Tuesday, June 26, 2012

Hukum Orang Kafir


SIFAT-SIFAT Orang Kafir


Berdasarkan surah al-Baqarah (ayat 6-7)
6) Sesungguhnya orang-orang Kafir, sama saja bagi mereka, (sama ada) engkau beri peringatan atau tidak beri peringatan, mereka tidak akan beriman.
7) Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup selaput. Untuk mereka seksa yang amat berat.




Kaitan Ayat Dengan Ayat Sebelumnya


Selepas menerangkan keadaan orang mukmin, Allah swt menyambung ayat ini dengan menjelaskan perihal orang-orang kafir agar dapat dibandingkan kedudukan orang beriman dengan golongan kafir. Justeru kekufuran adalah berlawanan dengan keimanan. Orang-orang yang beriman akan terselamat, manakala orang yang kafir akan binasa di dalam neraka jahannam.


Sebab Turun Ayat


Sebab turun ayat mengikut riwayat yang paling sohoh ialah berdasarkan pendapat yang dikeluarkan oleh Bukhari daripada Ibn Abbas dan Kalbi bahawa dua ayat ini diturunkan kerana telatah pemimpin Yahudi. Diantara mereka termasuk Huyai bin Akhtab, Kaab bin Asyrad dan semua sekutu mereka.


Ulasannya


Sesungguhnya orang kafir yang engkar terhadap ayat-ayat Allah serta mendustai Quran dan kerasulan Nabi saw sama adqa diberikan peringatan atau tidak, mereka tetap tidak mahu menerimanya.


Hati mereka tidak sedikitpun terserap dengan dakwah kerana telah tertutup. Nur Ilahi tidak dapat menembusinya. Iman juga tidak terpancar darinya kerana mereka membutakan mata dari kebenaran ayat-ayat Allah.


Dengan itu, hidayat dan nasihat tidak lagi mampan dan berkesan. Mereka juga mengabaikan sarana pengetahuan, pengkajian dan pemikiran. Mereka tidak memanfaatkan deria pendengaran dan penglihatan.


Apabila mereka melihat kebenaran, mereka tidak mengikutinya. Mereka mendengar tetapi tidak tahu mengerti. Oleh itu, mereka akan menerima balasan azab dan pedih selama-lamanya tanpa berkesudahan akibat perbuatan mereka sendiri.


Pedoman Hidup dan Hukum-hakam


Kedua-dua ayat di atas mententeramkan hati Nabi saw menghadapi keengganan kaumnya mengikut dakwahnya. Dengan demikian baginda tidak berputus asa atau ghairah untuk menjadikan mereka beriman. Disamping itu, baginda tidak pula merasa bersalah atas kekufuran mereka.


Hati yang dikunci mati atau dimeterai bermaksud hati tersebut tidak lagi peka kepada kebenaran. Pendengaran dan penglihatan yang ditutup selaput bermaksud, orang berkenaan tidak dapat memahami quran apabila dibacakan kepada mereka, tidak memerhatikan penciptaan Allah atau tidak beriman apabila diseru agar mengesakan Allah. Semua ini, adalah hasil kekufuran dan kedegilan mereka. Bukan disebabkan oleh quran atau kecuaian Muhammad atau sesiapa saja selepas baginda dalamm usaha menyampaikan haidayat kepada mereka.


Merekalah punca dan penyebab utama perkara ini berlaku. Mereka sendiri yang mengabaikan penggunaan wahana yang betul dan sihat untuk meraih makrifat dalam meyakini kebenaran dan beramal dengannya.


Ungkapan hati dimeterai dan dikunci mati, manakala pendengaran dan penglihatan ditutip yang digunakan dalam ayat ini adalah untuk menunjukkan betapa kekufuran mencengkam hati mereka sehingga mereka kehilangan wasilah dan helah untuk memerhati dan memikirkan dalil-dalil keimanan dan keindahannya.


Mereka betah dengan budaya membantah dan menderhaka. Allah menghubungkan gejala hati dimeterai, pendengaran dan penglihatan mereka ditutip kepada diriNya untuk menegaskan bahawa hukum alam dan sunnatullah seperti itu akan tetap menyergap orang yang seperti mereka.


Ini menafikan mereka dipaksa (majbur) menjadi kafir atau Allah menghalang mereka beriman. Gejala ini adalah rentetan dari sunnah Allah atau hukum alam dan kesan dari kegiatan kufur yang mereka lakukan, yang menjejaskan sikap dan lantunan hati mereka.


Kekufuran akhirnya mendarah daging dan sebati dengan hati mereka, sehingga tidak lagi menerima kecuali kekufuran. Takdir Allah yang sedemikian itu terhadap mereka adalah adil kerana mereka mempersendakanNya, maka Allah pun membiarkan mereka terus dalam kesesatan.


Sebenarnya Allah tidak menegah hak mereka yang wajib. Sebab itu tidak adil. Adil hanya menahan apa yang merupakan kurniannNya daripada mereka dan bukan hak yang wajib untuk mereka.


Perkara ini dijelaskan oleh dua ayat lain dalam surah yang sama iaitu firman Nya yang bermaksud :


”Dan mereka berkata ‘hati kami tertutup’. Tetapi sebenarnya Allah telah mengutuk mereka kerana keingkaran mereka, maka sedikit sekali kalangan mereka yang (mahu) beriman,” Baqorah 2:88


FirmanNya yang bermaksud :


”Tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya) dan mereka tidak (mahu) mendengarnya. Malahan mereka berkata : hati kami telah tersumbat ketat (menghalang kami) untuk memahami ajakan anda kepada kami, dan dalam telinga kami juga terdapat halangan, bahkan di antara kami dengan anda wujud dinding pemisah (yang memisahkan fahaman kita)” Fussilah 41:4-5)


Betapa pun juga sikap takkabur dan degil, mereka tidak dapat menyisihkan diri keluar dari kekuasaan Allah. Sesungguhnya Alllah Maha Mencipta segala-galanya sama ada jalan ke arah hidayat mahupun ke arah kesesatan, baik kufur mahupun iman. Manusialah yang perlu memilih salah satu daripada dua alternatif ini dengan bijaksana.


Sumber :  Tafsir Munir

No comments: