasa serik kerana memang baginda amat suka dan penyayang dengan kanak-kanak.

Setengah daripada hak orang Muslim hendaklah ketika berjumpa, sentiasa dengan wajah yang manis berseri, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. kepada para sahabat yang bermaksud: “Adakah kamu mengetahui siapakah manusia yang tidak disentuh oleh api neraka? Jawab para sahabat hanya Allah SWT dan Rasul-Nya yang mengetahui.

Sabda baginda s.a.w. lagi: “Ialah mereka yang lemah lembut, berbahasa yang murni, mereka yang mudah berunding menyelesaikan masalah serta menjadi sahabat karib.

Abu Hurairah r.a. berkata; suatu hari ketika Nabi s.a.w. duduk tiba-tiba aku lihat beliau dalam keadaan gembira hingga kelihatan gigi baris hadapannya, lalu seorang sahabat bertanya: Apakah yang menyebabkan Nabi s.a.w. gembira secara tiba-tiba?

Jawab Nabi s.a.w.: “Ada dua orang kedua-duanya umatku pada hari akhirat kelak, dalam keadaan merangkak di hadapan Allah SWT disebabkan gerun terhadap-Nya.

“Seorang daripadanya mengadu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan, ambillah pembalasan terhadap lelaki ini kerana penganiayaan yang dilakukan kepadaku di dunia dahulu.

“Tuhan berkata kepada penzalim itu; hai manusia, berilah balasan atas kezaliman yang kamu lakukan terhadap saudaramu itu, lalu manusia penzalim itu berkata:
“Tiada lagi pahala kebajikan yang hendak kuberikan padanya, kerana telah habis bagi menyelesaikan hutang kezalimanku kepada orang lain.

“Berkata pula orang yang kena zalim itu; jika demikian ambillah dosaku sebagai gantinya.” Ketika itu Abu Hurairah melihat air mata Nabi s.a.w. berlinangan.

Tanda betapa sedihnya baginda s.a.w. terhadap nasib malang umatnya, yang tidak dapat menyelesaikan dosa kepada sesama manusia.

Nabi s.a.w. membuat ulasan terhadap peristiwa malang di akhirat itu dengan komennya; “Ketahuilah bahawa itulah hari yang manusia berhajat supaya manusia lain memikul dosanya.”

Lalu Tuhan berkata kepada yang menuntut supaya dosanya dipikul: “Cuba alihkan pandanganmu ke arah atas, lalu orang itu berbuat seperti yang diminta oleh Tuhan. Lalu terpandanglah olehnya syurga serta segala nikmat kebahagiaan yang mengkagumkan.

Orang itu bertanya kepada Tuhan; “Untuk siapakah syurga tersebut? “Jawab Tuhan pula: Untuk orang yang sanggup membayar harganya?”

Orang itu berkata lagi; “Siapakah yang mampu membayar harganya yang mahal itu?” Tuhan menjawab lagi: “Orang yang mampu membayarnya ialah engkau sendiri, harganya dengan memaafkan kesalahan saudaramu.”

Dengan itu dia tidak lagi menyimpan rasa dendam dan menuntut supaya memikul dosanya. Kerana dengan memaafkan kesalahan saudaranya nilainya amat besar, iaitu Tuhan kurniakan syurga yang tiada bandingan.

Apabila dia memaafkan saudaranya bererti dia mendapat kurnia syurga secara percuma, Tuhan beri peluang untuk dia membawa bersama saudaranya yang telah dimaafkan itu.

Dengan memimpin tangan saudaranya untuk memasuki syurga, bersama mengecap kebahagiaan nikmatnya.

Setelah Nabi s.a.w. menceritakan tentang dua orang dari umatnya merangkak di depan Allah SWT di akhirat, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan perbaikilah perbalahan antara kamu, kerana Allah SWT berbuat kebaikan di antara orang mukmin pada hari kiamat kelak.”

No comments: